Mar 22, 2013

Kekal Kuat

Assalamualaikum.


Malam punyai rahsia sendiri. Dan mata macam memahami. Kerana itu mata tidak pernah mahu pejam. Kerana mata mengerti, ia perlu mengeluarkan semua yang disimpan dalam hati.


Air mata. Ya aku seorang perempuan yang murah dengan air mata di malam hari. Betapa hitam hari siang yang aku lalui, mata tidak pernah mahu tunjukkan aibnya. Hati juga tidak pernah gagal menyimpan semuanya.


Kedua belah mata dan sekeping hati aku tahu, aku perlu kekal kuat. Meski kadang tak tertanggung rasanya.


Aku tidak punyai kehidupan seindah yang mereka lihat pada senyum dan gelak tawa aku. Aku tidak punyai masa silam yang jernih tanpa air mata seperti cerpen-cerpen pendek yang selalu aku tulis. Aku tidak punyai impian indah seperti yang aku lakar dalam setiap lukisan kanvas putih. Dan setiap not-not muzik yang aku tulis.


Ya, aku seperti engkau. Seperti kita semua. Berusaha mencari bahagia sendiri walaupun masa silam tak seindah yang engkau impi.


Kerana lumrah manusia itu, takkan pernah terlepas tanpa diuji. Dan aku angkat tangan setinggi-tinggi kepada Dia kerana mengurniakan aku kehidupan yang tidak indah. Yang tidak sempurna. Agar aku kenal dan belajar erti usaha. Agar aku tahu apa itu air mata dan berapa nilainya.


Agar aku belajar untuk tidak mensia-siakannya kepada sesuatu yang tidak berguna.


Terima kasih Tuhan. Untuk kehidupan yang serba sederhana ini. Terima kasih Tuhan. Masih pemurah meminjamkan sebuah keluarga untuk aku. Terima kasih Tuhan. Untuk mereka yang ada disisi. Terima kasih untuk semua kesedihan dan kepahitan yang aku terima sekarang.


Kerana jika itu harga yang perlu aku bayar untuk kebahagiaan di masa akan datang, aku bersyukur.


Mata dan hati aku akan kekal kuat.