Aug 18, 2014

Hari Kelahiran





Selamat hari lahir.


Kepada yang pertama aku lihat ketika melangkah masuk ke kelas pada 22 Mac 2010, hari aku mendaftar sebagai pelajar di sana.


Kepada wajah yang berpaling daripada aku ketika aku memerhatikan raut kesedihan yang ketara pada matanya suatu petang di dalam kelas.


Kepada yang pertama kalinya berbicara dengan aku sewaktu perbincangan kumpulan mentor-mentee Bahasa Melayu.


Kepada pemilik kasut yang aku dan Atin berkomplot bersama untuk sembunyikan jauh daripadanya.


Kepada yang membalas kembali dengan menyembunyikan telefon bimbit sewaktu aku pergi ke tandas dan langsung tidak pandai berpura-pura tidak bersalah.


Kepada penerima name tag meja besar yang aku tuliskan nama serta kelulusan universiti idaman sebagai tanda aku melihat akan cerahnya masa depan yang bakal dia miliki.


Kepada pemilik tangan yang menghulurkan tiga batang sate kepada aku yang kepenatan semasa jamuan raya.


Kepada nama yang buat pertama kalinya terlintas dalam kepala ketika Masyitah berkata "Kalau takde mood nak pergi kelas, cuba kau fikir ada tak sesiapa yang kau nak tengok kat sana?"


Kepada nama yang aku pangkah dengan sepenuh hati ketika memangkah untuk calon BWP 2010/2011.


Kepada senyuman paling girang sewaktu mendengar keputusan pemegang jawatan presiden BWP.


Kepada nama yang kedua aku lihat selepas nama sendiri ketika menyemak ranking peperiksaan setiap kali keputusan diumumkan.


Kepada buku-buku basah dan meja yang dikemas selepas tingkap terbuka ketika hujan beserta nota "Lain kali jangan lupa tutup tingkap."


Kepada nombor yang pertama kali didail semasa Minggu Bahasa MRSM Zon Barat 2011.


Kepada rakaman sajak yang sehingga kini masih disimpan di dalam pemain MP3.


Kepada pemberi milo dan coklat semasa sama-sama menyaksikan pertandingan debat Minggu Bahasa MRSM Se-Malaysia 2011.


Kepada yang pernah bertanyakan "Aku dengar cerita kau menangis tadi, kenapa?" dalam kiriman mesej.


Kepada puisi yang ditulis dalam jurnal Bahasa Inggeris walaupun berisiko untuk dimarahi oleh Miss Zahurin kerana lari daripada tajuk.


Kepada friend request kedua yang dihantar selepas pertama kali mendaftar untuk akaun Facebook.


Kepada setiap lauk dan kuih muih yang dibeli untuk dibuat juadah berbuka puasa dengan alasan "Hari ini lauk ikan, tak kenyang. Tolong belikan?"


Kepada yang sentiasa membelikan kuih badak berendam dan mee rebus yang tanpa disedari menjadi kegemaran sehingga kini.


Kepada button badge yang diterima sebagai hadiah graduasi.


Kepada meja yang sentiasa dilihat ketika berada di dalam dewan peperiksaan.


Kepada nama yang sentiasa berada dalam fikiran ketika hari terakhir persekolahan, dan nama yang tertulis pada sekeping nota bersama bingkai gambar yang aku beri sebagai tanda ingatan.


Selamat hari lahir.


Aku catatkan segala yang berlaku semasa dua tahun persekolahan, kerana selepas berakhirnya hari-hari kita di sana, baru aku kenal dan belajar betapa sesuatu yang indah pun boleh membawa kesedihan yang tak bersudut.


Segala yang berlaku sepanjang dua tahun itu tidak pernah aku lupa. Aku jadikan setiap satu peristiwa itu sebagai penyembuh luka yang masih berbisa - Betapa suatu masa dahulu aku pernah menyukai seseorang dengan sepenuh perasaan jujur dan girang.


Bersama-sama waktu, aku melukis sebuah kisah jujur yang tidak pernah aku rancang pengakhirannya.


Kerana dua tahun selepas berakhirnya zaman persekolahan, masih aku ingat setiap satu raut muka dan detak jantung tiap kali apa-apa yang berkaitan dengan engkau muncul.


Bersama-sama waktu juga, aku membesar dan berusaha menjadi lebih baik - Kerana apa yang aku mahu hanyalah untuk berdiri pada taraf yang sama seperti engkau. 


Engkau yang aku kira, bintang utara untuk aku yang mencari tuju.


Selamat hari lahir, engkau yang merantau jauh di tanah Gandhi.


Selamat menempuh segala angin dan lubang yang Dia hidangkan. Selamat menjalani kehidupan yang lebih baik. Selamat mencari bahagia yang pasti. Selamat menjadi bintang utara kepada sekalian manusia yang mencari secebis kebaikan dalam dunia yang penuh kesedihan.


Selamat hari lahir.
Sebagaimana yang selalu engkau katakan, aku juga mengharapkan yang terbaik untuk hari esok.


No comments: