Dec 23, 2014

Fisiologi Perempuan


Satu kuliah tentang fisiologi sistem pembiakan wanita usai sebentar tadi.


Setiap kali di dewan kuliah, habit aku untuk belajar ialah aku akan keluarkan kertas A4 putih empat helai dan tulis tajuk besar di bahagian atas. Aku tak suka gunakan buku nota, terutamanya yang bergaris-garis. Bagi aku garisan pada buku memberi satu limitasi untuk aku menulis, sebab aku akan tend untuk menulis berdasarkan garisan yang ada. Kalau kertas A4 putih senang, tulislah memanjang ke menyenget ke bullet form ke nak lukis bulatan ke, tak nampak semak.


(Hairan, sebab seorang Aqila sangat sukakan details dan susunan. Tapi bila masuk bab belajar, lagi berterabur nota tersebut lagi aku suka. Kadang aku saja renyuk-renyukkan buku Anatomy yang tebal tu sebab nak bagi 'selera' baca kah!)


Jadi hari ini aku datang dengan kepala kosong dan mula menulis apa saja input yang otak aku terima menerusi apa yang disyarahkan oleh Dr. Noorzaid. Kalau faham, angguk. Kalau tak faham, kerut dahi. Kalau mengantuk, mula usha orang sebelah suruh cubitkan tangan tapi takpernahberjayauntuktakmengantuk.


Hari ini sepanjang kuliah, kepala aku berpusing-pusing berfikir tentang menstruasi wanita dan fisiologi mengandung.


Aku cuba fahamkan bagaimana ovarian cycle berlaku, bagaimana proses post ovulation cycle dan fisiologi progesterone serta estrogen yang lima juta kali baca pun kerap terkeliru. Kemudian aku bandingkan dengan sistem pembiakan lelaki, yang bagi aku agak mudah difahami berbanding wanita punya (Sebab aku tak ada maka aku rasa menarik kot untuk difahamkan kekeke)


Dan tiba-tiba kepala aku ligat berfikir, kenapa menstruasi dan mengandung hanya berlaku pada wanita?


Ya aku tahu takkan lah lelaki juga harus mengalami perkara yang sama. Tidaklah aku mahu memperjuangkan kesamarataan antara gender sehingga begitu sekali. Tidak juga berhasrat ingin menjadi feminist.


Cuma akal kerdil seorang manusia penuh lopong ini tertanya-tanya mengapa Tuhan memilih wanita untuk membawa kurniaan ini.


Aku suarakan pada Mak (nama Atiqah tapi aku panggil Mak), "Cuba bayangkan kalau lelaki tiap-tiap bulan period pain. Lepas tu boleh mengandung pulak."


Mak gelak perlahan, takut mengganggu ketenteraman dewan kuliah.
"Kejap-kejap mengamuk terbalikkan meja. Emo sikit je bertumbuk."


"Tapi perempuan yang lemah dan serba kekurangan ini jugak yang Tuhan pilih untuk rasa semua ni, kan?"


Mak angguk, senyum.
"Sebab Tuhan tahu, disebalik setiap kelemahan kita tu, ada satu sisi yang mana cuma perempuan saja yang cukup kuat untuk terima."


Aku pandang depan dan kepala masih berpusing berfikir.


Boleh kata hampir setiap hari aku akan terbaca atau terdengar frasa "Perempuan sangat kompleks dan merumitkan." Dan aku sebagai seorang perempuan juga tak pernah menafikan mahupun mengiyakan seratus peratus. I mean, most of those statements came form guys (or super hipster women who think they're different from others butinrealitytherearejusthesame), therefore how can they understand the other gender when they haven't given the chance to be in other's shoes?


Kadang kala aku akui aku juga beremosi. Fikiran aku kompleks dan aku suka mengorek satu perkara kecil hingga ke lubang paling dalam kemudian murung sendiri di hujung katil bila kecewa dengan dapatan akhirnya.


Apa yang dikatakan kompleks dan rumit itu sebenarnya mungkin hanya kerana perempuan memang diciptakan dengan akal yang terbatas. Pintar, tetapi pendek akal.


Dan yang namanya perempuan memang sinonim dengan emosi. Bila dikuasai perasaan, mula bercakap tak tentu hala dan kemudian menyesal. Toksah tipulah semua perempuan sama je kalau sebut bab emosi. Cuma mungkin kecenderungan itu lain-lain arahnya untuk setiap kita.


Dan, disebabkan sifat perempuan yang kaya dengan emosi inilah Tuhan memberi anugerah menstruasi dan mengandung pada mereka. Kerana secara fitrahnya, empati seorang perempuan memang lebih tinggi apabila muncul apa-apa saja perkara tentang perasaan dan nyawa.


Memang benar diciptakan perempuan dengan akal yang pendek.
Dan dengan akal yang pendek inilah dapat aku lihat betapa ramainya kaum sejenis yang sanggup korbankan kepentingan diri demi memenangkan perasaan.


Mungkin kerana itu Tuhan memberi anugerah tersebut kepada aku dan kaumku.


Kerana Dia tahu, besarnya jiwa seorang perempuan dan betapa kekuatan perasaan itu sebenarnya melebihi apa-apa saja kekuatan fizikal yang tak dipunya.


* * * * * * * * * *

 
Dalam aku sibuk terawang-awang berfikir, kelas pun tamat dengan tanpa sedarnya.


Aku pandang kertas di hadapan - 
Lebih banyak kosong dari bertulis.

Dasar perempuan.

No comments: