Dec 31, 2014

365


Terlalu banyak yang mencorak perjalanan 2014 ini.
Hingga kadangkala berpusing seratuslapanpuluh darjah.


Dari hidup yang biasa-biasa harinya kepada harapan yang menggunung tinggi kepada depresi membunuh kepada pemulihan diri kepada aku yang pada hari ini lebih besar minda dan jiwanya.


Esok yang mendatang, andai punya izin -
Biarlah dicalit warna tanpa mengira cerah gelapnya.


Kerana setiap satu senyum dan duka itu kiriman cinta dari Dia.


Untuk menguatkan.
Untuk mencantikkan.
Untuk memaafkan.


2015 yang akan tiba, aku letakkan satu tali buat pegangan -


Wanita muda harus bijak gagah, cerah minda jiwa. Tunduk sujud sebagai hamba Dia. Dan meletakkan ilmu sebagai kayangan tertinggi dunia.


Semoga apa-apa yang pernah hilang aku redakan dan akur.
Semoga apa-apa yang luka aku ambil pulih dan syukur.


Salam aku kepada yang datang, tinggal mahupun pergi, dengan hati yang terdalam.


Terima kasih atas setiap satu pinjaman-Mu, pemilik nafas.


* * * * * * * * * *


Puisi 365 Hari, sebagaimana yang aku tuliskan bermula pertama hari 2014 sudah menemui helaian terakhir.


Untuk dia.
Tanda ingatan yang masih panjang.


Mungkin kisahnya berubah. Mungkin aturan takdir memberi seribu cara yang rahsia. Mungkin berdua kita, sama-sama lebih besar jiwanya. 


Ada suka.
Ada luka.


Dan ada harapan serta sisipan impian yang masih bersisa bara.


Meski perasaan masih sama.
Masih terhulur tak bersambut.


Ini terakhir kalinya aku tuliskan kepingan hati buat dia yang telah aku lepaskan pergi untuk kami berdua sama mencari diri. Mencantum apa-apa yang pernah hilang. Menyambung apa-apa yang pernah tertinggal.


Biar semakin jauh dia dipisahkan daripada pandangan aku.
Biar sama-sama berdua kita, mengejar masa depan masing-masing.


Walaupun jalan tidak sama dan laluan tidak bertembung akhirnya.


Tidak mengapa.
Telah aku redakan setiap satu jalan ketetapan Dia.



* * * * * * * * * *


Bintang utara yang masih terang.
31 Disember 2014.


365 helaian telah aku puisikan.
Buat melankoli rasa yang tersimpan 1461 hari lamanya.


Begitu banyak cerita tak habis tentang kita.


Jika suatu hari nanti luka ini telah pulih,
Bisa aku tuliskan 365 lagi helaian puisi buat engkau.


Dan 365 helai selepasnya.


Dan lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.


Pasir Salak / Malaysia-India

Dec 28, 2014

Plethoric




Its a terrible thing to be so open ;
It is as if my heart put on a face and walked into the world.


Sometimes, the best way to appreciate something is to be without it for a while.

Dec 26, 2014

Bertahanlah Untuk Esok Hari


Cuti sempena perayaan Krismas dan aku pulang ke Klang untuk terakhir kalinya sebelum peperiksaan akhir tahun kedua perubatan.


Tiba di rumah, segera memeluk Fluffy si kucing berkaki tiga kesayangan yang adik jumpa di hadapan tempat pembuangan sampah kira-kira dua minggu yang lalu. Mungkin dilanggar, mungkin juga dijadikan bahan lepas amarah manusia, tetapi makhluk kecil gebu itu adik temui mengiau-ngiau kesakitan bersama telur lalat yang membusuk di badan kerana putus kakinya. Sebagaimana kebiasaannya kami sekeluarga, melihatkan kucing terseksa dan bertarung dengan nyawa merupakan antara perkara terakhir yang mahu dilihat selama hayat masih bersisa. Entah kenapa empati bagai tak terhingga pada makhluk yang satu ini. Selepas dua hari dirawat di veterinar, Fluffy dibawa pulang. Pulang ke rumah sebenar-benar rumah yang bakal menerima hidup dan matinya selepas ini.


Tudung ditanggal, baju ditukar. Wajah dibasuh bersih.


Mama memanggil untuk makan bersama di dapur.
Nasi padang bersama gulai ayam dihidang.


Seperti biasa, berbual panjang dan mama layankan saja segala khabar dan kekarutan yang aku bawa pulang bersama setiap kali berada di rumah. Sehingga tiba-tiba suapan aku terhenti apabila mama bersuara.


"Kita ada berita buruk, kak."


Mama menyambung semula setelah aku diam tidak membalas.


"Pasal ayah."


Suapan terasa semakin kelat. Kali terakhir aku mendengarkan sesuatu seperti ini, mama menangis teresak-esak di hadapan aku yang kelu tidak terkata apa.


"Ayah diberhentikan kerja. Syarikat ayah ditutup."


Aku memandang wajah mama tanpa sebarang perkataan terluncur keluar. Hairan dan mencari logik terhadap apa yang usai aku dengar sebentar itu. 


"Kenapa? Sebelum ini takde masalah apa, kan?"


Mama mengeluh perlahan. 
Aku lihat dia cuba merangka ayat.


"Sejak Menteri Besar bertukar orang, syarikat ayah dah ditolak tepi. Bukan ayah seorang, hampir semua kakitangan bawahan dan bos-bos besar diberhentikan sekali. Yang tinggal cuma orang atasan yang paling atas. Biasalah, kerajaan negeri. Orang-orang dia disimpan. Yang lain ditendang."


Perkara pertama yang terlintas dalam kepala aku ialah adik-adik. Wafi bakal melangkah ke sekolah menengah. Ameen pula sedang menghabiskan IB, dan setahun setengah lagi bakal keluar ke negara orang. Bukan seribu dua belanjanya.


Kemudian aku memikirkan Mak Yang (nenek) yang sudah tidak boleh berjalan seperti dulu dan atuk yang terlantar lumpuh separuh badan setelah diserang strok beberapa tahun lalu. Juga mama yang menghidap diabetes dan ayah yang kini kerap diserang darah tinggi.


Dan perkara terakhir yang aku fikirkan ialah betapa aku masih membebankan mama dan ayah dengan perbelanjaan sekolah perubatan yang meskipun diringankan dengan elaun bulanan, tetap memakan jumlah wang yang besar.


"Habis tu, lepas ni ayah macam mana?"


"Katanya nak berehat dulu. Ayah bercadang nak bekerja sendiri lepas ni."


Nasi yang masih berbaki, aku gentel perlahan. Ada sebak yang menghurung dada. Ada tangis perlahan yang membuku dalam kepala. Tapi aku tahankan, tidak akan sekali-kali aku menangis di hadapan mama. Sebagai anak sulung dan perempuan tunggal, jiwa aku perlu besar demi dia.


Mungkin mama perasan. Atau mungkin mama memang mengetahui betapa aku kerap mengenepikan diri sendiri semata mahu mendahulukan nyawa-nyawa yang aku sayangi. Semakin aku berpura-pura tidak terkesan dengan perkhabaran itu, semakin sayu nada suaranya.


"Jangan fikir. Biar saja mama dan ayah yang tanggung semua ini. Gaji mama masih cukup untuk kita sekeluarga sementara ayah mencari pendapatan lain. Apa-apa yang berlaku lepas ni, mama dan ayah akan pastikan kehidupan kakak dan adik-adik tetap sama macam dulu. Takkan berubah."


Aku mengangguk senyap.
Nasi aku habiskan dengan deria rasa yang makin pudar.



**********



Beberapa jam kemudian, aku scroll Instagram dan terlihat Year End Sale yang sedang berlangsung. Hati terpaut pada sehelai jubah yang sudah lama aku tunggu pengurangan harganya.


Aku klik pada gambar tersebut, mencari nombor untuk dihubungi bagi meletakkan pesanan.


WhatsApp dibuka, mahu mula menaip apabila tiba-tiba keinginan itu pudar dan tekak terasa mual dengan kemahuan yang baru saja muncul sebentar tadi.


Aku tidak perlukan sehelai baju baru.
Aku kini hanya perlukan selambak ilmu.


Instagram aku tutup.
Vander's Human Physiology aku buka dengan amanah dan tekad yang memberat.


Tiga tahun saja lagi, mama dan ayah.
Tiga tahun saja lagi yang aku minta. 


Selepas itu, mama dan ayah sudah boleh berhenti berfikir tentang kami adik-beradik. Biar saja Ameen dan Wafi aku yang sara. Mama dan ayah perlu selayaknya meneruskan hari tua dan terima saja apa yang mahu kami balaskan pada budi yang selama ini tertabur. Mama dan ayah sudah tidak perlu bersusah payah mencari kepastian hari esok demi meneruskan hidup kita semua.


Reda aku pada setiap plot yang telah Dia tuliskan untuk episod ini.


Setelah dua dekad hidup dengan kesenangan dan keselesaan, ditariknya semula demi merasai kesusahan yang tidak pernah muncul. 


Tidak mengapa. 
Asal saja kami berlima masih bersama, aku reda dengan setiap satunya :)


Sehingga hari tu tiba, bertahanlah wahai dua jiwa agung yang tidak pernah terganti cintanya dalam hati ini!


Bertahanlah untuk setiap satu hari yang akan tiba.

Dec 23, 2014

Fisiologi Perempuan


Satu kuliah tentang fisiologi sistem pembiakan wanita usai sebentar tadi.


Setiap kali di dewan kuliah, habit aku untuk belajar ialah aku akan keluarkan kertas A4 putih empat helai dan tulis tajuk besar di bahagian atas. Aku tak suka gunakan buku nota, terutamanya yang bergaris-garis. Bagi aku garisan pada buku memberi satu limitasi untuk aku menulis, sebab aku akan tend untuk menulis berdasarkan garisan yang ada. Kalau kertas A4 putih senang, tulislah memanjang ke menyenget ke bullet form ke nak lukis bulatan ke, tak nampak semak.


(Hairan, sebab seorang Aqila sangat sukakan details dan susunan. Tapi bila masuk bab belajar, lagi berterabur nota tersebut lagi aku suka. Kadang aku saja renyuk-renyukkan buku Anatomy yang tebal tu sebab nak bagi 'selera' baca kah!)


Jadi hari ini aku datang dengan kepala kosong dan mula menulis apa saja input yang otak aku terima menerusi apa yang disyarahkan oleh Dr. Noorzaid. Kalau faham, angguk. Kalau tak faham, kerut dahi. Kalau mengantuk, mula usha orang sebelah suruh cubitkan tangan tapi takpernahberjayauntuktakmengantuk.


Hari ini sepanjang kuliah, kepala aku berpusing-pusing berfikir tentang menstruasi wanita dan fisiologi mengandung.


Aku cuba fahamkan bagaimana ovarian cycle berlaku, bagaimana proses post ovulation cycle dan fisiologi progesterone serta estrogen yang lima juta kali baca pun kerap terkeliru. Kemudian aku bandingkan dengan sistem pembiakan lelaki, yang bagi aku agak mudah difahami berbanding wanita punya (Sebab aku tak ada maka aku rasa menarik kot untuk difahamkan kekeke)


Dan tiba-tiba kepala aku ligat berfikir, kenapa menstruasi dan mengandung hanya berlaku pada wanita?


Ya aku tahu takkan lah lelaki juga harus mengalami perkara yang sama. Tidaklah aku mahu memperjuangkan kesamarataan antara gender sehingga begitu sekali. Tidak juga berhasrat ingin menjadi feminist.


Cuma akal kerdil seorang manusia penuh lopong ini tertanya-tanya mengapa Tuhan memilih wanita untuk membawa kurniaan ini.


Aku suarakan pada Mak (nama Atiqah tapi aku panggil Mak), "Cuba bayangkan kalau lelaki tiap-tiap bulan period pain. Lepas tu boleh mengandung pulak."


Mak gelak perlahan, takut mengganggu ketenteraman dewan kuliah.
"Kejap-kejap mengamuk terbalikkan meja. Emo sikit je bertumbuk."


"Tapi perempuan yang lemah dan serba kekurangan ini jugak yang Tuhan pilih untuk rasa semua ni, kan?"


Mak angguk, senyum.
"Sebab Tuhan tahu, disebalik setiap kelemahan kita tu, ada satu sisi yang mana cuma perempuan saja yang cukup kuat untuk terima."


Aku pandang depan dan kepala masih berpusing berfikir.


Boleh kata hampir setiap hari aku akan terbaca atau terdengar frasa "Perempuan sangat kompleks dan merumitkan." Dan aku sebagai seorang perempuan juga tak pernah menafikan mahupun mengiyakan seratus peratus. I mean, most of those statements came form guys (or super hipster women who think they're different from others butinrealitytherearejusthesame), therefore how can they understand the other gender when they haven't given the chance to be in other's shoes?


Kadang kala aku akui aku juga beremosi. Fikiran aku kompleks dan aku suka mengorek satu perkara kecil hingga ke lubang paling dalam kemudian murung sendiri di hujung katil bila kecewa dengan dapatan akhirnya.


Apa yang dikatakan kompleks dan rumit itu sebenarnya mungkin hanya kerana perempuan memang diciptakan dengan akal yang terbatas. Pintar, tetapi pendek akal.


Dan yang namanya perempuan memang sinonim dengan emosi. Bila dikuasai perasaan, mula bercakap tak tentu hala dan kemudian menyesal. Toksah tipulah semua perempuan sama je kalau sebut bab emosi. Cuma mungkin kecenderungan itu lain-lain arahnya untuk setiap kita.


Dan, disebabkan sifat perempuan yang kaya dengan emosi inilah Tuhan memberi anugerah menstruasi dan mengandung pada mereka. Kerana secara fitrahnya, empati seorang perempuan memang lebih tinggi apabila muncul apa-apa saja perkara tentang perasaan dan nyawa.


Memang benar diciptakan perempuan dengan akal yang pendek.
Dan dengan akal yang pendek inilah dapat aku lihat betapa ramainya kaum sejenis yang sanggup korbankan kepentingan diri demi memenangkan perasaan.


Mungkin kerana itu Tuhan memberi anugerah tersebut kepada aku dan kaumku.


Kerana Dia tahu, besarnya jiwa seorang perempuan dan betapa kekuatan perasaan itu sebenarnya melebihi apa-apa saja kekuatan fizikal yang tak dipunya.


* * * * * * * * * *

 
Dalam aku sibuk terawang-awang berfikir, kelas pun tamat dengan tanpa sedarnya.


Aku pandang kertas di hadapan - 
Lebih banyak kosong dari bertulis.

Dasar perempuan.

Lewat


Hari ini kelas pukul lapan dan terbangun lambat.


Buat pertama kalinya dalam dua tahun, aku mengambil masa selama 15 minit sahaja untuk lengkap berbaju kurung bertudung bawal, setepek bedak di muka dan secalit lip tint di bibir untuk ke kelas.


Semua ini gara-gara malam tadi aku menukar bunyi alarm daripada beep beep beep kepada Ronan Keating - When You Say Nothing At All.

Dec 22, 2014

Jodoh Dan Hujan


Hari ini kelas habis awal. 


Lepas berpinar mata menghadap microscope, slide-slide female reproductive system dan menahan ngantuk di Histology Lab, aku dan Jannah bergegas untuk makan tengahari di kedai makan tingkat empat Wisma Persekutuan Ipoh.


Tiba-tiba ternampak segerombolan manusia dengan lab coat tersarung dan stetoskop di leher. Berkumpul beramai-ramai di foyer kolej.


Aku panjangkan lagi leher untuk usha.


Bila aku sedar siapa segerombolan manusia itu, Jannah juga berfikir perkara yang sama dengan aku.


Aku pandang Jannah.
Jannah pandang aku.
Kami berpandangan sesama sendiri.


Dengan mata berbintang-bintang dan adrenaline yang mula dipam-pam ke seluruh badan, dengan terujanya aku dan Jannah sama-sama buka mulut.


"Weh tu abang-abang fifth year tu! Tengah photoshoot nak grad!"
"Dorang tengah sibuk nak memburu jodoh kan? Ni lah peluang aku nak lalu tengah-tengah foyer tu."


Jannah gelak besar.
"Bodo lah kau Qila."


"Tepi, tepi! Aku nak tunjuk muka ni. Kotlah sorang dua berkenan nanti."


Di luar foyer, hujan sedang lebat bertebaran sejak pagi. Aku buka payung dan dengan baju kurung pink kelabu yang tersarung di badan, mula berjalan lemah lembut berhampiran abang-abang fifth year, bersama harapan jodoh akan muncul tiba dan zaman solo akan berakhir.


.
.
.
.


Gurau.


Scene berjalan lemah lembut sambil menundukkan wajah dan mengerling senyap itu tak pernah berlaku.


Aku dan Jannah masing-masing dah macam ayam. Terkedek-kedek berjalan laju mengharungi hujan lebat. Abang fifth year kemana, jodoh pun entah kemana. Yang penting baju dan tudung tak basah lencun.

Dec 21, 2014

Nina Menziarahi Qila


Nina baru pulang ke rumah setelah bermalam di rumah sewa aku.


Sudah berminggu-minggu aku tersengih apabila hampir setiap hari mendapat WhatsApp "Kehadapan Qila yang diingati, bila nak keluar sama ni?" "Minggu ni jadi tak?" "Jumaat ni free tak?" "Kelas pack tak? Busy tak?"


Dan semalam hasrat Nina untuk berjalan ke kafe serata Ipoh telah aku tunaikan bersama. 


Disebabkan aku jarang keluar merayap cafe hunting seperti housemate yang lain, terpaksa aku survey satu persatu kafe yang ada, berharap Nina akan berpuas hati dan gembira dengan tempat yang aku bawa.


(Sudahlah bodoh bab-bab direction, blur pula tu dengan pilihan tempat yang ada leulz Qila)


Jadi malam itu aku bawa Nina ke Thumbs Cafe untuk meatball kegemaran, Chokodok Reggae House dan El Negra. Sebenarnya mahu bawa dia ke Mat Periuk, Classic, Hobo dan Ben's Burger juga tapi apakan daya lepas teguk tiga gelas besar air berturut-turut dan makan tiga pinggan tanpa henti, aku dan Nina terpaksa membusung perut yang penuh. Angkat bendera putih siap-siap.


Masuk je kereta, aku pandang Nina dan Nina pandang aku.


"Nak pegi mana lagi ni?"
"Hypertension dah kami punya badan ni! Kau nak bagi kita mati ke Qila?!"


Kekeke padan muka nak sangat merasa semua kafe dalam satu malam!


Tapi aku dan Nina masih belum puas berembun. Lepas berminggu menghadap buku dan assignment, aku putuskan malam itu malam zumba. Terus lari ke Aeon Kinta untuk tengok Night At The Museum 3. Dapat pulak seat depaaaaaaaan sekali memang kejung urat leher aku dan Nina menghadap skrin lima ribu plasma itu.


Pulang ke rumah sewa, masing-masing terdampar atas katil. Usap perut, urut leher.


Dan bercerita sepanjang malam. Tentang apa yang sedang, akan dan pernah terjadi.


Terima kasih sudi melawat aku, Nina! 


Tunggulah bila aku dah kaya dan berjaya nanti, aku bawa kau pusing serata tempat makan tiga hari tiga malam berturut-turut.


Kalau tetiba diabetes ke apa jangan risau, aku kan ada?
Hiks.

Dec 18, 2014

Terus

Kelmarin aku terserempak dengan Prof Myo Than, pensyarah Anatomy merangkap mentor dalam kumpulan.


"I haven't seen you in quite a long time."


Aku senyum dengan mesra.
"Kinda busy with lotsa things, prof."


"Oh and I want to congratulate you for your consistently increasing results in every End Of Module."


Aku teringat bagaimana beberapa bulan lalu Prof Myo Than dengan nada prihatin, bertanyakan sebab aku gagal dalam GIT module. Gagal buat pertama kalinya sepanjang hampir dua tahun.


"Thank you prof, but I haven't done my best yet."


Prof senyum.
"Its okay. The best are yet to come."


Sambungnya lagi,
"You don't need to straight away got an A after failing your GIT. You just need to show me your improvement. Step by step, little by little."


"I will, prof. I'm trying."


"Its okay if you don't want to tell me your problems. But I just want to ask you, have you solved it?"


Segala apa yang pernah berlaku muncul semula, terakam jelas dalam kepala. Beberapa bulan yang lalu. Sehingga aku berputus asa untuk lakukan apa-apa dan sengaja menggagalkan diri dalam peperiksaan.


Dan dengan kegagalan itu, sepertinya aku puas.
Puas melihat segala yang hancur semakin hancur.


"I don't know, prof. Its kinda hard."


Prof memandang aku dengan wajah tuanya yang lembut.


"Whatever happened, just let it be. You don't have to cry for your past. Its already happened. You can't changed it, Aqila."


"Currently trying to put all the pieces back together. But I'm okay now, prof. I'm much more better."


Berjalan beriringan sebelum berpisah ke haluan sendiri.


"Do your best for your Urogenital exam."


"I will, thank you prof!"


Dan aku habiskan sepanjang hari berfikir tentang bagaimana suatu masa dahulu ketika aku merasakan harapan telah tiada, aku sebenarnya buta untuk melihat keupayaan aku meneruskan nafas.


Hari ini, aku masih hidup.
Dan aku akan terus hidup sehingga Dia memanggil, mengikut ketentuan dan ketetapan yang telah tertulis.


Tidak akan sekali-kali aku putuskan untuk mati sendiri.

Dec 14, 2014

Raban Amarah

Jumaat lepas aku pulang ke Klang selepas tiga minggu berhempas pulas di Ipoh menyiapkan segala kerja yang bertimbun.


Sarjana Muda Pengajian Am & Sains Sosial, major Pengucapan Awam dan minor MBBS.


(Nada sarkastik yang hanya difahami oleh warga universiti sini)


Oh dan aku baru selesai Debat Kesihatan di UKM minggu lepas. Walaupun kami sekadar melangkah ke suku akhir sebelum ditendang keluar, sekurang-kurangnya hati ini tertampal melihatkan ranking pendebat terbaik alhamdulillah takpowertapibolehbuatsenyum juga.


Got no point tonight.


Just reminiscing the leisure time I have left, memandangkan sudah hampir sebulan aku tidak kecukupan tidur dan mata yang semulajadi panda semakin hitam legam sepertinya panda yang menghidap ocular retinopathy.


Selesai dengan SSM project, aku sibuk pula dengan industrial visit untuk Professional English. Kemudian assignment berlakon sebagai orang gila untuk Career Guidance. Baru nak tarik nafas lega, teringat assignment untuk Innovation. Satu kerja pula nak buat research tentang Amazon.com. Sudahnya aku buka wikipedia dan kopipes secukup rasa semampunya untuk tak dijatuhkan hukuman plagiarisme.


Setiap satu benda kat atas ni pula perlukan report dan presentation. Report dan presentation!! Report dan presentation!!!! (gema histeria)


Habis debat di UKM, aku ingat mahu berehat sebulan dua. Beberapa hari kemudian Fatin dari UM email tawaran untuk Debat Terbuka ASTAR pula. Aku lihat diri aku dan aku lihat pula debat yang terkenal dengan nama berprestij itu. Menggigil seminit dua. Aku cermin diri sendiri sekali lagi. Ada sedikit yakin, tapi masih menggigil.


Aku lihat pula tarikh debat tersebut. Hujung bulan Januari.


Aku teragak-agak untuk memberitahu Jord bahawa ketika itu besar kemungkinan aku hanya mampu berdebat jauh di Tanah Gandhi sahaja..


(Kalau Jord Azwa dan Hidayat nak mengamuk, aku sudah bersedia dengan flight ticket, passport dan visa yang sudah bercop diusung sepanjang masa dalam beg sebagai bukti aku bukan cuba nak melarikan diri taknak berdebat)


Sebut tentang India pula, aku kini salah seorang high committee untuk pelan perjuangan secara damai oleh pelajar MBBS yang dijadualkan untuk sambung tahun ketiga di India tahun hadapan. Long short story, ada sedikit (banyak nak mampos) masalah untuk program berkembar ini. Sepatutnya sudah dua batch terbang kesana, tapi sampai ke hari ini masih tergantung. Senior-senior dah hampir putus asa mengamuk naik turun pejabat MARA untuk perjuangkan hak mereka belajar di sana sebagaimana yang dimetrai dalam perjanjian.


Aku tidak boleh bercakap banyak tentang hal ini. Nanti dituduh tak bersyukur dan pengkhianat nama universiti pula (masih lagi nada sarkastik).


Cukuplah sekadarnya aku nyatakan bahawa surat untuk ibu bapa pelajar, HQ universiti dan pihak tertinggi MARA sudah selesai aku taip bersama amanah dan harapan yang menggunung tinggi - 


Agar suara kami yang katanya kecil dan tidak berasas ini didengari.
Agar hak kami untuk mendapatkan penjelasan dipersetujui. 
Agar masa depan kami diambil peduli.


Sudah aku bilang, ijazah sarjana muda kami multilevel dan multidimension. Orang lain belajar medik sibuk bergelumang dengan buku. Kami sibuk dengan kajian, program pelajar, subjek Pengajian Am dan aku yang memang suka mencari kerja ini bertambah sibuk pula berjuang memberontak secara underground untuk hak pelajar.


Welcome to our university, where knowledge is applied!


(Aku tak tahu sama ada malam ini aku bad mood kerana baru teringat ada enam muka surat BPSS yang perlu disiapkan untuk esok atau sarkastik yang terhasil menerusi amarah selepas perjumpaan pelajar bersama dekan tempoh hari yang menjadi punca aku menaip tanpa tapisan)

Dec 11, 2014

Two Cents

I'm living in an era of the world where single people are considered as picky while dating people are being called lucky.


As much as  I hate it when my own good friend snapped at me "Kau memilih sangat!", there's nothing I could do.


What do you expect, me accepting every heart being offered?


I'm not a feminist.
Not a hater of 'happily ever after' love stories either.


I do believe in true love.
Something that's been created by Allah, as one of the blessing in life, not to forget as a test.


Just because I haven't given the chance to have it, doesn't mean I have to stop believing in it.


(Is loving someone worth waiting for already considered as a true love? Even that feeling wasn't mutual?)


I might not be a good person to talk about this.
I sin, a lot.


But I'm not kidding when I said I wanted a love that was meant for marriage.


I just don't get the idea of loving each other but you, yourself, wasn't sure of the ending. No purpose. No vision. No plan.


For me, its easy.
Love is a commitment.


And if you wasn't sure whether or not you're ready for the commitment, how can I believe when you said you can love me eternally?


Us, young adults, often misunderstood love as a beautiful and magnificent thing. Its true, but its not the only thing you can look in love.


How about when it comes to a time where that beautiful and magical moments fading away? Youth and beauty no longer circumstances you? Trials and responsibilities hit you like a truck?


What can you do when the love itself is no longer burning and glowing like it used to?


You left?
You gave up?
You look for another excitement of love?


No, you don't.
That's when commitment comes to make sense.


I hate to break this to people who don't understand me, not knowing me well. Being labelled as a picky really hurts me. Not once, in my mind, the idea of me breaking every heart makes me happy. Never.


I just couldn't love someone who view love as "I have your heart and that's enough."


But well, told ya I'm not good enough to talk about this. Preaching about love in marriage yet still committing sins.


The irony is, I admit I pushed away people who gave their heart to me but I couldn't deny the reality of me loving someone for almost five years, waiting for this feeling to be replied when he's ready.


At least, though its one-sided love, I wasn't kidding when I said I'm serious when it comes to marriage and commitment.


And even at the end, he wasn't meant to be for me, I believe in God's plan.


The right person will come.
In the right time, with the right purpose.


God knows best.

Dec 2, 2014

Masih Berdebat

Aqila Syahiena via Tumblr -


Aku fikir aku sudah berdebat dengan cukup bagus, semaksima dan semampunya aku bercakap.


(Gurau. Aku down teruk dan tak dapat fokus satu benda pun yang pihak lawan cakapkan. Fikiran aku terbang ke kayangan katil yang tertinggi)


Tapi hari ini masih lunyai dibasuh disental dibebel Jord.


"Nak jadi pendebat ke pengacara majlis ni dik oiiiii?!"


Tiga hari lagi bakal ke UKM sebagai wakil UniKL RCMP bagi Debat Kesihatan. Melihatkan cara Jord menilai kami, rasanya masih jauh perjalanan untuk setanding taraf dengannya.


Moga dipermudahkan jalan yang sedia dibentang ini.
Gonna make you proud of us Jord!

December : Chapter 12 Out Of 12






Bulan keduabelas telah datang bersama segala sisa-sisa harapan baru yang pernah dilakar cantik pada bulan pertama.


Pejam celik juga aku sudah hampir ke penghujung tahun kedua sarjana perubatan. Benar, jika saja aku toleh belakang untuk melihat bagaimana mampu aku hadapi semua hingga ke tahap ini, angkuh benar aku andai segala syukur itu tidak disujudkan di hadapan Dia.


I've started my Urinary & Reproductive System module.
Another one module which is Central Nervous System and I'm coming to my final Year Two before proceeding my study in clinical years.


Besar sungguh cinta Tuhan. 


Sebagaimana dahulu aku merayu bersama segala kerendahan hati mohon direzekikan satu lagi peluang menapak lesu dalam bidang ini. Sebagaimana ketika cinta untuk dunia mulia pertarungan nyawa ini mula bercambah, aku sungguh-sungguh mohon agar ditunjukkan jalan untuk aku tabur segala cinta kasih buat pembangunan insani.


Tidak pernah sekali pun aku menyesal memilih jalan ini, meski jiwa seni dan bermain dengan aksara telah diadun hadam sebati dengan diri.


Apatah lagi sekali-sekala dihidangkan dengan pertemuan rambang bersama warga tua yang kadangkala bisa mengalunkan kisah hidup bersama derita penyakit. Ketika itu walau lelah bagaimana pun aku dengan renyah kehidupan pelajar perubatan, akan aku rasa satu perasaan hiba bersama tanggungjawab yang akbar. Betapa suatu masa nanti, beberapa tahun akan datang, mereka inilah yang akan aku rawat semampunya.


Dua tahun bergelumang dengan teori-teori dan lambakan buku tebal, aku tidak mahu melihat diri ini menjadi doktor tipikal yang bekerja seumpama robot. Kerja, gaji, terbitkan jurnal, kerja semula. Aku berazam mahu membangunkan jiwa manusia, luar dan dalam. Biar sahaja stigma masyarakat bahawa doktor itu manusia gila kerja terkubur senyap.


Semoga dengan datangnya bab keduabelas ini mengizinkan aku untuk menghabisi buku tahun ini bersama penghujung lipatan muka surat yang menjanjikan harapan untuk sebuah lagi buku baru permulaan kisah baru.


Kembali sibuk.


(Aku kini lebih banyak menulis rasa di Tumblr berbanding blog sebagaimana dahulu. Tumblr senang, blog agak leceh hehe)


(Berkoyan peristiwa mahu ditulis buat ulang rakam tapi sayang aku punya lambakan tanggungjawab lain mohon dihabisi)


Hingga bertemu semula, bab keduabelas.