May 27, 2013

Bahasa Bisu Untuk Dia

Assalamualaikum.


Pertama kali aku kenal dan bercakap dengan dia ialah semasa aku jaga kaunter baju baby. Ayat pertama aku - " Saya tolong susun plastik ye. "


Dia pandang sekilas. " Kau duduk jelah kat sini. Biar aku ambik plastik kat sana. " Aku blur. Duduk situ sampai dia hulur plastik.


Lepas buka kaunter tunggu costumer datang, sembang. Borak. Ayat cliche. Umur berapa, duduk mana, belajar mana. Dia 18. Muda setahun dari aku. Dan aku pun kalau dah jumpa orang pangkat 'adik-adik' ni mulalah pening kepala. Aku biasa bahasakan diri aku 'akak' walau dengan orang muda setahun. Tapi dia sembang dengan aku macam member-member. Macam tak kena pulak kalau nak cakap 'aku kau' kan. Fikir punya fikir sambil dia menceceh cerita kat aku pasal sekolah dia, aku decide untuk ikut resmi budi bahasa. " Yelah akak tau.. "


Satu jam duduk sembang, aku perati je budak ni. Suka main-main. Menganjing nombor satu. Sikit-sikit gelakkan aku. Tapi ada satu benda aku perasan pasal dia - Bila costumer datang kat kaunter, automatically dia akan berubah jadi orang lain. Lembut. Sopan. Ayat tersusun.


Dua tiga kali aku perhati. Memang betul. Tapi bila costumer pergi, dia start cari peluang gelakkan aku balik -___-


Berjam-jam aku sembang dengan dia. Dan satu lagi benda aku perasan, dia minat nak sambung belajar. Mungkin result SPM dia tak seberapa. Tapi dari cara dia dengar dan pandang aku waktu aku cerita pasal universiti -- Aku tahu dia memang teringin nak rasa semua itu.


Sambil aku cerita, sambil aku pandang riak muka dia. Sambil aku buat statistik dalam kepala. Budak ini, boleh pergi jauh.


Beri dia satu peluang dan dia boleh pergi jauh.


Walau banyak kali dia mengusik aku sampai naik darah. " Kak, kau ni duduk kaunter baby terus perangai pun macam baby ye? "


Walau banyak kali dia menganjing aku yang lurus bendul. " Ada 15 minit lagi kau punya masa rehat kak! Skema gila kau masuk kaunter awal. Rugi kot! "


Walau banyak kali dia buat aku rasa nak hempuk dia dengan kerusi. " Kau ni kabutlah kak. Aku kacau sikit je kau dah distract. Kau tak boleh jadi pakar psikologi ni. "


Walau banyak kali aku sabar dengan mulut dia. " Ini discount ye kak. DISCOUNT. Bahasa melayunya potongan harga. Hai kak MUET dah ambik pun tak lulus english lagi ke?? "


Walau banyak kali dia buat aku geleng kepala sengih lebar. " Kau ni, tak dijangka lah kak. Unexpected. "


Bila aku dengar dari mulut dia beberapa hari lepas tu kat kantin, " Kak aku tak dapat UPU lah. "


" Aku frust gila doh. Aku dah semangat beli barang kot. "


" Aku bajet UITM aku dapatlah. Ni satu pun tak dapat. "


" Apa dorang ni semua amik bebudak stok straight As ke kak? Kitorang yang tak pandai ni nak campak mana? "


" Kau cakap senang ah kak. Kau tak rasa apa yang kitorang rasa. "


Lagi. Dan lagi. Aku diam -- Tak tahu apa yang boleh aku cakap untuk cantikkan suasana. Tak tahu apa yang patut aku cakap untuk buat dia faham yang aku dengar semuanya. Sambil cakap, dia gelak. Mengekek macam biasa. Tapi aku faham. Aku letakkan tangan halimunan atas bahu dia. Tepuk. Secara halimunan.


Peluang masih ada, dik. Jangan putus asa. Akak akan pastikan kau dapat satu lagi peluang.


Tapi macam biasalah. Dengan orang yang baru aku kenal, aku agak emotionless. Heartless. Kayu. Aku tak boleh susun ayat dengan baik lalu aku cakap sendiri dalam hati.


Balik rumah, aku search pasal kolej-kolej kerjasama UITM. Aku jenguk yuran. Ambil nombor telefon. Jenguk lagi celah mana peluang yang boleh aku cari untuk beri dia sikit lagi harapan. Tanya kawan-kawan yang dapat second intake UITM tahun lepas.


Aku nampak peluang. Sukri ada peluang. Aku yakin. Entah kenapa aku yang teruja nak cari dia esok hari dan bagi dia semua maklumat tu.


Malam dinner dia duduk makan depan aku. Aku keluarkan kertas biru dari purse, aku hulur. Serba sikit maklumat yang aku dapat. Dia pandang aku dengan muka pelik. Aku tayang muka toya. " Ambik jelah. " Dia bukak dan baca. Sengih.


" Terima kasih kak... "


Senyum. Aku baru kenal dia tiga minggu. Dia selalu buat aku geram dengan mulut takde insurans dan suka gelakkan aku dari jauh kalau nampak aku terkial-kial pasang gulungan resit. Dia selalu bahan perangai aku yang lurus bendul. Dia selalu perli aku depan cashier lain. Dia selalu keluarkan ayat " Kau ni kak, itupun tak tau ke? Basic living skill kot! "


Tapi dia yang terus aku cari kalau ada masalah kat kaunter. Dia yang sabar ajar aku 'basic living skill' kononnya. Dia yang sibuk tanya pukul berapa aku masuk kerja. Dia yang tenang tolong aku selesaikan masalah dengan costumer. Dia yang selalu cari harga barang kat supermarket untuk costumer di kaunter aku. Dan walaupun dia selalu gelakkan aku yang tak reti pasang gulungan resit, sambil gelak dia tetap pasangkan untuk aku. Dan bila dia masuk kaunter dengan aku, dia akan tanya " Kau okay ke tak, kak? "


Dia baik. Mungkin lebih baik berbanding aku.


Geram aku pada dia, aku masih simpan harapan untuk tengok dia berjaya.


Menyampah aku pada dia, jauh dalam hati aku sayang dia. Sebagaimana aku sayang adik-adik aku.


Semua itu selalu buat aku marah dan meluat. Tapi aku ambil berat. Dan aku sayang. Itulah namanya adik. Menyusahkan, dan menyenangkan.


Moga jadi orang yang berguna. Moga berjaya capai cita-cita. Moga dipermudahkan semuanya.


Kalau ada rezeki kita jumpa lagi, akak nak baling gitar kat Sukri. Hahaha.


UPDATED 28 MAY 2013.


Pagi tadi baru aku tahu hari ini hari terakhir Sukri sebelum dia berhenti. Dia jaga kaunter baby. Aku nun jauh kat supermarket.


Waktu rehat pukul 11, aku ajak Zaini teman pergi kaunter baby tapi Kak Elis kata Sukri masuk pukul 12 nanti. Patah balik. Rehat pukul 4 aku jalan kaki lagi dari supermarket ke kaunter baby. Lima belas minit jalan, Kak Elis kata Sukri pun tengah rehat. Fedap aku dengan budak ni asyik takde je. Aku pesan kat Kak Elis - " Kak nanti tolong cakap kat Sukri, dua kali saya datang cari dia tapi dia takde. Saya dah taknak kawan dia. Akak tolong pesan kat dia, saya cakap good luck. " Kak Elis senyum, angguk. Aku jalan kaki balik.


Pukul 5 aku pusing supermarket pulangkan barang yg costumer tak jadi beli. Tetiba dari jauh aku dengar orang laung " Kak kau kenapa carik aku? " Aku buat muka toya. Tau pun nak turun carik aku budak ni.


Baru sempat sembang sepatah dua, Farah tarik aku suruh balik kaunter. " Nanti-nanti aku cerita dengan kau lagilah kak! " Aku angguk. Kalau kita jumpa lagilah kan.


Pukul 11 malam masa semua orang tengah tutup kaunter, Syanisa datang. " Kak Qila, ada phone call untuk akak. Kak Elis nak cakap. " Aku lari pergi telefon kat kaunter bakeri. Tak pernah Kak Elis nak call aku. Aku syak ini kerja orang sebelah dia.


Aku angkat gagang, cakap hello. Aku dengar suara Kak Elis garau - " Ni sape? " Aku jawab " Ni Qila. "


" Ni aku, Sukri. Aku suruh kau call kaunter baby kau tak call pun kan? "


" Kak kau ada twitter ke, phone number ke.. Kalau ada pape nanti pasal urusan aku tu senang aku nak cakap dengan kau. "


Ayat last dia buat aku angkat kening. " Kau pandai main ice skating tak? " Aku jawab, pandai. Angkat kening.


" Ok bagus. Bye "


Balik rumah, ada text message ajak aku main ice skating minggu depan. Nak main sampai lebam katanya. Haih budak bertuah.


So aku tak perlu nak emotional sangatlah harini. Okay.


1 comment:

balqisfz said...

bgus budak nih. :DD