Mar 1, 2013

Penyesalan

Assalamualaikum.


Rasa bersalah. Perasaan yang paling sakit dan pedih selepas kecewa. Nak diluah ada ego. Nak disimpan sakit sendiri.


" Kau rasa tak Qila yang kita ni macam awkward? "


Entah. Awkward kenapa? Kau rasa?


" Entahlah Qila kita tak macam dulu. Aku ada buat salah ke dengan kau? "


Seminggu lepas dia tanya kepada aku sama ada dia ada buat salah sampaikan dah berminggu-minggu aku dingin dengan dia. Aku tak tau nak jawab apa. Sebab aku sendiri tak tahu kenapa aku langsung dah tak boleh nak bercakap dengan dia macam dulu. Semuanya lepas apa yang Box beritahu Dilla, tentang itu.


Tentang itu yang buat aku rasa buntu. Dan tertanya-tanya kenapa.


Takkan aku nak jawab " Siapa tak awkward lepas dapat tau apa yang kau cakap kat Box? " atau " Betul ke apa yang kau cakap kat Box? " Hai aku pun tau juga erti malu. Walaupun dalam kelas aku sentiasa buat perangai tak senonoh menari tarian Hindustan. Errr.


Untuk menulis tentang ini juga aku malu tapi demi perasaan bersalah yang menikam jantung sejak pagi tadi, aku gagahkan jugak tepis semua itu. Persetankan.


Bila teringat tentang nasi ayam yang kau masak dan suruh aku komen tapi aku buat tak tahu sampai hari ini, aku rasa bersalah. Bila aku tolak pelawaan kau nak belanja aiskrim Icy Grape depan abang koop, aku rasa bersalah. Bila kau nak berkomunikasi dengan aku dalam kelas tapi aku buat tak dengar, aku rasa bersalah. Bila aku tegur kau depan-depan dengan muka masam tentang kesalahan kau tulis speech outline, aku rasa bersalah. Bila kau duduk dengan Din dan aku cuma bercakap dengan Din serta buat-buat tak nampak kau, aku rasa bersalah.


Bila kau cerita pada aku tentang emak kau yang diserang diabetes dan tak boleh berjalan, aku boleh ikut kepala angin aku. Dengar sebelah telinga dan senyum tawar. Esoknya buat silent treatment macam biasa.


Ya aku rasa bersalah. Aku memang bersalah.


Dan Tuhan tahu aku perlu dihukum dengan perasaan bersalah ini dengan seberat-berat rasa bersalah.


Bila pagi tadi aku dapat tahu emak dia telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang.


Dasar manusia. Bila semua yang aku lakukan memakan diri aku semula, baru tahu apa erti menyesal. Baru tahu apa erti pahitnya mengakui kesalahan. What I've done?? Yeah I know. The damage is immeasurable. 


Aku turutkan hati yang marah. Seolah-olah dia dah buat kesalahan yang tak boleh dimaafkan. Okay sebenarnya dia tak buat apa-apa kesalahan pun kepada aku. Aku yang emosi. Aku yang ikutkan kata hati. Manusia jenis apa yang ikutkan emosi sendiri dan langsung tak peka perasaan orang lain yang juga ada masalah? Apa aku seorang ke yang punyai masalah dalam dunia ini? Bodoh.


Bukan aku tak terkesan bila dapat tahu keadaan mak dia yang sakit masa tu. Tapi aku buang jauh-jauh rasa itu. Tertutup dengan marah yang tak berkesudahan. Tipu diri sendiri. Berpura-pura tak peduli sedangkan dia antara orang yang aku cukup prihatin di sini. Antara orang yang aku akan ingat.


Dan masih sangat prihatin. Masih aku ingat.


Al Fatihah untuk arwah emak kepada dia. Semoga Allah lapangkan dada Ahmad Husaini untuk sentiasa reda dengan ketentuan-Nya. You have my du'a here, bro.


No comments: