Jun 30, 2014

Ramadan 2014

Allahu rabbi, aku ingin kembali kepada-Mu sebagai seorang hamba kerdil hina yang Engkau redai.


Allahu rabbi, aku seorang pendosa.


Aku seorang manusia yang tak pernah jerih berjanji dan kemudian melupakan. Bila dihimpit susah aku merintih meratap pada Yang Satu dan bila dialih kesusahan serta dibelai kegembiraan, aku kembali hilang.


Tak tahu dari mana harus aku mula.
Tak tahu dari siapa harus aku rujuk.


Aku pernah beritahu Syaza, sebab aku selesa untuk bercerita pada dia. Beberapa hari selepas itu, Syaza hadiahkan aku Solusi Isu 69. Kata dia, "Bulan Ramadan ini satu bulan yang paling mulia untuk kita tuntut dan tambahkan ilmu. Bacalah. Mungkin Qila akan suka dan tak rasa bosan."


Allahu rabbi, aku rindu seseorang seperti dia.


Aku rindu manusia-manusia yang selalu bimbing aku keluar dari masa silam yang gelap. Aku rindu setiap satunya kebaikan dan sejuk yang keluar dari mulut mereka.


Allahu rabbi, aku tak pernah rasa diri ini baik di mata manusia.
Tapi betapa aku ingin menjadi baik pada pandangan-Mu..


Allahu rabbi, aku tak ingin coretan ini cuma sekadar metafora janji sebagaimana janji-janji yang tak pernah aku cukupkan dahulu.


Allahu rabbi, aku mahu masuk ke syurga-Mu..


Tapi aku buntu.
Tak tahu dari mana dan bagaimana untuk terus berdiri berlari ke arah yang itu.


Kematian itu, semakin hampir. Aku tahu.


Allahu rabbi, sempatkanlah aku..


Aku sungguh tak mahu dibenci oleh satu-satunya yang menciptakan dan mematikan aku. Aku seperti mahu dilahirkan semula. Aku sudah terlalu benci setiap satu silap dan salah yang pernah aku lakukan dulu. Aku sudah terlalu diri aku yang itu.


Allahu rabbi, jika kematian aku terlalu hampir, aku seperti sudah terlewat untuk kenal semula siapa Engkau.


Allahu rabbi, aku lihat Ramadan sebagai satu ruang masa untuk aku bersujud penuh rindu pada-Mu. Tapi itu tidak cukup. Bagi aku, masih tidak cukup.


Bergunung dosa. Berbukit cela. Hitamnya hati seperti arang batu. Terkial-kial membasuh luka semalam. Bagaimana untuk aku bersihkan setiap satu kotoran diri ini dalam masa sebulan?


Allahu rabbi, aku takut mati.


Kerana aku tahu, besarnya penyesalan yang aku rintih ketika dihukum oleh hukuman-Mu nanti.


Allahu rabbi.
Aku tak ternampak jalan keluar..
 

No comments: