Dec 26, 2014

Bertahanlah Untuk Esok Hari


Cuti sempena perayaan Krismas dan aku pulang ke Klang untuk terakhir kalinya sebelum peperiksaan akhir tahun kedua perubatan.


Tiba di rumah, segera memeluk Fluffy si kucing berkaki tiga kesayangan yang adik jumpa di hadapan tempat pembuangan sampah kira-kira dua minggu yang lalu. Mungkin dilanggar, mungkin juga dijadikan bahan lepas amarah manusia, tetapi makhluk kecil gebu itu adik temui mengiau-ngiau kesakitan bersama telur lalat yang membusuk di badan kerana putus kakinya. Sebagaimana kebiasaannya kami sekeluarga, melihatkan kucing terseksa dan bertarung dengan nyawa merupakan antara perkara terakhir yang mahu dilihat selama hayat masih bersisa. Entah kenapa empati bagai tak terhingga pada makhluk yang satu ini. Selepas dua hari dirawat di veterinar, Fluffy dibawa pulang. Pulang ke rumah sebenar-benar rumah yang bakal menerima hidup dan matinya selepas ini.


Tudung ditanggal, baju ditukar. Wajah dibasuh bersih.


Mama memanggil untuk makan bersama di dapur.
Nasi padang bersama gulai ayam dihidang.


Seperti biasa, berbual panjang dan mama layankan saja segala khabar dan kekarutan yang aku bawa pulang bersama setiap kali berada di rumah. Sehingga tiba-tiba suapan aku terhenti apabila mama bersuara.


"Kita ada berita buruk, kak."


Mama menyambung semula setelah aku diam tidak membalas.


"Pasal ayah."


Suapan terasa semakin kelat. Kali terakhir aku mendengarkan sesuatu seperti ini, mama menangis teresak-esak di hadapan aku yang kelu tidak terkata apa.


"Ayah diberhentikan kerja. Syarikat ayah ditutup."


Aku memandang wajah mama tanpa sebarang perkataan terluncur keluar. Hairan dan mencari logik terhadap apa yang usai aku dengar sebentar itu. 


"Kenapa? Sebelum ini takde masalah apa, kan?"


Mama mengeluh perlahan. 
Aku lihat dia cuba merangka ayat.


"Sejak Menteri Besar bertukar orang, syarikat ayah dah ditolak tepi. Bukan ayah seorang, hampir semua kakitangan bawahan dan bos-bos besar diberhentikan sekali. Yang tinggal cuma orang atasan yang paling atas. Biasalah, kerajaan negeri. Orang-orang dia disimpan. Yang lain ditendang."


Perkara pertama yang terlintas dalam kepala aku ialah adik-adik. Wafi bakal melangkah ke sekolah menengah. Ameen pula sedang menghabiskan IB, dan setahun setengah lagi bakal keluar ke negara orang. Bukan seribu dua belanjanya.


Kemudian aku memikirkan Mak Yang (nenek) yang sudah tidak boleh berjalan seperti dulu dan atuk yang terlantar lumpuh separuh badan setelah diserang strok beberapa tahun lalu. Juga mama yang menghidap diabetes dan ayah yang kini kerap diserang darah tinggi.


Dan perkara terakhir yang aku fikirkan ialah betapa aku masih membebankan mama dan ayah dengan perbelanjaan sekolah perubatan yang meskipun diringankan dengan elaun bulanan, tetap memakan jumlah wang yang besar.


"Habis tu, lepas ni ayah macam mana?"


"Katanya nak berehat dulu. Ayah bercadang nak bekerja sendiri lepas ni."


Nasi yang masih berbaki, aku gentel perlahan. Ada sebak yang menghurung dada. Ada tangis perlahan yang membuku dalam kepala. Tapi aku tahankan, tidak akan sekali-kali aku menangis di hadapan mama. Sebagai anak sulung dan perempuan tunggal, jiwa aku perlu besar demi dia.


Mungkin mama perasan. Atau mungkin mama memang mengetahui betapa aku kerap mengenepikan diri sendiri semata mahu mendahulukan nyawa-nyawa yang aku sayangi. Semakin aku berpura-pura tidak terkesan dengan perkhabaran itu, semakin sayu nada suaranya.


"Jangan fikir. Biar saja mama dan ayah yang tanggung semua ini. Gaji mama masih cukup untuk kita sekeluarga sementara ayah mencari pendapatan lain. Apa-apa yang berlaku lepas ni, mama dan ayah akan pastikan kehidupan kakak dan adik-adik tetap sama macam dulu. Takkan berubah."


Aku mengangguk senyap.
Nasi aku habiskan dengan deria rasa yang makin pudar.



**********



Beberapa jam kemudian, aku scroll Instagram dan terlihat Year End Sale yang sedang berlangsung. Hati terpaut pada sehelai jubah yang sudah lama aku tunggu pengurangan harganya.


Aku klik pada gambar tersebut, mencari nombor untuk dihubungi bagi meletakkan pesanan.


WhatsApp dibuka, mahu mula menaip apabila tiba-tiba keinginan itu pudar dan tekak terasa mual dengan kemahuan yang baru saja muncul sebentar tadi.


Aku tidak perlukan sehelai baju baru.
Aku kini hanya perlukan selambak ilmu.


Instagram aku tutup.
Vander's Human Physiology aku buka dengan amanah dan tekad yang memberat.


Tiga tahun saja lagi, mama dan ayah.
Tiga tahun saja lagi yang aku minta. 


Selepas itu, mama dan ayah sudah boleh berhenti berfikir tentang kami adik-beradik. Biar saja Ameen dan Wafi aku yang sara. Mama dan ayah perlu selayaknya meneruskan hari tua dan terima saja apa yang mahu kami balaskan pada budi yang selama ini tertabur. Mama dan ayah sudah tidak perlu bersusah payah mencari kepastian hari esok demi meneruskan hidup kita semua.


Reda aku pada setiap plot yang telah Dia tuliskan untuk episod ini.


Setelah dua dekad hidup dengan kesenangan dan keselesaan, ditariknya semula demi merasai kesusahan yang tidak pernah muncul. 


Tidak mengapa. 
Asal saja kami berlima masih bersama, aku reda dengan setiap satunya :)


Sehingga hari tu tiba, bertahanlah wahai dua jiwa agung yang tidak pernah terganti cintanya dalam hati ini!


Bertahanlah untuk setiap satu hari yang akan tiba.

No comments: