Jul 26, 2014

Sembuh Bersama Waktu (Dark)


Kerana hampir setiap hari aku tidur dengan harapan esok hari akan lebih mekar berbanding hari ini.
Dan hampir setiap malam juga, kerap kali aku terjaga.
Peluh di dahi dan detak di hati.


Bukan niat aku mahu terus-terusan berselubung dalam gelap seperti ini.
Seperti mana tulisan yang aku coret sejak kebelakangan ini.
Aku tidaklah bodoh untuk terus hanyut dalam angan-angan dan harapan yang bercerai-berai.


Seperti yang telah aku katakan kepada sesiapa yang menegur dan menasihati ;
Biar dahulu aku menangis dan mencari haluan diri.
Untuk sementara waktu yang masih bersisa, aku mahu bersendiri.


Aku hanya perlukan waktu.
Untuk mencari semula cebisan diri yang telah pergi.
Untuk memacak semula harapan dan impian yang suram kelam hilang tak bertanda.
Untuk melakar kembali bunga senyuman yang pudar.


Tidaklah terdetik untuk membenci.
Kerana siapalah aku untuk melawan ketetapan Ilahi.


Jika ada yang memahami, mohon dihormati pendirian aku ;
Jangan dipaksa aku untuk melupakan.
Jangan didesak aku untuk melepaskan.
Jangan dihasut aku untuk berdendam, membenci atau menghina membabi buta.


Tidaklah menjadi hasrat aku untuk membenci orang yang pernah aku sayangi.
Kerana hati yang sudah sedia lopong ini tidak perlu digelapkan lagi.


Berikan aku waktu.
Aku mahu terbang setinggi mungkin.
Mencari haluan baru yang menjanjikan harapan hari esok.
Bersama sekeping hati yang masih pijar dan rapuh.


Luka ini perlu sembuh.
Perasaan ini perlu dipulangkan.

No comments: