Nov 3, 2014

Isnin Yang Manis

Assalamualaikum.


Setiap orang pasti takkan lepas daripada dugaan. Kecil atau besar, celik saja mata daripada lelap terus saja diduga tanpa sedar.


(Akulah itu. Setiap pagi diduga dengan graviti katil yang mencecah 9 juta N/kg)


Hari ini merupakan Isnin yang bertanggal 10 Zulhijjah.
Sejak malam tadi aku telah bercadang untuk berpuasa sunat.


Dan seperti yang telah aku nyatakan di atas, kita insan marhaen takkan terlepas daripada diduga. Orang selalu kabor Monday blues, tapi aku tak percaya sebab bagi aku setiap hari adalah blues day jika mahu dikira nisbah aku bangun pagi dengan senyuman dan "Tolonglah masa tolonglah berhenti berputar sehari tolonglah!"


K.


Hari ini dugaan picisan aku bermula seawal jam 4.30 pagi.


Aku bangun daripada tidur dalam keadaan mamai dan terus berjalan ke dapur. Tersadung depan kerusi sebab gelap gelita. Ok takpe. Aku buka periuk, jumpa nasi basi. Buka tudung saji, jumpa lauk sardin dah berketul. Choi. Menggagau pula panaskan air dalam cerek dan buka peti ais untuk keluarkan frozen chicken drummet.


Basuh kuali dan letak semula atas dapur gas. Terus tuang minyak dan nyalakan api. Kuali tak habis kering. Minyak pun meletup. Terpalit letupan minyak panas tersebut pada pergelangan tangan. Masih bersabar.


Sepatutnya di pagi yang hening bersama sisa kantuk yang masih bersisa, aku goreng saja drummet ayam itu dan terus makan. Tapi otak geliga dan perut yang bernafsu mendorong aku untuk menghiris halus bawang putih, campurkan bersama madu serta sos tiram dan gaul untuk dijadikan perencah tambahan drummet ayam yang sedang digoreng.


Sementara drummet ayam masih dalam kuali, aku berhasrat murni mahu take a nap seminit. Ini sesuatu yang tidak boleh langsung dijadikan ikutan ya. Mujur seminit dua selepas itu aku tidak terjaga dalam keadaan badan rentung hangus ditelan api.


Masih mamai, aku angkat drummet ayam yang aku bajet sudah masak ranum dan gaulkan bersama campuran bawang putih, madu dan sos tiram. Air milo juga aku bancuh. Letakkan atas meja dan sedia mahu meratah. Doa tidak dilupakan, berharap sahur serba ekspress ini mampu menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.


Minum milo panas tiga teguk, tersedak. Bukan gula yang dimasukkan, tapi garam. Ya kesabaran kian tipis. Ratah drummet ayam penuh selera. Sampai ke bahagian tulang, mata menangkap warna merah darah yang masih memenuhi daging.


Ini sudah lebih.


Aku lempar pinggan yang berisi ayam-ayam tersebut, terbalikkan meja, meraung melolong-lolong tak ingat dunia dan memukul-mukul dada "Why today whyyyyy??!!" Kucing yang sedang lena tidur segera terbangun dan mencicit lari meninggalkan tuannya yang kelihatan seperti Lorde di Tanjung Rambutan. Kesabaran aku hilang. Jiwa aku punah. Lantas aku terduduk meraung dalam jeritan yang sayu.


....
....
....


Gurau.


Bersama linangan air mata syawal, aku menelan enam ketul ayam tanpa meninggalkan apa-apa sisa pun selain tulang.

No comments: