May 1, 2011

Aku Yang Biasa .. (:

Aku dilahirkan sebagai seorang perempuan biasa, yang tinggal di rumah yang biasa-biasa ,dan hidup dalam keluarga yang juga biasa-biasa. Kehidupan aku pun biasa-biasa, dengan wajah serta personaliti yang biasa-biasa. Dan disebabkan kehidupan serba biasa inilah, aku sama sekali tidak pernah mengambil kisah dengan dunia luar di mana semua orang sibuk berlumba-lumba meneroka perkara-perkara baru dan menonjolkan siapa jaguh. Jaguh dimata sendiri? Ataupun jaguh yang membuatkan setiap mata-mata yang melihat dan telinga-telinga yang mendengar mengetahui apa yang telah ‘menjaguhkan’ diri mereka? Entahlah. Aku yang baru belajar untuk mengenal dunia ini masih belum dapat mencari jawapan-jawapan yang pasti. Jawapan kepada banyak persoalan yang timbul setelah aku membuka mata dan segala deria aku untuk mengenal apa sebenarnya erti kehidupan ,kehidupan yang telah aku jalani selama sedekad lebih ini.
Siapa di antara kita yang mahu kehidupan kita berlangsung dengan tidak mengetahui apa sebenarnya tujuan kita dianugerahkan kehidupan? Hmm, aku yakin tidak ada sesiapa yang ingin menjalani satu kehidupan pun di mana kita membiarkan saja semua perkara berlalu di hadapan mata, tanpa kita menggunakan walau satu daripada berjuta-juta, atau berbilion-bilion neuron dalam otak kita untuk mengambil kisah dan mengetahui MENGAPA perkara tersebut terjadi, atau APA yang boleh kita pelajari daripada segala macam perkara yang mendatang dalam hidup kita. Pernahkah kita terfikir? Bahawa setiap yang terjadi itu pasti ada tujuan serta sebab yang membuatkan perkara tersebut singgah pada diri atau kehidupan kita. Atau ada di antara kita yang tidak pernah terfikir begitu??
[ ‘_’ ]?
Jika aku tidak keterlaluan, biarlah aku berkongsi sedikit sebanyak perkara yang terilham daripada pemerhatian aku sepanjang episod meneroka warna-warni kehidupan disekelilingku. Apa yang aku coretkan, itulah apa yang aku rasakan. Aku tidaklah berbakat dalam berhujah (pernah memasuki pertandingan bahas namun kalah, dan kini allergi untuk menyertainya lagi!). Dan aku juga bukanlah sentiasa dapat mencoretkan sesuata yang mampu menjentik sedikit kesedaran buat insan lain (walau aku sebenarnya memang berharap perkara tersebut berlaku). Aku hanya mahu mengutarakan pendapatku, dan berharap agar pendapat ini dapat diguna pakai sekiranya diterima dan dibetulkan sekiranya salah. Semoga pemikiran aku yang biasa-biasa ini mampu memberikan kepuasan buat aku dan mereka yang sudi berkongsi segala rasa, segala idea, serta segala yang berkaitan dengannya.
[^u~]/ Dari aku yang biasa;)

No comments: