Jan 11, 2012

Tinta-Tinta Lalu Yang Tidak Pudar - Bahagian VII

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Satu Dunia
Bicara ikhlas tapi telus dari Aqila Syahiena..

# Perkongsian Ketujuh - Camar, Dengarkanlah Aku.. (15 Mac 2010)
# Sejarah Coretan - Cerpen ini dihasilkan untuk mencuba melibatkan diri dalam bidang penulisan kreatif dan jatuh cinta pula. Sebelum berpindah ke Pasir Salak aku sempat memberi salinan cerpen ini kepada Cikgu Nasarudin yang merupakan cikgu Sejarah serta banyak memberi semangat kepada aku. Cerpen ini juga menjadi pengenalan diri aku di Pasir Salak ketika mula-mula berada di sana :)

****

Camar, Dengarkanlah Aku ...

Aqila Binti Mohd Noor
940722-10-5200
16 Mac 2010 , 3.31 am
Sejuta Penghargaan Dan Kasih Sayang Buat Farah Syairah Hussin Yang Menggalakkan Aku Untuk Terus Berkarya Dalam Dunia Sestera Nan Indah
Hak Cipta Terpelihara


Dedikasi Khas Buat Keluarga, Sahabat Handai Serta Warga Pendidik Yang Diingati.
.....

        Camar, sampaikan pesanku padanya. Katakan yang aku masih merinduinya. Aku masih menantikan hadirnya, masih mengharapkan dirinya, masih memerlukan setinta kata daripadanya yang ku kira dapat mematri kekuatanku dalam mengisi kelongsong hidupku yang kian kosong. Camar, terbanglah engkau selaju-lajunya. Aku memerlukan dia, camar! Tolonglah !

                                                                      *****

       Pagi itu masih dingin. Embun masih menitis dari hujung perdu pohon yang tegak subur di perkarangan rumahku. Matahari masih lesu di kaki bukit, cuba memancarkan cahayanya walau kabus masih menyelimuti alam. Perlahan, aku menyelak daun pintu dan berjalan ke arah dapur. Terjengket-jengket langkahku. Aku menggagaukan tanganku ke atas para yang terletak bersebelahan dengan sinki untuk mencapai gelas. Teriakan tekakku yang haus meminta dicurahkan air perlu diredakan.

       “Sudah bangunkah, Dila?”

       Pranngg! Gelas yang masih berbaki suku air itu terlepas dari genggaman tanganku. Pantas, aku menunduk dan meraba lantai bagi mengutip sisa gelas yang pecah. Aduh, ibuku ini kacau daun pula!

      Kedengaran bunyi tapak kaki ibu yang bergegas menghampiriku. “Itulah, mengapa tidak kejutkan ibu? Habis pecah gelas ini. Sudahnya, siapa yang susah? Ibu juga yang harus membersihkan serpihan kaca ini. Jika mengharapkan kamu, huh! Sampai ke pagi esok pun kaca ini masih bersepah di lantai. Berderet-deretlah adik kamu yang seramai lima orang itu beratur di hadapan kaunter klinik kerana terpijakkan kaca,”leter ibu sambil tangannya meliau mencari penyapu. “Sudah, biar ibu bersihkan. Kamu pergi duduk jauh-jauh, jangan mampir ke mari. Buatnya kaki kamu terpijak kaca, naya jadinya,”

       Aku mengatur langkahku ke arah ruang tamu. Habis, habis rancangan aku! Kenapa pula awal benar ibu bangun hari ini? Sudahlah rosak rancangan aku hendak ke bendang Pak Jalal, kena leter dengan ibu pula! Pasti camar di sana merinduiku kerana sudah sepurnama aku tidak ketemu mereka. Sungguh tidak kena segala-galanya. Sambil melangkah, aku membebel keseorangan. Mana mungkin akan aku suarakan ketidakpuasan hatiku ini kepada ibu, kelak aku juga yang bakal hangus ditelan api kemarahannya. Bukan aku tidak masak dengan fi’il ibu. Sudah 16 tahun aku sebumbung dengannya, menongkah hari demi hari yang mendatang. Segala hakikat leteran dan hamburan marahnya telah hadam kutelan dan sudah sebati di dalam diri ini.

       Perlahan, aku memegang bucu meja dan melangkah satu persatu. Segala objek, perabut dan susun atur serta selok-belok rumah ini sudah terakam di fikiranku. Yang mana satu kerusi yang bengkok hujungnya, sofa yang melendut bunyinya kala diduduki, tangga yang berlubang di tengahnya sudah mampu ku hafal. Bahkan lantai yang reput dimakan anai-anai juga sudah aku cam perletakannya.

       “Dila...”

       Aku terkedu. Suara itu begitu mesra berlagu di cuping telingaku.

       “Dila...”

       Sekali lagi aku termangu. Mengapa suara itu kedengaran lagi? Apakah benar aku mendengarnya, atau aku sekadar mendengar bisikan yang saban hari bergema dalam hatiku? Apakah benar empunya badan yang menuturkan sendiri namaku itu?

       “Dila, mengapa Dila masih tercegat di sini? Bukankah Dila sepatutnya sudah berada di bendang dan menghitung cemara?”

       Aku menoleh dan mencari-cari dari arah mana datangnya suara tersebut. Hatiku berdetak, ya Allah, sungguh aku rindu dengan insan yang memiliki suara tersebut. Rindu serindu-rindunya!

       “Dila?” Langkahku terhenti. “Dila, mengapa ini? Mengapa ibu lihat kamu seperti meliau mencari seseorang? Apa yang kamu cari, Dila?” Suara ibu kedengaran. Terasa hangat sentuhan mesranya yang mencengkam bahuku. Serentak itu, air mataku gugur buat kali yang entah ke berapa. “Mengapa anak ibu menangis, Dila terkesan hatikah dengan ibu kerana memarahi Dila pagi tadi? Sungguh ibu lupa bahawa Dila tidak sengaja. Ibu tidak berniat hendak melukakan hati Dila. Maafkan ibu, sayang. Ibu lupa akan perasaanmu, ibu lupa bahawa Dila bukan seperti anak-anak ibu yang lain,”

       Makin deras berjuraian air mataku. Seorang ibu meminta maaf dengan anaknya, bukan sesuatu yang sepatutnya berlaku. Walau hatiku agak tercalar dengan sikap ibu yang memarahiku kerana kesalahan yang tidak sebesar mana, namun sebagai anak aku seharusnya akur bahawa kemarahan ibu itu bersebab. Aku tidak berkecil hati dengan ibu, cuma.. Suara itu. Suara itu yang telah mengusik kelabu hatiku.

       “Ibu faham perasaan Dila. Ibu turut bersedih dengan apa yang telah menimpa Dila. Maafkan ibu, sayang. Ibu tahu peristiwa itu masih berbekas di hati Dila. Sabarlah Dila, sesungguhnya orang yang sabar itu kekasih Allah.  Mana mungkin segalanya terpadam dalam masa yang singkat,”

       Ya, benar kata-kata ibu itu. Tidak mungkin akan ku lupa segala yang telah terjadi, kerana peristiwa itu telah merubah hidupku secara total. Walau dua tahun telah berlalu, namun ia masih basah dalam ingatanku. Masih terimbas kenangan lalu. Masih terngiang suara itu. Masih terlihat bayangan itu...

       Dalam pelukan ibu, masa berputar kembali dan merakam peristiwa dua tahun lalu.
                                                          
                                                                  *****                    

       “Abang Man, lihat! Camar itu beterbangan mencari anaknya. Tidak sekata corak terbangnya, mungkin kerana kegundahan hati yang melanda,” Laju butir bicaraku sambil mataku meliau menjilat udara. Camar itu ku perhatikan dengan penuh pesona.

       “Ya, kasihan camar itu. Anaknya hilang ditelan ular. Pasti tidak keruan hatinya, lantaran kehilangan anak tercinta. Walaupun ia hanya seekor binatang yang tidak dikurniakan akal, namun Allah telah menganugerahkan ia dengan kasih sayang yang tiada hadnya,” telus kata-kata Aiman. Dicapai ranting yang berhampiran lalu dikuisnya dengan jari. Aku yang duduk bersebelahan dengannya hanya memerhati. Rendang pohon yang menjadi tempat kami berteduh memayungi kami yang kepenatan kerana menuai padi di bawah terik mentari.

       “Binatang pun mempunyai rasa sayang? Bukankah binatang merupakan makhluk yang zalim? Dila pernah terlihat seekor kucing memakan anaknya sendiri. Itukah yang dinamakan sayang? Mengapa Abang Man mengeluarkan spekulasi begitu?” Berdas-das soalan aku lontarkan. Namun Aiman dengan sikap tenangnya hanya tersenyum dan memandangku sekilas.

       “Binatang tidak zalim, Dila. Seperti yang abang katakan tadi, binatang tidak mempunyai akal. Oleh sebab itulah kucing yang  Dila lihat itu memakan anaknya sendiri. Ini kerana, kucing tersebut tidak mempunyai akal untuk membezakan antara tikus dengan anaknya sendiri. Itulah beza antara manusia dengan binatang. Sekiranya manusia pun membunuh anaknya sendiri, manusia itu memang sepatutnya disamakan taraf dengan binatang! Bertindak dengan tidak menggunakan akal yang waras,” Aiman membalas persoalanku dengan penerangan yang panjang lebar. Aku yang mendengar hanya terangguk-angguk. Maklumlah, usia yang masih mentah menghalang aku untuk berfikir dengan matang. Oleh itu, segala persoalan yang terkeluar di benakku aku suarakan pada Aiman. Aiman yang berkelulusan universiti itu bagiku terlalu bijak dan aku amat mengaguminya. 

       “Dila hendaklah menggunakan akal yang telah dianugerahkan Allah itu dengan sebaik-baiknya. Abang tahu, Dila akan membesar menjadi seorang ilmuwan Islam yang cemerlang dan mampu menggerakkan negara ini ke depan. Dila merupakan generasi Islam yang bakal menentukan kibaran panji agama kita pada masa akan datang. Abang yakin dengan Dila, Dila mampu mencapainya,” Aiman menguis-nguis lagi ranting tersebut dan melakar sesuatu di tanah tempat kami melabuhkan punggung. Kelihatan gambar seorang gadis dewasa yang ayu berlitup tudung di kepalanya. Sekilas itu, wajahku kemerahan. Ah, perasan juga Aiman rupanya! Bukan salahku yang tidak mengenakan selendang di kepala pada hari itu, namun ibu yang menghalang hasratku. Katanya, aku masih anak gadis yang mentah. Belum diwajibkan lagi untuk memakai tudung. Aku yang naif pun hanya menuruti saja, walau di benakku telah terimbas wajah hampa Aiman melihat rambutku yang separas pinggang itu menari bebas tanpa sarung.

       “Maafkan Dila. Dila sudah merancang hendak memakai tudung seperti yang telah abang ajarkan kelmarin, tetapi..”

       “Abang tahu, ibu Dila tidak mengizinkan bukan? Tidak mengapa, buat masa ini memang Dila belum diwajibkan untuk menutup aurat. Tetapi Dila harus ingat, didikan mestilah bermula sejak dari awal. Usah tunggu sehingga sampai waktunya baru hendak bertatih belajar. Waktu itu, sekiranya hati dan pemikiran sudah tetap, sudah hadam, sudah nekad untuk tidak mengikut syariat yang telah digariskan Islam, susah jadinya,” Aiman berhenti sebentar dan menghela nafasnya. “Dila tahu bukan, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” sambung Aiman lagi. Dia tersenyum memandangku. Sememangnya Aiman seorang yang murah dengan senyuman, dan mata redupnya itu tampak manis kala tersenyum. Kadangkala aku juga yang cemburu kerana setiap kali kami berpapasan dengan perawan lain di bumi Mersing ini, mereka akan tunduk dan tersipu-sipu malu memandang Aiman. Ah, aku masih budak! Tidak mengerti atas tujuan apa mereka harus malu begitu.

       “Abang tidak menyalahkan ibu Dila kerana setiap ibu tahu apa yang terbaik buat anaknya. Cuma, sekiranya boleh abang ingin melihat Dila memakai tudung dan menutup aurat. Tentu adik abang ini akan kelihatan lebih manis..” Dia terhenti sebentar dan mencuit hidungku. Aku yang mendengar turut ketawa terkekek-kekek dan menepis tangan kasar Aiman. “Abang tidak bergurau, tidak juga menipu Dila. Dila akan membesar menjadi seorang gadis yang cantik dan ayu. Waktu itu, abang hanya mampu menongkat dagu dan melelehkan air liur melihat Dila didampingi lelaki lain. Yalah, mana mungkin Dila akan memandang abang yang serba kekurangan ini..” tutur Aiman sambil mempamerkan wajah sedihnya.

       “Eii abang ini, abang sangka Dila akan jatuh kasihankah melihat abang memasamkan muka begitu? Jauh panggang dari api. Hilang ketampanan abang, bertukar menjadi si jelik yang hodoh..” Aku mencebik dan menolak tubuh Aiman dengan kasar.

       “Aduh, sakitlah! Tangan Dila ini tidak sepadan dengan tubuh kecil Dila. Mujurlah abang ini kuat lagi gagah perkasa, jika tidak pasti sudah terbang melayang ditiup angin,” balas Aiman. “Abang seorang saja yang perasan diri abang itu gagah. Hakikatnya, disuruh dukung Dila pun tidak larat,” Aku membalas dengan wajah selamba.

       “Yalah Dila, abang saja yang kalah. Tapi, memang benar apa yang abang katakan tadi. Dila akan menjadi seorang gadis dewasa yang jelita. Cuma satu nasihat abang, jangan sesekali lalai dan leka dengan kecantikan lahiriah yang telah Allah kurniakan. Peliharalah diri Dila daripada pandangan mata-mata yang jahat dan bertopengkan syaitan. Jadilah seorang muslimah, seorang mukminah, seorang mujahidah, dan seorang muslihah yang kuat mempertahankan akidah dan agamanya sebagaimana Sumayyah Ummu Ammar, isteri kepada Yasir yang gugur  syahid kerana mempertahankan iman dan akidah,”

       Aku terkedu. Pilu dan rasa terharu mula meliau di dadaku. Begitu bermakna sekali kata-kata yang dituturkan oleh Aiman tadi. Mampukah aku menjadi seperti Sumayyah, seorang wanita yang kental imannya itu? Nama Adila Sumayyah yang telah dizahirkan oleh arwah bapaku itu belum tentu lagi dapat menjamin peribadiku akan semulia Srikandi Sumayyah.

       “Seorang muslimah bermakna Dila perlu menjadi seorang wanita Islam yang benar-benar mengamalkan segala tuntutan agama seperti mana yang digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Bukan hanya kalimah syahadah sebagai bukti keIslaman, malah menjadikan Islam sebagai cara hidup. Seorang mukminah pula bukan sekadar beriman kepada Rukun Iman, bahkan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Tegal hakikat iman yang sempurna itu adalah mengikrarkan dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan. Seorang mujahidah menurut pemahaman abang ialah seorang wanita yang berjihad bersungguh-sungguh dalam apa jua situasi demi memastikan Islam terus bernafas dan dipandang tinggi, manakala seorang muslihah pula seorang wanita yang berperanan melakukan tugas-tugas islah dan pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku dalam umat dan masyarakat,” jelas Aiman dengan lancar. Fasih lidahnya berkata-kata walau kepenatan akibat berjemur di tengah panas masih merajai badan. “Dan seorang Sumayyah pula..”

       Pantas aku mencelah. “Arwah ayah menamakan Dila dengan nama Adila Sumayyah yang bermaksud kesempurnaan seorang Sumayyah, dengan harapan Dila akan meneruskan keunggulan peribadi Sumayyah zaman Rasulullah S.A.W. Tapi, Dila khuatir tidak dapat menyempurnakan harapan arwah ayah itu. Mampukah Dila menjadi seperti Sumayyah Ummu Yasir, Abang Man?” Aku menoleh dan merenung wajah Aiman. Sedikit pun dia tidak kelihatan letih kerana melayani persoalanku.

       “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Berbekalkan keazaman yang konkrit dan keyakinan yang jitu terhadap Allah S.W.T, Dila pasti mampu mencapainya. Malah, tidak mustahil juga sekiranya Dila mampu menjadi Adila Sumayyah yang lebih hebat lagi! Yakinlah adikku, Allah sentiasa ada untukmu,”

       Ya, benar kata-kata Aiman itu. Walaupun dia berkelulusan universiti dalam bidang Pengajian Melayu, namun pemahaman dan pengetahuannya tentang Islam begitu mendalam. Pernah aku suarakan kehairanan aku tentang keputusannya untuk menyambung pelajaran dalam bidang itu, namun Aiman hanya tersenyum dan ketawa. Katanya, dia ingin menjadi seorang guru dan berbakti terhadap anak-anak bumi Mersing yang dahagakan ilmu. Dia ingin menabur budi terhadap tanah tempat kelahirannya itu kerana rasa tanggungjawab dan prihatin. Jelasnya lagi, anak-anak muda kini sudah tidak berminat handak menjadikan profesion perguruan sebagai bidang kerjaya mereka, khususnya lelaki. Kebanyakan mereka hanya berkhidmat sebagai guru setelah tiada pekerjaan lain yang boleh dijadikan sandaran dalam menyambung hidup. Pekerjaan yang mulia ini dipandang sepi dan diletakkan di ‘ranking’ paling belakang. Itulah yang paling dikesali oleh Aiman.

        Sebaik saja mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Aiman terus melanjutkan pelajaran ke Universiti Perguruan Sultan Idris, Perak. Tiga tahun menuntut di sana menyebabkan aku keseorangan meniti hari di sini. Masakan tidak, sebelum ini Aimanlah yang sering menemani aku berselut di tengah bendang, mengejar camar yang beterbangan. Aiman yang menjadi teman aku bermain, menjadi tempat aku mengadu kala dimarahi ibu, dan menjadi sahabat baik merangkap abangku. Walaupun perbezaan umur kami begitu ketara, namun Aiman tidak pernah kisah. Dia tetap melayaniku dengan baik sehingga kadangkala ibu memarahi aku lantaran selalu berkepit dengan Aiman. Ibu menegah dan melarang aku bertandang ke rumah Aiman kerana khuatir aku akan mengganggu waktu ulang kaji Aiman yang ketika itu bakal menghadapi peperiksaan penting. Tetapi aku tidak pernah peduli. Ketiadaan abang menyebabkan aku mencari Aiman untuk menumpang kasih dan sayang.

       Aku bersyukur kerana Aiman menunaikan janjinya untuk kembali ke kampung ini setelah tamat belajar. Dengan kehadiran Aiman, kuranglah walang yang melanda hidupku ini. Aiman sering menasihatiku agar menuntut ilmu dengan lebih tekun kerana hanya ilmu yang bakal menjamin masa depanku. Dia juga  yang telah menenangkan aku saat aku kehilangan ayah tercinta kerana menghidap penyakit angin ahmar. Hanya dia yang mampu memujuk aku ketika itu, setelah ibu sendiri tidak mampu mengawal kesedihanku. Aiman saja yang aku ada sebagai teman yang menghiasi hari-hariku, mengisi kekosongan waktu-waktuku. Aimanlah segalanya buatku.

                                                                     *****     

       “Abang, lihat! Anak camar itu mencicit kelaparan. Di mana ibu camar itu? Kasihan, anaknya lapar menanti sesuap makanan buat pengalas perut,” Aku menjulurkan kepalaku agar dapat melihat sarang camar tersebut dengan lebih dekat lagi. Genggaman tanganku begitu kejap mencengkam dahan pokok agar tidak jatuh menyembam bumi.

       Aiman yang menemani aku memanjat pohon kapas itu juga kelihatan terkial-kial mencapai dahan untuk berpaut. Semuanya gara-gara aku yang mendesaknya untuk melihat anak camar dengan lebih dekat. Walaupun ditegah Aiman, namun aku tetap berdegil untuk memanjat pohon kapas yang tingginya menceceh 12 kaki itu. Sudahnya, Aiman turut serta mengikutku kerana khuatir akan keselamatan aku yang ketika itu masih kecil. Aku hanya tersenyum puas kerana menang.

       “Hati-hati Dila, pohon ini tinggi. Abang tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa Dila. Masak abang perlu berhadapan dengan ibu Dila nanti,” leter Aiman sambil matanya tidak putus-putus memandang aku dan tanah di bawah bersilih ganti. Aku yang ghairah melihat keelokan paras anak camar itu terus leka menatap.

       “Aduh! Abang Man, anak camar ini menggigit Dila!” jeritku setelah anak camar itu mula mematuk dan menggigitku. Segera aku menarik tangan yang telah meliar ingin mengangkat anak camar tersebut. “Tolong Dila, Abang Man!” Aku cuba menjauhkan diriku dari sarang tersebut.

       Aiman yang mendengar jeritanku pantas memanjat untuk menarikku jauh dari situ. Mungkin, dalam kekalutan dia terlepas pandang bahawa bukan kami berdua saja yang berada di atas pohon itu. Dia hanya berhenti setelah menyedari kakinya menangkap satu rasa yang sejuk dan melekit. Sesuatu yang besar telah mencengkam kakinya. Serentak itu, dia menoleh dan tergamam.
                                                                 
                                                                  *****
    
        “Semua ini terjadi kerana kesalahan Dila, ibu. Dila degil, tidak mendengar kata Abang Man yang melarang Dila ketika itu. Selama ini apa yang diperkatakan oleh Abang Man, tidak pernah Dila tepis. Tetapi, sekali itu.. Hanya sekali itu Dila mungkir dan Dila harus menelan natijahnya hingga saat ini dan selamanya,” Aku tersedu-sedan dalam pelukan ibu. Kelukaan yang merabit di jiwa terasa amat sakit dan perit. Pilu dan ngilu merobek segenap penjuru lorong hatiku. Pedih, terlalu pedih batinku.

                                                                     *****

         Aiman pantas menjerit namaku lantaran dia tidak berdaya hendak bergerak lagi. Ular sawa sebesar paha orang dewasa telah melilit kaki dan pinggangnya, hanya menunggu masa hendak mendakap Aiman sepenuhnya dengan kekuatan yang tidak mampu dileraikan. Aku yang ketika itu sedang ralit menepis paruh kecil anak camar tersebut segera menoleh dan terkedu. Mataku sempat menangkap badan ular sawa itu. Panik, cemas dan kalut mula merantai diri. Dengan sepenuh tenaga yang ada, Aiman meronta dan terus meneriakkan namaku. Aku yang terpukau kaku bagai disampuk hantu sudah tidak mampu mengeluarkan buah fikiran dengan lebih waras lagi.

       Gegaran yang terhasil akibat rontaan Aiman itu telah menghilangkan keseimbangan badanku. Serentak, kami bertiga merempuh dingin udara dan jatuh berdebuk di tanah. Ranting dan dahan yang panjang tertusuk-tusuk di mukaku. Perasaan aneh mula menerpa. Sesuatu yang kurang menyenangkan bagai terasa-rasa di mataku. Rasa itu disusuli pula dengan kesakitan yang teramat sangat. Dalam keadaan pijar dan perit, aku melangkah terhuyung-hayang mencari kelibat Aiman. 

       Ketemu. Dalam kelam pandangan mataku, aku sempat menatap tampang yang terbaring di hadapanku.  Mataku dan matanya bertemu, dan aku dengan kesakitan yang teramat sangat cuba menyambut huluran tangan Aiman yang kian terkulai layu. Aku melihat nada sendu yang terzahir di matanya. Aku melihat air mata yang bertakung di kolam matanya, cuba mengalir keluar namun terhalang oleh pulupuk mata yang mungkin akan terpejam tanpa kembali terbuka.  Aku melihat kelembutan dan kepiluan di matanya, seolah menjadi pengganti diri untuk mengucapkan selamat tinggal kepadaku. Perlahan, mata itu terkaku tanpa makna. Mata itu ku lihat semakin kosong, gelap dan dalam. Mata itu sudah kehilangan serinya. Hilang yang takkan mungkin kembali.

       Aku yang semakin dicengkam kesakitan turut rebah di sisi Aiman, bintang hati yag telah pergi direntap kegelapan kala aku tidak berdaya untuk menggilap kembali sinarnya.

                                                                     *****

         “Bersabarlah Dila, ibu turut bersedih atas kehilangan Aiman. Namun Dila tidak boleh meletakkan kesalahan tersebut di atas pundak bahu Dila. Sudah lupakah apa yang sering Aiman titipkan buat Dila? Kita hendaklah menerima Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dengan hati terbuka, walau bagaimana pahit sekalipun takdir yang telah tertulis buat kita. Segala yang berlaku ada hikmahnya yang tersirat, dan kita sebagai hamba Allah yang lemah harus reda dengan ketentuan-Nya. Lepaskan arwah Aiman pergi, Dila. Biarkan dia bersemadi dengan tenang di alam sana.  Biarpun dia tiada lagi di sisi Dila, menemani dan menjaga Dila, namun di hati Dila dia tetap hidup. Dia akan memastikan seri hari Dila tidak pernah hilang, dan akan selalu memandu Dila ke arah yang sepatutnya. Tidak salah untuk Dila terus mengingati dia, namun jangan sampai kewarasan merantai emosi,” Ibu terus mendakap dan mengusap-usap tubuh cengkungku. Aku hanya mampu menangis dan menangis. 

       Sesunguhnya aku benar-benar terkesan dengan kehilangan Aiman. Saat menatap pusara sepinya, rohku bagai melayang-layang dan terbang bersama jiwaku. Aku telah banyak menempuh kemanisan dan kegetiran hidup bersama Aiman. Entah kapan akan surut bengkak yang bernanah dalam hatiku ini. Hari demi hari yang aku lalui, tidak pernah sekali pun aku sudahi tanpa menitipkan segugus doa buat Aiman. Moga, kepergian Aiman akan ada pengubatnya. Aku akan setia mengikat diriku dengan ikrar untuk menjadi seorang muslimah, mukminah, mujahidah, muslihah dan seorang Sumayyah.

       Huluran tangan ibu segera ku capai. Dengan perlahan, dia memimpin anaknya yang buta ini ke bendang tempat aku akan menghabiskan waktu-waktu senggangku mendengar kicauan camar. Ya, hanya cemara itu yang setia mendengar rintihan dan kesakitanku. Camar itu jua yang menjadi pengganti kehadiran Aiman dalam hidupku, dan aku akan terus setia meladeni kicauannya.

       Camar, dengarkanlah aku...
                                                                
                                                                   -TAMAT-

No comments: