Nov 27, 2014

Suatu Pernah

Ketika aku masih bersekolah rendah, aku punya pelbagai visi dan idea tentang bagaimana aku mahu mengubah dunia ini.


Apabila dipilih menjadi pengawas, ketua dan segala jenis tampuk pimpinan, tanpa banyak resam aku terima dan jalani penuh cinta. Bagi aku yang masih terperuk di takuk persekolahan, aku punya satu prinsip yang aku pegang sebagai dasar :


Be the changes you wanted the world to be.


Dunia keliling ketika itu masih kecil sferanya pada pandangan seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung dan menarik beg roda ke sekolah. Dunia luar sekolah ketika itu begitu mengujakan, dan tiap malam sebelum tidur aku akan bermain dengan idea-idea yang hinggap di kepala - Idea-idea tentang dunia dan setiap satu peristiwanya sepanjang perjalanan aku akan membesar kelak. Bagaimana ketika itu aku visualkan diri aku sebagai penggerak manusia kearah dunia yang lebih terang.


Melangkah ke sekolah menengah, aku bawa bersama segala idea dan tiap kali punyai peluang, akan aku lontarkan apa yang menjadi pendapat dan cadangan pembaharuan. Dilabel sebagai unik dan pelik, aku teruskan juga mencanang idea dan pendapat kepada sesiapa sahaja yang mahu mendengar. Ilmu ketika itu aku anggap seperti kayangan yang tertinggi.


Pada tahun kedua persekolahan menengah, aku mula bersikap rebel dan ketika itu apa saja yang keluar daripada mulut pasti disertai dengan amarah dan keyakinan yang melampau, hingga kadangkala tidak aku fikir perasaan mereka yang mendengar dan melihat. Semangat ketika itu menjulang berapi-api. Betapa ketika itu ketegasan menjadi teras diri.


Dan aku ingat, pada suatu hari sewaktu aku berada di Tingkatan Tiga.


Bagaimana segalanya bermula dan meleret menanah hingga kini.


Cikgu menyuruh agar setiap daripada kami membentangkan sesuatu yang unik, suatu inovasi atau ciptaan dihadapan seluruh kelas. Beberapa rakan membentangkan tentang robot yang mampu memudahkan kehidupan manusia dan tidak kurang pula membentangkan tentang mesin masa.


Aku?


Aku memilih untuk menerangkan tentang sistem Pay It Forward, yakni satu sistem yang terinspirasi menerusi satu filem kemanusiaan yang pernah aku tonton.


Penuh cermat, aku terangkan kepada mereka bagaimana sistem ini berkembang seperti segi tiga. Dimulai dengan aku, katakan sahaja ketika itu seseorang menghadapi kesusahan dan aku tampil membantu, meskipun bantuan itu sangat kecil. Dan selepas itu sekiranya dia mahu membalas pertolongan itu, aku katakan padanya tidak perlu dibalas kepada aku. Sebaliknya dia perlu membantu tiga orang manusia lain yang menghadapi kesusahan. Dan jika mereka mahu membalas pertolongannya, pesankan juga agar tidak perlu dibalas kepada dia. Sebaliknya carilah tiga orang manusia lagi untuk dibantu.


Maka lama-kelamaan, sistem ini akan berkembang seperti segi tiga. A bantu B, C dan D. B bantu tiga orang. C bantu tiga orang. D bantu tiga orang. Dan orang-orang yang telah dibantu itu juga membalas semula dengan membantu tiga lagi manusia setiap seorang. Titik akhir sistem ini memperlihatkan kepada kita bagaimana sedikit kebaikan pun, jika disebar dan dikongsi, mampu menjadikan dunia ini sebgaai suatu tempat yang dipenuhi jiwa-jiwa luhur.


Itu yang aku terangkan kepada mereka, dengan harapan idea ini dikongsi bersama dan menjadi titik permulaannya.


Dan apa yang aku terima sebagai reaksi?


Mereka ketawa.


Dan selepas itu setiap kali aku ke kantin mahu membeli makanan, pasti aku terlihat jari-jari yang menuding dan mulut-mulut yang berbisik. Rakan sekelas juga mengejek dan idea itu dipersendakan. Katanya aku bercita-cita tinggi macam raja. Katanya lagi, aku tak realistik.


Jika sebelumnya tidak pernah aku berputus asa, ketika itu buat pertama kalinya aku kecewa. Idea yang aku fikir dengan bersungguh-sungguh diperlekeh begitu saja. Dan aku juga tidak pasti entah bila, tapi sejak kejadian itu aku mula kenal apa itu takut dan pandangan manusia.


Kesusahan dan kegagalan-kegagalan yang tiba selepas itu menghentak pula jiwa yang sebelumnya kuat.


Berpindah ke MRSM, segala sifat kepimpinan telah terbuang tanpa aku sedar. Hari demi hari, aku masih lagi bersuara dengan lantang terutamanya ketika kelas Bahasa Melayu, namun lama-kelamaan pisau yang dahulunya tajam kian tumpul. Semakin ramai bercakap tentang aku, semakin aku hilang keyakinan diri.


Hingga akhirnya aku memilih untuk kekal introvert, sebagaimana sifatnya aku dari dalam yang aku tutup dengan mulut yang lantang bersuara bertahun-tahun.


Hari ini, aku menjadi seseorang yang tidak pernah aku jangkakan.


Hilang segala idea-idea pembaharuan anak bangsa yang pernah aku hadami. Aku tidak lagi menjadi apa-apa perubahan dan perbezaan sebagaimana yang mahu aku lihat pada dunia ini. Aku menjadi seorang gadis tipikal yang leka bertarung dengan perasaan, hanyut terbuai dengan kekecewaan dan kegagalan demi kegagalan yang pernah menimpa. Aku menjadi seorang gadis tipikal yang sibuk merias diri dan menangis kerana perkara-perkara remeh.


Mungkin semakin aku kenal apa itu ketakutan dan pandangan manusia, semakin aku rebah menunduk akur dibawah bayang-bayang dunia.


Aku mahu cipta perbezaan, namun kini aku tenggelam dalam cliche masyarakat.

Nov 17, 2014

Definisi Cuti Kepada Pelajar Medik

Assalamualaikum.


Aku sedang bercuti selama sebulan daripada segala kelas lab tutorial dan bilik mayat. Serta nasi bungkus yang menjadi menu harian hampir semua pelajar medik yang malas keluar rumah dan lifeless seperti aku.


Sebulan ini, kami diarahkan untuk menyiapkan satu tajuk kajian untuk setiap kumpulan. Dan kumpulan aku yang bijak mengurus jadual semuanya memilh untuk siapkan kajian ini di rumah masing-masing sebagai lokasi bancian kajian. Mana nak korek peluang cuti duduk rumah lama-lama macam ni? Pelan perlu bijak dan bagus!


Jadi ceritanya, sebulan aku berkurung dalam rumah tanpa berjoli kesana sini macam kumpulan lain.


Ada yang dah daki tiga empat gunung. Ada yang berenang macam dugong di merata laut. Ada yang hirup angin Eropah. Ada yang dating tiap hari sampai jenuh. Ada yang berjoli shopping amik peluang sale Adidas 40% discount untuk pelajar UniKL. Ada yang food hunting sana sini merata kafe.


Dan ada juga yang seperti aku, duduk rumah mereput depan tv.


Bukan taknak keluar, tapi malas.
Bukan senang nak cuti lama-lama.


Senarai program realiti yang aku masukkan dalam jadual harian semakin hari semakin hebat bilangannya. Dari Law & Order dan Top Chef, kini bertambah kepada My Kitchen Rules, How Do I Look, America's Next Top Model (aku tengok sebab aku seronok menyaksikan betapa obsesnya mereka kepada 'kesempurnaan' badan sendiri) Total Blackout, Iron Chef, The Amazing Race, Masterchef Junior, Clean House, The Good Wife dan Spongebob Squarepants.


Ya aku tahu bagi remaja bujang berumur 20 tahun, citarasa aku dalam memilih rancangan tv sangat aneh. 75%  daripada senarai diatas merupakan rancangan pertandingan memasak. Selebihnya rancangan yang dibuat khas untuk para suri rumah yang kepenatan dan bosan selepas seharian mengemas rumah. Dan cuti aku juga sedikit kosong tanpa ketawa Spongebob yang berdekah-dekah menyakitkan telinga.


Rutin aku ketika cuti hampir sama setiap hari.


Bangun subuh terus berjaga sementara tunggu adik bersiap ke sekolah dan ma serta ayah bertolak ke tempat kerja. Kemudian berjalan kaki ke gerai nasi lemak depan rumah. Telan nasi lemak ayam 644 kalori dan keluar untuk sidai kain serta tuang makanan dan minuman untuk 8 ekor kucing. Bila hari dah panas, lepak depan tv sekejap. Kalau ada rancangan best, lepak lama lagi sikit. Tepat pukul satu tengahari, bergusti dengan periuk dan kuali. Pukul 2.30 ma balik dari kerja, sembang sambil makan sekejap dan terus sambung lepak depan tv sambil main dengan kucing. Petang, angkat kain dan menyapu. Pukul 6.30 adik balik dari sekolah, paksa adik mandi dan layan Oh My English sesama. Maghrib berkurung dalam bilik. Lepas isyak ayah balik dari kerja, hidangkan dinner dan satu keluarga lepak depan tv sampai tertidur.


Dia punya lifeless tu, peh.
Menyedihkan.


Kalau di Ipoh lagilah. Rasanya housemates aku pun takkan tau aku ni hidup lagi ke tak. Berkurung dalam bilik dengan buku (bukan medical books zzz) dan movie sepanjang Sabtu dan Ahad.


Tapi sejak kecil memang aku jenis yang jarang keluar rumah. Dulu kalau ada cuti sekolah, setahun sekali lah ayah bawa berjalan jauh. Kalau tak, duduk jelah terperap dalam rumah. Keluar hang out dengan kawan apatah lagi, langsung tak pernah. Dunia aku dulu cuma rumah dan asrama wahahaha suci murni innocent sungguh seorang Aqila ketika zaman persekolahannya.


Lepas SPM baru aku mula berjalan dengan Farah si kawan baik. Itupun hang out kat Tesco. Tesco wehh!!! Mana ada orang hang out dengan kawan sambil bawa troli pusing bahagian makanan segar??! Kenapa Farah pun sama suci murni macam aku??!


Bila masuk PASUM, itulah pertama kali aku jejak Mid Valley dan tengok wayang dengan Dilla. Mid Valley tu memang jadi pasar borong je untuk budak PASUM. Selama ini bukan tak pernah aku berjalan dengan ma shopping baju. Tapi masa tu aku tak berminat sangat nak keluar dengan kawan pusing-pusing mall. Aku selalu annoyed kalau nampak budak-budak sekolah jalan berkumpulan sambil dress up konon-konon nak lawan siapa paling cantik dan gelak kuat-kuat macam mall itu dia yang punya. Jadi aku macam dah ter-set dalam kepala untuk tak berminat nak keluar berjoli ramai-ramai selagi belum habis sekolah. Wah sekali lagi suci murni!


Sebab tu masa kat PASUM, aku terkejut bila ayah kata "Lepas ni belajar keluar beli barang sendiri, balik sendiri dan urus duit sendiri. Kamu dah besar." Setahun kat PASUM memang aku timba ilmu berjalan cukup-cukup. Terima kasih kepada Dilla, aku kini sudah kurang blur walaupun masih lagi suci murni innocent.


Rasanya aku hanya mahu tulis tentang rutin harian ketika cuti.
Jadi apa meraban benar sampai terkeluar semua cerita noob?


Typical Aqila.
Reminiscing the past.


Ah tapi konklusinya, aku budak medik yang anti sosial dan kelihatan lifeless. Habis cerita.


Aku nak sambung bercuti. Data kajian belum siap lagi. 28 haribulan nanti tamatlah cuti aku selama sebulan. Kembali bersama kelas lab tutorial dan bilik mayat serta exam yang bertimbun. Pro exam untuk Year Two hampir tiba. Tapi segala apa yang aku belajar tahun lepas macam angin yang bertiup sayu melewati pendengaran. Hampeh semua hilang. Kenapa aku lupa untuk sedar bahawa bermain dengan nyawa manusia itu umpama bermain dengan api?!


Dah kena mula fikir azam baru rasanya.
Nak jadi manusia yang lebih berguna.


Oh dan walaupun aku jarang keluar rumah, aku sangat suka backpacking.
Currently saving my money for a huge backpacking trip next year yeay!!


To another third world country we go!

Nov 14, 2014

Cerekarama Berjiwa

Ada apa pada tulisan sebenarnya?


Bagi aku tulisan punya dua sifat - Jiwa dan cereka.


Jika sebelum ini aku hanya hamburkan semua yang menari dalam kepala dengan lonjakan-lonjakan tari jiwa. Aku menulis dengan apa saja yang aku rasa. Apa saja yang punya visual dalam ingatan dan kepala. 


Aku merupakan apa saja yang aku tuliskan.


Mungkin itu sebenarnya tulisan yang bernyawa. Tulisan yang berjiwa. Tulisan yang punyai dunia yang cuba aku persembahkan secara literasi. Aku hamparkan saja apa-apa jenis perasaan dan memori yang aku ada disini.


Tapi sekarang mungkin tulisan aku cuma cereka sifatnya.


Kosong.
Tiada jiwa.


Menulis dan menaip bersama persepsi dan pandangan manusia sebagai ukur nilai. Semuanya kerana aku ingin buktikan bahawa hitam dan gelap bukan lagi tema yang mengiringi semua perenggan-perenggan kisah dan baris-baris puisi bersama helaian-helaian lipatan masa silam.


Aku hanya punyai huruf dan papan kekunci, selain titipan doa.
Sebagai satu tanda aras bahawa aku juga wujud sebagai seorang Aqila.


Bukan watak dan ilustrasi yang samar.
Yang akan kau lupa selepas bertahun tak berjejak rupa.


Jika saja aku hilang, sekurang-kurangnya tulisan ini tetap wujud dan hidup.

Nov 11, 2014

Satu Kali Hayat

Bertabahlah jiwa.


Suatu masa nanti semua kan terbayar dengan penamat yang kunjung tiba.
Apa mungkin jiwa rapuh itu mahu kau persembahkan kepada sang maha agung?
Disuruhnya engkau bangun melawan namun kau berjalan tunduk rebah pada setiap satu angin yang menggoncang goyah tekad.


Engkau dan sekalian nafas yang masih bersisa.
Bersama helaian-helaian putih misteri terlindung disebalik setiap ketidakpastian esok hari
Sematkan saja - Ini semua sekejap cuma.


Nafasmu tak panjang.
Hayatmu tak abadi.


Tuhanmu menunggu kau pulang dengan cinta sesungguh hamba.

Nov 3, 2014

Isnin Yang Manis

Assalamualaikum.


Setiap orang pasti takkan lepas daripada dugaan. Kecil atau besar, celik saja mata daripada lelap terus saja diduga tanpa sedar.


(Akulah itu. Setiap pagi diduga dengan graviti katil yang mencecah 9 juta N/kg)


Hari ini merupakan Isnin yang bertanggal 10 Zulhijjah.
Sejak malam tadi aku telah bercadang untuk berpuasa sunat.


Dan seperti yang telah aku nyatakan di atas, kita insan marhaen takkan terlepas daripada diduga. Orang selalu kabor Monday blues, tapi aku tak percaya sebab bagi aku setiap hari adalah blues day jika mahu dikira nisbah aku bangun pagi dengan senyuman dan "Tolonglah masa tolonglah berhenti berputar sehari tolonglah!"


K.


Hari ini dugaan picisan aku bermula seawal jam 4.30 pagi.


Aku bangun daripada tidur dalam keadaan mamai dan terus berjalan ke dapur. Tersadung depan kerusi sebab gelap gelita. Ok takpe. Aku buka periuk, jumpa nasi basi. Buka tudung saji, jumpa lauk sardin dah berketul. Choi. Menggagau pula panaskan air dalam cerek dan buka peti ais untuk keluarkan frozen chicken drummet.


Basuh kuali dan letak semula atas dapur gas. Terus tuang minyak dan nyalakan api. Kuali tak habis kering. Minyak pun meletup. Terpalit letupan minyak panas tersebut pada pergelangan tangan. Masih bersabar.


Sepatutnya di pagi yang hening bersama sisa kantuk yang masih bersisa, aku goreng saja drummet ayam itu dan terus makan. Tapi otak geliga dan perut yang bernafsu mendorong aku untuk menghiris halus bawang putih, campurkan bersama madu serta sos tiram dan gaul untuk dijadikan perencah tambahan drummet ayam yang sedang digoreng.


Sementara drummet ayam masih dalam kuali, aku berhasrat murni mahu take a nap seminit. Ini sesuatu yang tidak boleh langsung dijadikan ikutan ya. Mujur seminit dua selepas itu aku tidak terjaga dalam keadaan badan rentung hangus ditelan api.


Masih mamai, aku angkat drummet ayam yang aku bajet sudah masak ranum dan gaulkan bersama campuran bawang putih, madu dan sos tiram. Air milo juga aku bancuh. Letakkan atas meja dan sedia mahu meratah. Doa tidak dilupakan, berharap sahur serba ekspress ini mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.


Minum milo panas tiga teguk, tersedak. Bukan gula yang dimasukkan, tapi garam. Ya kesabaran kian tipis. Ratah drummet ayam penuh selera. Sampai ke bahagian tulang, mata menangkap warna merah darah yang masih memenuhi daging.


Ini sudah lebih.


Aku lempar pinggan yang berisi ayam-ayam tersebut, terbalikkan meja, meraung melolong-lolong tak ingat dunia dan memukul-mukul dada "Why today whyyyyy??!!" Kucing yang sedang lena tidur segera terbangun dan mencicit lari meninggalkan tuannya yang kelihatan seperti Lorde di Tanjung Rambutan. Kesabaran aku hilang. Jiwa aku punah. Lantas aku terduduk meraung dalam jeritan yang sayu.


....
....
....


Gurau.


Bersama linangan air mata syawal, aku menelan enam ketul ayam tanpa meninggalkan apa-apa sisa pun selain tulang.