Mar 18, 2015

Khabar Pada Angin


Aku banyak didewasakan dengan jatuh yang berkali-kali sehingga terhumban dan berdiri semula setelah lelah mengira nafas memanjat tangga hidup.


Bersaksikan Yang Maha Kuasa, aku bersyukur akan setiap air mata yang mengalir. Bukti sisa manusia masih ada dalam diri walaupun selepas remuk hati dihancurkan dengan resmi dunia.


Hari ini, aku mendengar beberapa khabar daripada mereka yang tidak aku kenal nama dan kisahnya.


Walaupun apa yang diperkatakan itu hanyalah sesuatu yang remeh dan sifatnya untuk berseronok semata, cukup sekadarnya aku merasa agak terluka. Kerana apa yang dikhabarkan itu tidak telus, bahkan banyak penambahan berbanding yang sebenarnya.


Aku tidak mengharapkan jalan ini dipenuhi dengan bunga-bunga kapas. Tidak juga aku meletak apa-apa sangkaan bahawasanya semua manusia yang aku pegang amanahnya ini akan berjalan bersama-sama aku disisi tanpa sebarang kata belakang.


Aku tahu apa yang menanti aku dihadapan jalan.


Tapi, entah.


Resmi manusia biasa mungkin. Walaupun aku katakan aku tidak boleh mengharapkan mereka melihat yang baik-baik saja tentang aku, rasa terkilan itu tetap hadir. Rasa berjauh hati itu tetap ada.


Sejauh mana aku cuba membahagikan tanggungjawab dan kehendak, sejauh mana aku cuba membersihkan kotoran yang ada pada diri agar tidak tercemar amanah ini dengan aku yang tidak putih bersih perbadinya, sejauh mana aku berharap kebenaran sentiasa menang; Aku tetap berduka.


Mendengar mereka membicarakan sesuatu yang tidak betul tentang hal peribadi aku. Masa silam aku. Titik gelap aku.


Mungkin jika kebenaran yang diperkatakan, aku tidak terlalu terkesan. Tetapi jika fitnah dan propaganda yang ditabur, meskipun aku katakan aku tidak kisah, aku benar-benar agak terluka.


Ingin mengadu, aku tidak punya siapa-siapa yang terlintas di kepala. Apa mungkin bisa aku ceritakan pada mereka yang menggantungkan amanah pada bahu ini. Tidak boleh. Aku perlu terus kuat untuk mereka.


Lantas, sebagaimana manusia hanyut yang lainnya ;
Bila sudah tidak punya sesiapa ;
Baru aku kembali mencari Tuhan.


Itupun untung lagi Tuhan masih tidak membuang aku.


Tuhan yang mengertikan isi hati aku. Satu-satunya hakim yang mengetahui setiap nilai cerita yang dikisahkan tentang aku. Yang benar, yang hak dan yang batil itu semua ada pada genggaman-Nya.


Kekasih, aku sangat bersedih hati.
Seumpamanya maruah aku tercalar.


Aku meletakkan janji untuk memperjuangkan segala yang benar. Berani aku juga kerana apa-apa saja yang benar. Aku tahu, fitnah ini takkan kemana kerana aku bukan sebagaimana yang sebilangan kecil daripada mereka sangkakan.


Tetapi buat masa ini, aku sangat bersedih. Benar-benar bersedih.

No comments: