Apr 5, 2012

Cerpen- Sayonara Daisukina Hito (PART THREE) - FINAL

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Satu Dunia
Bicara ikhlas tapi telus dari Aqila Syahiena..



Hanna Adila kembali menyelak majalah  In Trend   yang dibawanya setelah dia melihat Aiman Haris di sebelahnya mulai mengantuk. Dia menyandarkan kepalanya di kerusi penumpang sambil matanya memandang jauh ke arah langit malam yang pekat. Dalam keadaan lesu dan penat dengan penerbangan yang masih berbaki lima jam itu, Aiman Haris mengeluarkan earphone dari celah kocek beg galasnya dan mencucukkan pada Galaxy Tab lalu menyumbat earphone tersebut ke dalam telinga. Dia memandang ke arah tingkap sekali lagi dan cuba untuk memikirkan kata-kata terbaik yang boleh diucapkannya kepada Hanna Adila untuk menghilangkan suasana janggal antara mereka. Namun beberapa minit selepas itu, kelopak matanya terasa berat. Badannya mula terasa seperti berada di awang-awangan dan perasaan mengantuk mula bermaharajalela. Perlahan-lahan mata kuyunya terpejam.


"Aiman.."


Dia terdengar suara lembut yang kembali ke dalam hidupnya hari ini memanggil namanya.


"Aiman!"


Aiman Haris tersenyum dalam lena.


“Aiman, bangun!” Sedikit menjerit Hanna Adila memanggil Aiman Haris yang kelihatan begitu lena. Jika bukan kerana keadaan kucar-kacir yang mula membingit di dalam pesawat itu, pasti dibiarkan saja Aiman Haris terlelap dalam dunianya. Aiman Haris yang mula merasakan kelaianan pada suara yang memanggilnya tadi segera membuka mata dan tersentak merenung wajah pucat Hanna Adila.


“Attention to all passangers, please sit back and tighten your seat belt. There is some problem with the weather outside but don’t be panic. Our crew will ensure your safety and comfort you with our services. Please sit back, I repeat. Please sit back,”


Keadaan pesawat mula hingar-bingar dengan desah nafas para penumpang yang cemas. Kedengaran tangis nyaring anak-anak kecil apabila pesawat yang mereka naiki itu bergegar tiba-tiba. Para pramugari turut berlari-lari ke sana sini bagi mententeramkan penumpang yang mula resah dan panik dengan keadaan pesawai itu.


“Tolong duduk, puan! Pesawat ni tak apa-apa, Cuma cuaca kat luar tu agak buruk tapi kapten akan pastikan kita semua selamat!”


“Kenapa pesawat ni bergegar?”


“Mak, Along nampak kilat tadi!”


“Aku taknak mati kat sini! Tolong!!!”


Aiman Haris memandang wajah Hanna Adila yang pucat. Matanya kelihatan berair. Dia menggenggam erat button badge yang tersemat pada blausnya. Button badge yang dihadiahkan secara senyap oleh Aiman Haris sebelas tahun lalu tanpa gadis itu mengetahui siapa pemberinya.


“Pandang mata aku,” Hampir tidak keluar suaranya. Aiman Haris sedaya upaya cuba untuk menenangkan Hanna Adila walau hakikatnya dia juga ketakutan. Hendak gugur jantungnya mendengar kilat yang sabung-menyabung di langit luar namun dia tidak mahu Hanna Adila turut ketakutan sepertinya. Dia menyuruh Hanna Adila menekup telinganya agar gadis itu tidak mendengar bunyi hingar-bingar yang semakin kuat.


“Attention to all passangers, I repeat again please sit back and don’t be panic! The weather is getting worse but we’ll handle it. Please stay calm,”


Hanna Adila mula menitiskan air matanya. Dia memandang tepat kearah Aiman Haris mengetap bibirnya yang mula bergetar ketakutan. Pelbagai andaian mula bermain di kepalanya, yang pasti segalanya buruk. Aiman Haris turut memejamkan matanya rapat-rapat apabila bunyi gegaran yang agak kuat kedengaran pada pesawat itu.


Cuaca di luar kelihatan semakin buruk. Kilat sabung-menyabung dan hujan lebat turut bergema. Kali ketiga pesawat itu bergegar, semua penumpang menjerit ketakutan kerana merasakan pesawat yang mereka naiki mulai bergoyang. Aiman Haris menjengukkan kepalanya ke arah seorang budak perempuan kecil yang menangis tersesak-esak sambil dipeluk ibunya. Dia terdengar seorang pramugari yang berlari-lari anak ke bahagian belakang kabin penumpang terlepas kata.


“Injap bahan api kat suap silang pesawat bocor! Api dah masuk ke dalam kokpit dan sekarang kokpit bawah dah terbakar....”


Terasa gelap dunianya.


Hanna Adila menarik lengan bajunya dan memandang dengan pandangan yang menagih penjelasan. Matanya semakin basah dibanjiri air mata ketakutan yang turut memberi kesan kepada Aiman Haris namun dia tetap berdiam diri. Takkan mungkin dia katakan kepada Hanna Adila bahawa pesawat Boeing 1137 itu sedang menunggu masa saja untuk terhempas!


“A.. Aiman.. Aku tak.. Taknak mati kat sini.. Kat tempat ni..” Tersekat-sekat suara Hanna Adila. Terbayang nasib yang menunggu mereka di saat wajah pucat Aiman Haris memandangnya tadi. Aiman Haris pula terkial-kial memakaikan Hanna Adila topeng pernafasan yang jatuh apabila udara dalam kabin penumpang mulai dicemari asap kebakaran yang kini telah menjilat enjin pesawat pula. Dia baru sahaja ingin menyarung topeng pernafasan itu ke mulutnya apabila dia melihat budak perempuan yang menangis tadi terkial-kial cuba untuk menyambut topeng pernafasan yang tersekat di bumbung tempat duduknya. Wanita yang barangkali ibunya telah pengsan kerana kepalanya terhantuk di dinding sewaktu pesawat tersebut bergegar. Segera Aiman Haris bangun dan memakaikan topeng pernafasan miliknya kepada budak perempuan itu.


Dummmmm!!!


Pesawat itu bergegar dan mulai menjunam. Aiman Haris terperosok sewaktu dia cuba hendak berdiri dan kembali ke sisi Hanna Adila. Dia memandang panik ke arah kakinya yang berdarah dan tersangkut kerana tersepit di kerusi penumpang lain. Dia terlihat seorang wanita Jepun tua yang menangis-nangis berdoa agar diselamatkan daripada kecelakaan pesawat itu. Dia terdengar jeritan penumpang lain dan derap langkah pramugari yang sibuk berkejaran bagi memberi bantuan kepada penumpang yang memerlukan.


“We gonna make the emergency landing. Please wear your life jackets and.....” Tuuttt. Sistem perhubungan pesawat itu telah rosak dijilat api.


Hanna Adila memandang sekilas ke arah luar dan melihat bukit-bukau tidak jauh dari situ. Segera dia berpaling semula dan melihat Aiman Haris yang tersepit di celah-celah kerusi penumpang dan terkejut melihat keadaan Aiman Haris.


“Aiman!!!” Lantas dia meluru ke arah Aiman Haris yang mula tercungap-cungap tidak dapat bernafas. Udara yang dipenuhi asap hitam mengaburi pandangannya, menyebabkan dia sukar untuk melihat Aiman Haris. Dia segera meluru ke arah Aiman Haris dan membuka topeng pernafasannya untuk diberikan kepada Aiman Haris namun Aiman Haris menggenggam tangannya, enggan membiarkan Hanna Adila bergadai nyawa untuknya.


“Janganlah degil! Nanti kalau kau tak boleh bernafas, kau akan mati!!” Dia menempik Aiman Haris. Aiman Haris memandangnya dan membuka mulut.


“Aku nak kau terus hidup..”


 “Tak.. Tak boleh! Kau tak boleh mati dan tinggalkan aku lagi! Berapa lama lagi aku kena tunggu untuk jumpa kau??” Hanna Adila menangis teresak-esak. Tangisannya semakin redam dengan bunyi kucar-kacir dalam pesawat itu dan tangannya mula berpaut pada kerusi apabila pesawat itu kian menjunam.


“Han.. Hanna.. Jangan takut. Segalanya takkan apa-apa. Semuanya akan baik-baik saja. Pandang sini, tak.. Pandang muka aku.. Yakin dengan aku,” Terketar-ketar Aiman Haris dan matanya tetap memaku pada Hanna Adila.


“Kita akan selamat. Yakin dengan aku..”


Hanna Adila mengesat air matanya dan tersenyum dalam esakan. Dia menggenggam erat button badge miliknya dan memejamkan mata rapat-rapat. Berdoa dalam senyap agar akan ada lagi pertemuan antara mereka selepas selesai segala malapetaka yang berlaku hari itu. Mungkin juga pertemuan yang akan kekal sehingga ke akhir hayatnya.


Pesawat Boeing 1137 KLIA-Nagoya semakin landai merempuh angin malam yang dingin membeku. Kilat sabung-menyabung dan api semakin marak pada bahagian bawah pesawat. Sekelip mata, pesawat itu mencium kaki bukit dan segalanya bertukar hitam pekat.


“ Kau takkan pernah tahu kalau kehidupan kau ditakdirkan untuk memiliki button ‘restart’ dan ‘refresh’, kan? ”


Segalanya takkan apa-apa.


“Apa sangatlah kenangan yang aku ada dengan kau sampaikan aku boleh ingat kau sampai sekarang?


Segalanya akan baik-baik saja.


“Yakin dengan aku”


Segalanya akan berakhir sebentar lagi dan dia akan mengajak Aiman Haris untuk minum teh di kafe minuman

.
“Kau kan lahir kat Jepun? Apasal tak pindah kat sana balik? Kalau dah sayang sangat negara komunis kau tu, mati jelah kat sana sekali,”


Segalanya akan berakhir dan dia pasti mereka akan ketawa mengenangkan persengketaan itu ketika hari tua nanti.


"Sampai maza dengn chichi aku hidup balik baru aku maafkan dia. Tak pun lepas aku mati"


Hari tua bersama-sama.


* * * * * * * * * * * *


“Mak, kenapa abang Aiman asyik baca surat khabar yang sama dari bulan lepas? Adik panggil pun taknak pandang,”


“Shhhh! Haziq jangan kacau abang Aiman! Abang Aiman tengah sedih tu..”


“Mak nak suruh adik buat apa dengan bubur nasi ni?”


“Pergi bagi kat abang Aiman. Abang Aiman kan sakit lagi tu, baru baik dari koma. Haziq tolong pasangkan sekali cd lagu ni. Abang Aiman nak dengar tiap-tiap hari lagu ni,”


“Sayonara daisukina hito? Lagu apa ni mak? Apa maksudnya?”


“Selamat tinggal insan kesayanganku,”


* * * * * * * * * * * *


Nagoya, 29 Mei 2009 – Nahas kapal terbang Boeing 1137 KLIA-Nagoya telah dilaporkan oleh pihak berkuasa Nagoya tempoh hari. Pesawat yang dalam perjalanan dari KLIA menuju Nagoya itu dipercayai mengalami kerosakan dalaman yang tidak dapat dikesan sebelum penerbangannya dijadualkan. Menurut sumber, cuaca yang buruk serta masalah komunikasi menjadi faktor penyumbang terhadap nahas itu. Seramai 49 sembilan rakyat Malaysia dan 13 rakyat asing terkorban dalam nahas ngeri itu setelah bangkai pesawat yang bersepai berhampiran bukit di utara Kansai disiasat. Hasil usaha pasukan keselamatan Nagoya, seramai lima orang rakyat Malaysia dan tujuh orang rakyat asing terselamat dalam nahas itu dan keadaan mereka dilaporkan kritikal sewaktu ditemui. Kelima-lima rakyat Malaysia yang terselamat telah dibawa pulang ke Malaysia untuk rawatan lanjut. Tiga orang mangsa yang terselamat, Hasri Razif, 49  Lee Sik Yong, 23 dan Azreen Natasya Shuib, 35 dilaporkan masih berada dalam Unit Rawatan Rapi di Hospital Serdang manakala dua lagi mangsa iaitu Aiman Haris Mohamad, 28 dan Ahmad Izzat, 29 dilaporkan cedera parah serta baru tersedar daripada koma. Nahas tersebut dilaporkan sebagai antara nahas kapal terbang yang paling ngeri pernah berlaku dalam sejarah penerbangan Malaysia.



* * * * * * * * * * * *


Kita seringkali menyesal kerana terlewat untuk mengucapkan sesuatu yang penting kepada seseorang yang penting, sehinggalah takdir menentukan segalanya. Penulis menggarap kisah ini menerusi ilham yang tercetus sewaktu mendengar lagu Sayonara Daisukina Hito nyanyian Hana Hana tempoh hari. Kalau nak mendalami kisah ini dengan lebih lanjut, silalah dengar lagu tersebut beserta maksudnya sekali ya! Salam sayang, AS.


p/s : Sila nantikan kesinambungan kisah Aiman Haris dalam Rindu Yang Telah Pergi :)


No comments: