Dec 19, 2011

Selagi Ada Kesempatan

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Satu Dunia. Yehaaa blog aku sudah bersalin baju lagi! Hehehe. Aku perasan tabiat aku yang satu nie memang susah nak dihalang. Rasa nak picit-picit jer skrin nie kalau tengok menda yang sama setiap masa. Tapi takdelah nak assume yang aku nie cepat boring, rasanya cuma tak boleh kalau tengok benda tu incomplete. Aku sukakan kesempurnaan, yes. Tapi sempurna pada setiap yang aku hasilkan, bukan kesempurnaan diri atau orang lain. Manusia tak sempurna kan, camtu jugak dengan aku. Cuma berilah kesempatan untuk aku melakukan sesuatu itu sesempurna mungkin, dan sehingga aku berpuas hati dengan segala usaha yang telah aku lakukan. Bagi aku, sangat tak berbaloi kalau kita lakukan sesuatu itu sekadar cukup syarat. Sekadar nak siap. Bagi aku, itu buang masa namanya. Tak begitu ke? Lebih baik lakukan sedikit perkara dan sempurna daripada banyak perkara tetapi tunggang terbalik.. Itu cuma pendapat peribadi aku, yang tersetting sendiri dalam minda berdasarkan kehidupan sendiri. Aku akui aku pun tak sempurna dan masih belum sempurna untuk melakukan sesuatu sehingga sempurna. Cukuplah buat masa ini aku memandang sempurna itu sebagai sesuatu yang membuatkan aku berpuas hati.. Selagi ada masa dan kesempatan, sentiasa ingin memperbaharui sesuatu itu sehingga sempurna..

Hah mulalah tu nak membebel-bebel seorang diri. Sebenanya ada banyak perkara yang nak aku katakan. Terlalu banyak yang ingin diluahkan tapi aku tak dapat nak menyusun kata-kata dan perkataan. Sehingga kini aku masih selesa dengan kertas dan pen, bukannya keyboard. Okey mungkin aku nie ketinggalan zaman tapi asal manusia mencoret ialah pada kertas jugak kan? Jadi rasanya tak salah kan kalau keselesaan itu masih pada kertas.. Hahaha.

Dan sungguhlah aku pun tak faham mengapa sangat sukar untuk mencoret sesuatu pada blog ini walaupun secara konteksnya blog ini merupakan milik aku dan aku bebas untuk mencoret apa saja. Apa yang aku rasakan, apa yang aku simpan dan apa yang ingin aku luahkan. Aku teringin nak jadikan blog ini sebagai diari harian aku tapi masih kempunan nampaknya. Ada sebuah buku yang aku beli di Rafflesia ( anak jati Kg Gajah tahu kedai nie ) dan buku itu aku ambil dari rak yang berhabuk dengan satu tujuan. Setelah aku meninggalkan zaman persekolahan, aku ingin mencoret segala isi hati pada buku tersebut. Aku ingin mencatatkan segala-galanya supaya suatu hari nanti apabila aku membelek buku tersebut, aku melihat banyak kenangan yang bertanda. Kenangan yang mungkin tidak semuanya indah tetapi masih mampu membuatkan aku tersenyum. Teringat tulisan Cikgu Eriza, ingin diperingatkan oleh tulisan sendiri.. Hah aku pun nak diperingatkan oleh tulisan sendiri jugak. Kehidupan terlalu berharga untuk disia-siakan, dan kenangan terlalu mahal untuk dilupakan. Memang aku antara orang yang hidup berdasarkan dua guru paling mahal; KENANGAN dan PENGALAMAN. Dua guru itu memang banyak mengajar aku untuk tidak membuat kesilapan yang sama sekali lagi. Namun dalam masa yang sama, Islam tetap menjadi pegangan agar aku tidak tersungkur dengan kenangan dan pengalaman yang menyimpang sebelum ini.

Mukmin yang beriman tidak akan jatuh di lubang yang sama dua kali..

Harap-harap, aku mampu untuk menjadi insan yang lebih baik hari demi hari. Sedar yang aku ini bukanlah insan yang terlalu baik. Terlalu banyak kekhilafan yang dilakukan. Terlalu banyak air mata yang dibazirkan untuk perkara yang sia-sia. Dan yang paling utama, untuk manusia yang tiada apa-apa untuk ditangiskan.

Berharap pada tahun hadapan yang bakal menjelma tidak lama lagi, satu fasa kehidupan yang baru akan berlangsung.. Satu kehidupan yang lebih baik akan tercapai. InsyaAllah, selagi ada masa akan aku sentiasa cuba untuk memperbaiki diri ini. Sentiasa cuba untuk menjadikan kehidupan ini lebih bererti dan dirahmati Allah SWT. Aku taknak menjadi insan yang rugi!



InsyaAllah. Aqila Syahiena bukan orang yang mudah berputus asa.

No comments: