Dec 30, 2011

Sepuluh Tahun Punya Perbicaraan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.. Hari ini aku mula bergiat aktif untuk membuka laman sesawang setelah sehari suntuk semalam terbaring sebab demam. Macammana boleh demam? Itu jangan ditanya. Sudah pasti sebab terkejut dengan panggilan hangit tempoh hari. Itulah salah satu kelemahan yang sampai sekarang masih susah untuk aku betulkan ; AKU AKAN DEMAM KALAU TERKEJUT :)

Macam bebudak je kan.

Tapi tak dinafikan yang aku betul-betul kecewa sewaku mendapat panggilan dari MARA tu. Terasa macam gelap jalan di depan selepas ini tapi aku sedar yang tu cuma perasaan yang lahir daripada kesedihan aku. Perasaan sedih dan down aku yang betul-betul buat aku menangis berjam-jam tak henti. Aku tak malu untuk mengaku yang aku menangis sebab menangis ialah perkara pertama yang akan aku lakukan kalau aku dah tak tau nak buat apa. Kalau aku dah rasa tak pasti dengan realiti yang aku terpaksa telan sendiri. Bukan sebab sedih. Aku takkan menangis kalau aku hanya sedih.

Walau apapun, hidup mesti terus. Pahit mana pun realiti itu, aku masih diberikan peluang untuk melakukan yang terbaik dalam hidup aku selepas ini. Walaupun jalan tersebut gelap dan panjang. Walaupun aku akan menangis berkali-kali lagi selepas ini tapi aku perlu terus berjalan. Berjalan untuk menghabiskan hidup yang diberikan dengan penuh ketelitian.

Anugerah terindah dalam hidup ini ialah apabila kita dapat mengenal pasti apa yang BENAR...

Sebaris ayat itu lahir spontan daripada pemikiran aku ketika aku sedang bersedih. Perkataan benar itu membawa aku untuk kembali mengenal pasti keadaan sebenar ketika itu. Hanya satu kebenaran yang aku temu ; Allah akan menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk hamba-Nya yang akur dengan ketentuan-Nya.. Ayat itu membawa aku supaya menerima segala yang telah terjadi dan yakin bahawa semuanya akan ada hikmahnya.. Semuanya akan baik-baik saja selagi aku yakin dengan janji-Nya..

Dan tiba-tiba aku teringat dengan janji yang telah aku pahatkan dalam hati beberapa bulan yang lalu.. Janji 10 tahunku.. Ada banyak perkara yang telah aku tanam dalam hati untuk tempoh sepuluh tahun tersebut. Ada janji yang aku ukir kerana yakin untuk kebaikan diri sendiri, ada janji yang aku ukir kerana gurauan.. Namun ada juga janji yang aku ukir untuk menjadi satu bukti.. Untuk diri aku sendiri dan untuk orang lain. Dan itu merupakan janji aku yang paling berat walau aku yakin janji tersebut ialah satu-satunya yang aku kan sentiasa cuba untuk laksanakan..

Aku akan cuba sedaya upaya untuk mengotakan janji-janjiku walaupun ada antaranya yang aku katakan kerana gurauan.. Contoh terdekat, janji aku untuk menguruskan badan :D

Aku sematkan dalam hati bahawa untuk sepuluh tahun akan datang, aku tidak mahu dan tidak akan melihat diri aku menjadi berbeza daripada sekarang. Bukan bermakna aku tidak mahu melakukan sebarang perubahan namun kerana aku terlalu menyayangi aku yang sekarang. Aku yang terbentuk menerusi pengalaman-pengalaman yang pernah aku lalui. Aku sayangkan diri aku yang sekarang kerana aku telus dengan diri ini. Aku tidak menyembunyikan apa-apa dan aku cukup percaya akan diri ini. Diri aku yang kini. Aku tak mahu menjadi diri yang lain kerana diri yang lain bermaksud orang lain tidak akan mengenali diri ini lagi. Aqila yang 'ini'.

Namun dari beberapa segi, pastinya akan aku perbaiki. Islamku. Kehidupan keluargaku. Kehidupan aku. Tiga perkara ini yang aku akan pastikan berubah walaupun perlahan-lahan.. InsyaAllah.

Semua janji-janji itu merupakan kenyataan yang aku sematkan tentang diri ini. Kepada diri ini. Hanya satu janji yang aku ukir untuk diri ini tentang manusia lain.

Sepuluh tahun lagi, insyaAllah apa yang aku sayang dalam hati ini tetap sama. Hati ini tetap seperti ini dan tidak berubah. Mee rebus ayah Lando yang merupakan mee rebus original dari Kampung Gajah masih menjadi kegemaranku. Masih menjadi pilihanku. Dan aku hanya akan makan mee rebus itu di Pasir Salak sahaja. Itu terjemahan janjiku.

--> igt impian 10 tahun ko..


Insya Allah aku ingat selalu


No comments: