Mar 27, 2015

Mencari Waras


Hari Jumaat.
Dua hari sebelum Isnin.


Usai menatap buku berjam-jam lamanya, aku ke bilik air untuk membersihkan diri. Tekak serasa kembang nak termuntah kerana kali terakhir aku makan makanan yang agak proper adalah kira-kira tiga hari yang lalu.


Definisi makanan proper musim peperiksaan : Nasi putih, kicap dan telur mata kerbau.


Jadi apabila aku membasuh muka pada sinki bilik air, tiba-tiba secara rawaknya aku teringatkan sejenis ubat yang digunakan untuk menghalang kita daripada muntah. Aku termenung di hadapan cermin sinki dan cuba mengorek nama ubat tersebut.


Korek punya korek, malang sekali tak ketemu.
Punyalah stress sedangkan semalam aku sudah belajar bagai nak rak.


Dan secara anehnya juga aku bagai tidak tersedar akan apa yang aku lakukan di dalam bilik air. Otak aku ketika itu sibuk berfikir dan mencari nama ubat anti-vomitting tersebut. Aku bagai hanyut dalam dunia sendiri dan badan aku bergerak tanpa apa-apa arahan spesifik daripada otak.


Dan ketika otak aku sudah menemui jawapan kepada nama ubat yang aku cari-cari, sudah terlambat untuk aku kembali kepada keadaan sedar. Subconscious mind aku sudah mendominasi pergerakan sebelum sempat aku waraskan diri.


Badan aku yang berdiri tegak dan masih berbalut baju serta seluar tidur sudah dibasahi air pancuran bilik mandi. Entah bila masa aku putar tombol air pun aku tidak tahu.


Dasar Domperidone.

No comments: