Nov 27, 2014

Suatu Pernah

Ketika aku masih bersekolah rendah, aku punya pelbagai visi dan idea tentang bagaimana aku mahu mengubah dunia ini.


Apabila dipilih menjadi pengawas, ketua dan segala jenis tampuk pimpinan, tanpa banyak resam aku terima dan jalani penuh cinta. Bagi aku yang masih terperuk di takuk persekolahan, aku punya satu prinsip yang aku pegang sebagai dasar :


Be the changes you wanted the world to be.


Dunia keliling ketika itu masih kecil sferanya pada pandangan seorang kanak-kanak perempuan berbaju kurung dan menarik beg roda ke sekolah. Dunia luar sekolah ketika itu begitu mengujakan, dan tiap malam sebelum tidur aku akan bermain dengan idea-idea yang hinggap di kepala - Idea-idea tentang dunia dan setiap satu peristiwanya sepanjang perjalanan aku akan membesar kelak. Bagaimana ketika itu aku visualkan diri aku sebagai penggerak manusia kearah dunia yang lebih terang.


Melangkah ke sekolah menengah, aku bawa bersama segala idea dan tiap kali punyai peluang, akan aku lontarkan apa yang menjadi pendapat dan cadangan pembaharuan. Dilabel sebagai unik dan pelik, aku teruskan juga mencanang idea dan pendapat kepada sesiapa sahaja yang mahu mendengar. Ilmu ketika itu aku anggap seperti kayangan yang tertinggi.


Pada tahun kedua persekolahan menengah, aku mula bersikap rebel dan ketika itu apa saja yang keluar daripada mulut pasti disertai dengan amarah dan keyakinan yang melampau, hingga kadangkala tidak aku fikir perasaan mereka yang mendengar dan melihat. Semangat ketika itu menjulang berapi-api. Betapa ketika itu ketegasan menjadi teras diri.


Dan aku ingat, pada suatu hari sewaktu aku berada di Tingkatan Tiga.


Bagaimana segalanya bermula dan meleret menanah hingga kini.


Cikgu menyuruh agar setiap daripada kami membentangkan sesuatu yang unik, suatu inovasi atau ciptaan dihadapan seluruh kelas. Beberapa rakan membentangkan tentang robot yang mampu memudahkan kehidupan manusia dan tidak kurang pula membentangkan tentang mesin masa.


Aku?


Aku memilih untuk menerangkan tentang sistem Pay It Forward, yakni satu sistem yang terinspirasi menerusi satu filem kemanusiaan yang pernah aku tonton.


Penuh cermat, aku terangkan kepada mereka bagaimana sistem ini berkembang seperti segi tiga. Dimulai dengan aku, katakan sahaja ketika itu seseorang menghadapi kesusahan dan aku tampil membantu, meskipun bantuan itu sangat kecil. Dan selepas itu sekiranya dia mahu membalas pertolongan itu, aku katakan padanya tidak perlu dibalas kepada aku. Sebaliknya dia perlu membantu tiga orang manusia lain yang menghadapi kesusahan. Dan jika mereka mahu membalas pertolongannya, pesankan juga agar tidak perlu dibalas kepada dia. Sebaliknya carilah tiga orang manusia lagi untuk dibantu.


Maka lama-kelamaan, sistem ini akan berkembang seperti segi tiga. A bantu B, C dan D. B bantu tiga orang. C bantu tiga orang. D bantu tiga orang. Dan orang-orang yang telah dibantu itu juga membalas semula dengan membantu tiga lagi manusia setiap seorang. Titik akhir sistem ini memperlihatkan kepada kita bagaimana sedikit kebaikan pun, jika disebar dan dikongsi, mampu menjadikan dunia ini sebgaai suatu tempat yang dipenuhi jiwa-jiwa luhur.


Itu yang aku terangkan kepada mereka, dengan harapan idea ini dikongsi bersama dan menjadi titik permulaannya.


Dan apa yang aku terima sebagai reaksi?


Mereka ketawa.


Dan selepas itu setiap kali aku ke kantin mahu membeli makanan, pasti aku terlihat jari-jari yang menuding dan mulut-mulut yang berbisik. Rakan sekelas juga mengejek dan idea itu dipersendakan. Katanya aku bercita-cita tinggi macam raja. Katanya lagi, aku tak realistik.


Jika sebelumnya tidak pernah aku berputus asa, ketika itu buat pertama kalinya aku kecewa. Idea yang aku fikir dengan bersungguh-sungguh diperlekeh begitu saja. Dan aku juga tidak pasti entah bila, tapi sejak kejadian itu aku mula kenal apa itu takut dan pandangan manusia.


Kesusahan dan kegagalan-kegagalan yang tiba selepas itu menghentak pula jiwa yang sebelumnya kuat.


Berpindah ke MRSM, segala sifat kepimpinan telah terbuang tanpa aku sedar. Hari demi hari, aku masih lagi bersuara dengan lantang terutamanya ketika kelas Bahasa Melayu, namun lama-kelamaan pisau yang dahulunya tajam kian tumpul. Semakin ramai bercakap tentang aku, semakin aku hilang keyakinan diri.


Hingga akhirnya aku memilih untuk kekal introvert, sebagaimana sifatnya aku dari dalam yang aku tutup dengan mulut yang lantang bersuara bertahun-tahun.


Hari ini, aku menjadi seseorang yang tidak pernah aku jangkakan.


Hilang segala idea-idea pembaharuan anak bangsa yang pernah aku hadami. Aku tidak lagi menjadi apa-apa perubahan dan perbezaan sebagaimana yang mahu aku lihat pada dunia ini. Aku menjadi seorang gadis tipikal yang leka bertarung dengan perasaan, hanyut terbuai dengan kekecewaan dan kegagalan demi kegagalan yang pernah menimpa. Aku menjadi seorang gadis tipikal yang sibuk merias diri dan menangis kerana perkara-perkara remeh.


Mungkin semakin aku kenal apa itu ketakutan dan pandangan manusia, semakin aku rebah menunduk akur dibawah bayang-bayang dunia.


Aku mahu cipta perbezaan, namun kini aku tenggelam dalam cliche masyarakat.

No comments: