Apr 5, 2012

Cerpen- Sayonara Daisukina Hito (PART TWO)

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Satu Dunia
Bicara ikhlas tapi telus dari Aqila Syahiena..



“ So ne, Hanna Adila desu ka? (Kau Hanna Adila kan?) “


Wanita itu juga kelihatan tersentak apabila Aiman Haris menuturkan ayat itu, namun pantas dia menyembunyikan rasa terkejut itu dan tersenyum kecil. “ Awak salah orang nie, saya bukan Hanna Adila. Tak pernah dengar pun nama tu, “ Tenang dia menjawab.


Aiman Haris juga tersenyum kecil dan menyandarkan badannya di kerusi. “ Anata ga kanojo inai baai, anata wa watashi o rikai shimasen, migi? (Kalau kau bukan dia, kau takkan faham apa yang aku cakapkan ini, betul tak?) “ Dia masih memandang ke hadapan dan melarikan matanya ke arah pasangan tua yang sedang lena di kerusi mereka. Wanita di sebelahnya itu kelihatan serba salah dan menyesal kerana terlepas cakap bahasa yang sama dengannya tadi. ‘Bodoh! Kenapalah aku menjawab tadi..’ Desis hati kecilnya.


Aiman Haris tersengih melihat gelagat wanita itu yang kelihatan seperti memarahi dirinya sendiri. Ceh, nak buat-buat tak kenal pulak dah dia ni.. “ Lama tak jumpa kan? Sorry lah, aku betul-betul tak cam kau tadi. Lain betul kau sekarang ni! So, buat apa kau ambil flight pergi Nagoya ni? “ Dia mula mengambil langkah berinteraksi dengan wanita itu dengan pertanyaan ‘klise’ untuk situasi ‘long time no see’. Dipandangnya wanita itu sepintas lalu. Tak boleh lama-lama, dia ni ada aura nak kasi penyepak kat orang!


Hanna Adila yang memandang ke luar tingkap masih diam membatu. Langsung tidak terdetik dan tidak berkutik sedikit pun untuk membalas pertanyaan Aiman Haris sebentar tadi. Dibiarkan sahaja Aiman Haris tersengih seorang diri seperti orang gila. Aiman Haris menjungkitkan keningnya apabila melihat Hanna Adila membuka beg sandangnya dan mula membaca majalah In Trend. ‘Aik? Dah tak baca  manga Jepun lagi ke? Hehehe..’ Dalam diam Aiman Haris mentertawakan Hanna Adila. Masakan tidak, sewaktu zaman persekolahan dulu dia kerap melihat Hanna Adila membaca manga Jepun setiap kali waktu prep. Kadangkala dia akan mengangkut sedozen manga dan menimbunkannya di atas meja untuk dibaca sewaktu bosan dalam kelas. Pelik juga mengapa gadis Harajuku ini membaca majalah kecantikan orang perempuan.


" Wei, dah sebelas tahun kau tak jumpa aku. Takkan kau nak bagi a big no-no untuk aku? Tak baik ignore orang yang nak menegur tau, “ Dia cuba memprovok Hanna Adila untuk bercakap dengannya. Diam. Masih tiada respon. “ Fine, “ Dia akhirnya mengangkat bendera putih. Hanna Adila memang kepala batu! Sama macam dulu.


“ Ada conference kat sana, “ Akhirnya tercetus juga suara perlahan di sebelah telinga kanan Aiman Haris. Aiman Haris tersenyum kecil. Ada pun suara, ingat dah bisu! “ Who’re you now? A lawyer? An artist? Or a wife-to-be? “ Dia mengusik nakal tapi ternyata Hanna Adila masih seperti tadi. Batu. Entah mengapa namun dia berasa geram kerana Hanna Adila tidak mempedulikannya. Gadis itu seolah-olah telah berubah secara total sejak kali terakhir dia melihatnya. Sombong! Padahal dulu macam monyet, tak reti-reti duduk diam. Mulut pula macam murai tercabut ekor, tak henti-henti bercakap dalam bahasa Jepun. Kini dia melihat Hanna Adila seperti seorang asing yang baru dikenalinya.


Hanna Adila mengeluh. “ Jangan salahkan aku kalau aku dah lupakan kau, Aiman, “ Dia bersuara perlahan namun cukup untuk didengari Aiman Haris. Aiman Haris mengerutkan dahinya, pelik dengan apa yang telah didengarnya. “ Kau yang buat aku lupa. Apa sangatlah kenangan yang aku ada dengan kau sampaikan aku boleh ingat kau sampai sekarang? “ Dingin. Aiman Haris sedikit terkejut mendengarkan nada suara Hanna Adila yang sebegitu dingin dan sinis. Lainnya dia!


“ Kalau kau tak mengaku kau kenal aku, kenapa kau masih bercakap dengan aku? Go on, baca jelah majalah tu. Tak payah nak jawab soalan aku kalau kau rasa aku ni stranger yang kau malas nak layan. Apa sangatlah kenangan yang kau ada dengan aku dalam kapal terbang ni nanti ye tak? “ Mendatar saja suara garaunya. Hanna Adila yang sedang memaku matanya pada A Feed To Get Fit terus mengalihkan pandangannya kepada lelaki di sebelahnya. Dia merenung Aiman Haris dengan lama sebelum mumbuka mulutnya untuk berkata-kata namun kaku. Dia tidak mampu mengucapkan sepatah perkataan pun ketika itu. Marahkah Aiman padanya? Dia benar-benar tidak sedar betapa emosinya tidak menentu apabila menyedari lelaki yang duduk bersebelahan dengannya ialah Aiman Haris. Aiman Haris yang membuatkan dia menjadi Hanna Adila seperti ini. The fake Hanna.


Sebelas tahun dia hidup dalam pusingan atas roda kehidupan. Dia memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM sehingga semua guru-guru terlopong mendengarnya. Dia menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Jepun bagi Electrical engineering sebagaimana yang diidam-idamkannya selama ini namun dia memilih untuk ke Aussie. Dia menghantar semua manga-manga Jepunnya ke pusat kitar semula dan membeli banyak buku-buku bahasa Inggeris. Dia tidak lagi menjadi patung batu kapur yang dijemur di dataran, sebaliknya dia menjadi orang kuat The Arts Association of Queensland University. Dia fasih berbahasa Perancis, Jerman dan Turki serta berpura-pura gelak apabila menonton cerita Naruto bersama roommatenya dahulu, berlagak seolah-olah dia hanya ketawa kerana melihat Naruto disepak oleh Sakura, bukannya kerana dia memahami Sakura yang sedang mengejek Naruto ‘punggung besar sebelah’ ketika itu. Dia langsung tidak menatap wajah Ikuta Toma yang dipujanya sejak kecil serta tidak lagi berhubung dengan saudara mara jauhnya yang menetap di Kansai, Jepun.


Kenapa perlu ada lagi pertemuan untuk kali kedua?!?


Mungkin selama sebelas tahun ini dia berjaya membuktikan bahawa dia bukanlah seorang loser  yang gagal seperti tahun-tahun persekolahannya. Dia juga berjaya menjadi seorang gadis normal yang berperangai normal, seperti kebanyakan kawan-kawan Melayunya yang lain. Namun jauh di sudut hati, dia terasa lebih kosong berbanding sewaktu maza dan chichinya meninggal dunia.


Dia kehilangan identitinya sebagai anak tunggal Ichikawa Harino alias Siti Zubaidah Abdullah dan Goryuuke Aruto alias Ahmad Salam Abdullah.


Semua itu terjadi kerana kata-kata yang dilemparkan Aiman Haris sebelas tahun lalu. Apabila mengingati perkara itu, Hanna Adila merasakan dirinya terlalu aneh dan ganjil berbanding orang lain. Seolah-olah bahasa Jepun yang dibanggakannya itu merupakan sesuatu yang menjelikkan, sesuatu yang menjijikkan seperti tahi. Dan Aiman Haris telah membuktikan itu.


“ Kenapa kau ni suka sangat bercakap bahasa penjajah tu? Kau lupa atau kau sebenarnya buat-buat lupa yang Jepun pernah tinggalkan sejarah hitam kat orang Melayu sebelum merdeka dulu? Oh ya aku terlupa, kau mana pernah belajar Sejarah Malaysia kan? Yang kau tau cuma bangga dengan keturunan kau tu. Sedarlah sikit cik Hanna oii, kau tu sekarang kat Malaysia. Buatlah gaya macam orang Malaysia sikit. Lepas ni balik kau suruh mak bapak kau ajar camne nak jadi orang Melayu, “


Hanna Adilla menelan liur, terasa kesat dan kelat. Terkebil-kebil dia memandang kelibat Aiman Haris yang membuka tali pinggang keselamatannya dan berlalu ke bilik air.


"Aiman jatuh tangga. Tangan dia patah, kesian kan? Tadi diorang sekelas pakat nak lawat dia kat hospital besar. Kau nak join tak?"


"Kau pergilah. Aku ada training untuk karate seminggu ni."


"Masih taknak maafkan dia lagi?"


"Sampai maza dengn chichi aku hidup balik baru aku maafkan dia. Tak pun lepas aku mati"


Hanna Adilla memejamkan matanya rapat-rapat, melawan rasa hati yang berkecamuk antara rasa bersalah dan marah yang masih bersisa selama bertahun-tahun lamanya. Hanna Adila meraup wajahnya yang keruh, cuba untuk tidak mempedulikan kedinginan malam yang menyapa kulitnya. Sudah sepuluh minit Aiman Haris bertapa di dalam tandas. Terjenguk-jenguk juga dia dari kerusinya itu, manalah tahu Aiman Haris buat mogok rasmi dengannya. Tak pun, Aiman Haris pindah tempat duduk supaya dia melayan perasaan bercelarunya itu seorang diri. 'Padan muka kau, buat lagi perangai bengis tu!' Dalam diam Hanna  Adila mengutuk dirinya.


Di dalam bilik air, Aiman Haris membasuh mukanya dan merenung wajahnya di dalam cermin. Terbias tampang jernih Hanna Adila yang memandangnya tanpa perasaan sebentar tadi. Tapi nak buat macam mana, memang semua itu berpunca daripada dirinya. Mulutnya yang terlalu lancang berkata-kata tanpa mengetahui letak duduk keadaan sebenar. Memang salah dia Hanna Adila bermusuh dengannya sehingga sekarang. Sampaikan dah tak mengaku kenal lagi.


"Sebelas tahun.." Aiman Haris mengeluh perlahan. 'Patut ke aku ignore je dia tu? Ke aku patut minta maaf kat dia? Tapi tengok muka bengis semacam je. Sebelas tahun punya cerita pun tak hilang lagi, nak ke dia maafkan aku? Tapi dia tak tahu perkara sebenarnya!'


Hanna Adila perlu tahu sesuatu tentang peristiwa yang pernah terjadi itu. Untuk apa wujudnya pertemuan kali ini jika dia tidak berpeluang untuk menjernihkan kembali salah faham antara dia dan gadis itu?


Selesai sahaja dia melangkah keluar daripada bilik air di bahagian belakang kapl terbang, Aiman Haris nyaris-nyaris terlanggar seorang pramugari yang terkocoh-kocoh berlari ke bahagian kabin juruterbang. "Maaf encik, tapi encik perlu duduk sekarang. Sebentar lagi isyarat seat belt akan dinyalakan," Usai berkata-kata pramugari itu segera berlari ke hadapan. Aiman Haris mengangguk dan memandang ke arah luar tingkap, cuaca kelihatan agak buruk. Dia segera berjalan ke arah tempat duduknya.


Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung, dia memandang Hanna Adila dan gadis itu turut memandangnya kembali. "Minta maaf atas keterlanjuran kata aku tadi!!"


Kedua-duanya tergelak apabila masing-masing mengucapkan ayat yang sama dan pada waktu yang sama. Aiman Haris tersengih dan Hanna Adila menutup mulutnya yang masih tidak berhenti ketawa. 'Buat penat je rendahkan ego tadi' Bisik hati Hanna Adila. Tak sangka Aiman Haris pun rasa bersalah juga.


"So, kosong-kosong lah ek?" Hanna Adila bersuara setelah tawanya reda. "Ingat nak jual mahal tadi tapi kau pun sama rasa bersalah juga, aku maafkan jelah," Bersahaja. Aiman Haris pula yang naik pelik melihat perangai Hanna Adila yang berubah-ubah. Namun dia gembira kerana si cantik itu akhirnya tersenyum di hadapannya.


"Aku minta maaf lagi," Jeda seketika apabila Hanna Adila memandangnya dengan wajah hairan. "Untuk segalanya," Dia menyambung kata. Hanna Adila tersenyum mesra.


"Aku pun minta maaf jugak," Dia menoleh ke arah luar tingkap. "Untuk segalanya. Segala-galanya," Aiman Haris menarik nafas lega dengan senyuman juga. Mulutnya terbuka untuk menyatakan sesuatu tapi entah kenapa dia masih belum bersedia. Tidak mengapa, sebaik sahaja pesawat ini mendarat di Tokyo dia akan pastikan hubungan persahabatannya dengan Hanna Adila tidak akan terputus lagi. Dia akan punya masa yang banyak untuk menyatakan perkara itu kepada Hanna Adila.


Hanna Adila kembali menyelak majalah  In Trend   yang dibawanya setelah dia melihat Aiman Haris di sebelahnya mulai mengantuk. Dia menyandarkan kepalanya di kerusi penumpang sambil matanya memandang jauh ke arah langit malam yang pekat. Dalam keadaan lesu dan penat dengan penerbangan yang masih berbaki lima jam itu, Aiman Haris mengeluarkan earphone dari celah kocek beg galasnya dan mencucukkan pada Galaxy Tab lalu menyumbat earphone tersebut ke dalam telinga. Dia memandang ke arah tingkap sekali lagi dan cuba untuk memikirkan kata-kata terbaik yang boleh diucapkannya kepada Hanna Adila untuk menghilangkan suasana janggal antara mereka. Namun beberapa minit selepas itu, kelopak matanya terasa berat. Badannya mula terasa seperti berada di awang-awangan dan perasaan mengantuk mula bermaharajalela. Perlahan-lahan mata kuyunya terpejam.


"Aiman.."


Dia terdengar suara lembut yang kembali ke dalam hidupnya hari ini memanggil namanya.


"Aiman!"


Aiman Haris tersenyum dalam lena.


* * * * * * * * * * * *



"Pernah dengar tak pasal lagenda daun klover?"


Aku memerhatikan dia yang ralit membelek-belek rumput tempat kami berteduh. Langit pada petang itu mendung, tenang dan mendamaikan. Dari jauh terlihat bangunan-bangunan yang berdiri megah di bandar Nagoya. Gadis dihadapanku masih ralit membelek daun sambil bernyanyi-nyanyi kecil.

 
"Tak pernah. Ceritalah," Aku memandang redup matanya yang masih tidak lekang dengan rumput dihadapan kami. Dia membetul-betulkan skirt putih labuh yang dipakainya dan menghampiri pohon tempat aku berteduh lalu duduk. "Ada lagenda yang mengatakan kalau kita terjumpa daun klover yang ada empat kelopak, hajat kita akan dimakbulkan. Sebab hampir kesemua daun klover cuma ada tiga kelopak saja,"


Aku mengangguk perlahan. Tidak pernah kudengar pula lagenda sebegitu. Hajat yang akan dimakbulkan? "Kalau macam tu, apa hajat yang kau nak kalau kau terjumpa daun klover empat kelopak tu?" Dia tersenyum mendengar pertanyaanku. Lama menjeda.


"Tiada"


Aku menoleh sekali lagi ke arahnya. Hairan. "Tiada? Takkan tiada langsung. Mustahillah. Setiap orang ada hajat masing-masing yang nak dijadikan kenyataan. Takkan tiada satu pun benda  yang kau hajatkan?" Terkejut aku mendengar jawapannya itu. "Atau mungkin, penyesalan? Perkara-perkara yang kau harap kau mampu betulkan semula?"


Kali ini, dia pula bertanya padaku. "Kau ada penyesalan yang nak diperbetulkan ke?"


Aku tunduk merenung rumput hijau yang terbentang luas. Penyesalan? Perkara yang aku harap mampu berulang semula dan betulkan kembali kesilapan yang pernah aku lakukan? Jika ada, hanya satu perkara sahaja.


"Marah bebenor Hanna kat kau hari tu. Apa  kes?"


"Aku meluat dengar slanga Jepun-Melayu dia tu. Pikir bagus sangat datang dari negara komunis lepas tu nak menunjuk-nunjuk depan semua orang kat sini. Mak bapak dia pun satu, lain kali kalau nak bawak anak datang Malaysia tak payah masukkan kat sekolah macam ni. Letak je budak tu kat International School, kan senang. Dahlah free hair, buruk betul aku tengok rambut dia tu!"


"Then kau cakap apa kat dia?"


"Aku suruh mak bapak dia ajar dia cakap Melayu sampai pandai. Dasar Jepun,"


"Hang ni bodohlah Aiman! Patutlah sampai pengsan-pengsan Hanna tu semalam,"


"Meaning?"


"She's an orphan. Kemalangan dua bulan lepas. Sekarang rumah dia kat Rumah Kasih,"


Penyesalan..


"Aku minta maaf pasal hal dulu. Aku betul-betul tak tau pasal kemalangan yang menimpa mak ayah kau dulu," Hampir menitis air mataku apabila teringatkan perasaan bersalah yang aku pikul sejak aku mengetahui hakikat sebenar. Rasa bersalah itu semakin menebal setelah Hanna Adila berubah sejak kejadian itu. Dia semakin murung, pendiam dan pelajarannya merosot dengan mendadak.


Jika ada penyesalan yang masih tidak tertebus, penyesalan itulah yang aku harapkan agar tidak pernah terjadi. Jika perkara itu tidak terjadi, pasti aku dan dia akan bergelak ketawa di dalam pesawat apabila terserempak semula setelah sebelas tahun. Siapa sangka, kerana mulutku ini kehidupan dia berubah. Kerana aku, dia bukan lagi Hanna Adila yang dahulu. Yang aku cintai sejak itu.


Aku melihat dia tersenyum lagi. Senyumannya kali ini sangat lembut, sebagaimana yang pernah aku lihat sebelum dia menjauhkan diri daripadaku.


"Kau menyesal sebab bertemu dengan aku?"


Aku memandang mata bundarnya. "Kalau takde pertemuan kedua kita dalam pesawat tempoh hari, aku pasti penyesalan tu akan aku tanggung seumur hidup,"


"Pertemuan kedua itu dah mengubah hidup kita berdua," Dia menguis daun-daun kering yang tersangkut pada blaus putihnya. Sejenak matanya mengerling kearah burung layang-layang yang berada di kaki awan.


"Secara total," Aku membalas perlahan.


"Takkan ada lagi pertemuan ketiga dan seterusnya kan?" Dia memandangku mesra, seolah-olah perkara itu tidak membebankan apa-apa padanya. Berbeza dengan aku.


“Jangan balik selagi masih ada penyesalan yang kau simpan," Dia menutur kata dengan lembut. Matahari kulihat semakin merah dan bakal menyembunyikan diri di balik tabir bukit. Bandar Nagoya semakin suram dan senja mula menjengah.


“Kalau aku balik, keadaan takkan jadi sama macam dulu," Dalam kepayahan aku mengukir kata, dia masih tersenyum. Tidak henti-henti dia tersenyum sedari tadi. Perlahan-lahan dia bangun dan memetik sehelai daun klover lalu menghulurkannya kepadaku.


"Aku jumpa daun klover empat kelopak. Kalau kau berhajat untuk betulkan balik penyesalan kau, mungkin daun klover ni akan putarkan masa kearah sebelas tahun lalu. Dan selepas ni pun, mungkin akan ada pertemuan ketiga, keempat, kelima dan seterusnya antara kita. Terpulang pada kau, Aiman," Aku mencapai daun klover itu dan menggenggam erat daun tersebut. Aku memejamkan mata dan berfikir tentang kata-katanya. Perlahan-lahan, aku lepaskan daun itu dan menjatuhkannya semula keatas rumput. Aku lihat senyuman Hanna  Adila semakin lebar.


"Yoi jinsei ookuru,"  Dia menutur kata dan menghulurkan tangan supaya aku bangun dari dudukku. Aku mencapai tangannya dan bingkas bangun.


"Hidup baik-baik juga. Kau akan tunggu aku kat sini kan?"


Dia menggeleng perlahan namun yakin.


"Buka mata hati dan teruskan hidup kau Aiman,"


"Terima kasih sebab bagi aku peluang untuk tebus kesalahan aku kat kau. Tapi lepas ni aku takkan mampu nak buka mata hati aku lagi selain untuk bertemu kau," Perlahan-lahan aku memusingkan badan dan dia melambai kearahku. Ayat terakhir itu aku tuturkan dengan perlahan. Mengerti dia takkan mengizinkan aku balik jika aku terus berdegil. Aku merasakan tubir mataku basah. Dingin dan asing sekali perasaan itu. Aku mengambil langkah setapak demi setapak dan berpaling ke belakang semula. Memandang Hanna Adila di balik senja yang kian merembang di kota Nagoya negara kelahirannya.


"Aiman!"


Aku memandangnya.


"Aku sayangkan kau,"


Aku memandangnya tanpa henti.


"Aku tahu,"


Dia tersenyum. "Sayonara daisukina hito.."

Saat aku terjaga daripada koma, aku tidak lagi melihat bandar Nagoya yang tersergam indah. Begitu juga dengan gadis bergaun putih tadi.


* * * * * * * * * * * *

No comments: