Jul 13, 2014

Kebenaran (Dark)

13 Julai 2014.



Jika pada post akhir aku sebelum ini ada tertulis bahawa This Is The Pause Of Our Story, hari ini dengan sepenuh kekecewaan dan kerendahan hati, aku katakan bahawa ini pengakhirannya.


Dengan penuh rasa malu dan terhina, aku ucapkan terima kasih kerana menjadikan aku patung dan bayang-bayang selama empat tahun. Kerana membuatkan aku kelihatan seperti seorang gadis yang terdesak, dungu, senang ditipu dan seperti tiada jiwa.


Hari ini Allah telah membuka segala pekung dan rahsia yang hampir semua orang tahu kecuali aku. Hari ini Allah telah menunjukkan kepada aku warna sebenar orang yang aku sanjung selama empat tahun. Hari ini Allah telah bongkar setiap satu putar belit dan permainan orang-orang sekeliling aku, dimana aku menjadi watak dan aku juga lah permainannya.


Dengan penuh kerendahan hati dan rasa malu yang menggunung tinggi, aku mohon, lupakanlah setiap satu coretan yang tertulis dalam blog ini sekiranya ada bersangkut-paut dengan kisah seorang Aqila yang terkejar-kejar mencari si pemain wayang kulit. Lupakan semuanya.


Aku sudah tahu semuanya.
Sesiapa pun tak perlu berselindung lagi untuk sorokkan daripada aku perkara sebenarnya, dengan alasan tidak mahu aku bersedih.


Aku sudah tahu siapa, mengapa dan bagaimana boleh berakhir begini.


Orang yang disukai sebenarnya memandang orang lain. Dan selama ini aku dilayan hanya kerana aku dilihat seperti bayang-bayang seseorang. Cuma sebagai pengganti. Sebagai satu eskapisme.


Sebab pada pengakhirannya, aku hanya seorang Aqila yang naif, lurus, terlalu mudah memaafkan dan sentiasa berbaik sangka memberi peluang. Seorang Aqila yang tebal muka mengejar sedangkan SEMUA orang sudah tahu cerita sebenarnya.


Siapa sangka, mutiara putih dan bintang berkilau yang disangka rupanya cuma sekadar pasir tepian dan lampu malap di malam yang gelap.


Cukup-cukuplah perantau di India, berahsia dan bermain dengan jiwa.
Kelak termakan kata-kata.


Ketika itu baru beringat, rapuh hancurnya jiwa seseorang yang suatu masa dahulu pernah dilambung-lambung setinggi awan dan dibiar jatuh tak bersambut.


Kepada manusia mulia yang dihormati dan tanpa disedari sentiasa mengikuti perkembangan blog dan kisah ini, maafkan saya kerana tidak bijak membuka mata hati dan buta dengan perasaan sendiri. Maafkan saya kerana terlalu lama tidak berhubung, saya sangka saya sudah tidak diingati dan diambil kisah.


Kepada manusia mulia yang dihormati serta diingati dan disayangi, saya malu kerana mungkin pada pandangan cikgu dan rakan-rakan yang lain, saya ini rapuh orangnya. Tidak cakna mengatur rasa. Saya malu. Seakan satu dunia sedang berdekah-dekah ketawa melihat lurusnya seorang Aqila kerana menyangka bulan akan jatuh ke riba tanpa memandang cermin yang sedia ada.


Terima kasih kerana masih mengambil berat walaupun mungkin saya gagal menjadi seperti yang diharapkan. Maaf kerana diri penuh calar balar dan salah silap.


Selama ini saya sangka saya menulis atas angin dan syok sendiri tanpa ada sesiapa yang baca.


Ah tapi sama saja seperti perasaan ini. Syok sendiri melukis harapan tanpa sedar dunia berputar dan segalanya tak berpihak pada diri.


Manusia yang dihormati dan disayangi itu benar-benar seorang srikandi idaman. Semoga sentiasa dipelihara Allah akan kebaikan hatinya. Entah bila akan ada keberanian dan ketabahan untuk saya menunjukkan wajah selepas segala yang cikgu ketahui. Malu yang sesungguh rasa malu.


Maaf.
Mohon sesiapa yang memahami tolong berikan diri ini masa untuk pulih. Mohon jangan didesak atau dipaksa atau dilabel 'cepat lemah'. Anda tidak faham. Anda tidak berada di tempat saya.


Diri ini tidak berdendam. Tidak juga menyumpah seranah. Cuma mohon diberi kekuatan untuk tidak terlalu membenci dan hanyut dalam bisikan kemarahan.


Maaf, dan mohon.


13 Julai 2014. 


Dia akan pulang ke Malaysia. Dan itulah kepulangan terakhirnya yang akan aku sambut. Kerana selepas ini, tiada lagi nama dia atau David Amos atau segala yang berkaitan dengannya.


Kerana sebaik saja aku melangkah keluar dari balai ketibaan KLIA2, Anna dan The Fruitcake Special telah mati.

No comments: