Dec 31, 2014

365


Terlalu banyak yang mencorak perjalanan 2014 ini.
Hingga kadangkala berpusing seratuslapanpuluh darjah.


Dari hidup yang biasa-biasa harinya kepada harapan yang menggunung tinggi kepada depresi membunuh kepada pemulihan diri kepada aku yang pada hari ini lebih besar minda dan jiwanya.


Esok yang mendatang, andai punya izin -
Biarlah dicalit warna tanpa mengira cerah gelapnya.


Kerana setiap satu senyum dan duka itu kiriman cinta dari Dia.


Untuk menguatkan.
Untuk mencantikkan.
Untuk memaafkan.


2015 yang akan tiba, aku letakkan satu tali buat pegangan -


Wanita muda harus bijak gagah, cerah minda jiwa. Tunduk sujud sebagai hamba Dia. Dan meletakkan ilmu sebagai kayangan tertinggi dunia.


Semoga apa-apa yang pernah hilang aku redakan dan akur.
Semoga apa-apa yang luka aku ambil pulih dan syukur.


Salam aku kepada yang datang, tinggal mahupun pergi, dengan hati yang terdalam.


Terima kasih atas setiap satu pinjaman-Mu, pemilik nafas.


* * * * * * * * * *


Puisi 365 Hari, sebagaimana yang aku tuliskan bermula pertama hari 2014 sudah menemui helaian terakhir.


Untuk dia.
Tanda ingatan yang masih panjang.


Mungkin kisahnya berubah. Mungkin aturan takdir memberi seribu cara yang rahsia. Mungkin berdua kita, sama-sama lebih besar jiwanya. 


Ada suka.
Ada luka.


Dan ada harapan serta sisipan impian yang masih bersisa bara.


Meski perasaan masih sama.
Masih terhulur tak bersambut.


Ini terakhir kalinya aku tuliskan kepingan hati buat dia yang telah aku lepaskan pergi untuk kami berdua sama mencari diri. Mencantum apa-apa yang pernah hilang. Menyambung apa-apa yang pernah tertinggal.


Biar semakin jauh dia dipisahkan daripada pandangan aku.
Biar sama-sama berdua kita, mengejar masa depan masing-masing.


Walaupun jalan tidak sama dan laluan tidak bertembung akhirnya.


Tidak mengapa.
Telah aku redakan setiap satu jalan ketetapan Dia.



* * * * * * * * * *


Bintang utara yang masih terang.
31 Disember 2014.


365 helaian telah aku puisikan.
Buat melankoli rasa yang tersimpan 1461 hari lamanya.


Begitu banyak cerita tak habis tentang kita.


Jika suatu hari nanti luka ini telah pulih,
Bisa aku tuliskan 365 lagi helaian puisi buat engkau.


Dan 365 helai selepasnya.


Dan lagi.
Dan lagi.
Dan lagi.


Pasir Salak / Malaysia-India

No comments: