Mar 12, 2015

Pasca Kelabu


Kadangkala aku memarahi diri sendiri kerana terlalu telus dan lurus.


Jiwa-jiwa sekeliling aku, kesemuanya aku anggap baik dan jujur. Aku hulur kembali senyum pada sesiapa yang memberi. Aku beri tangan pada setiap yang meminta dipanjangkan langkah. Seluruh dedikasi dan tenaga aku tumpahkan demi melihat sesuatu keberjayaan, jika aku mahu.


Kebaikan bagi aku, satu kemestian.


Maka disetiap kali segala kebaikan itu diludah semula mahupun ditendang dengan apa-apa yang busuk, aku kumpul satu-persatu serpihan hati yang remuk.


Aku perhalusi semua. Dan jika ada tangis yang mendatang sama, aku biarkan hingga semua yang pedih itu hilang lalu aku pejamkan mata dan tanamkan kembali penerimaan.


Akur dengan ketetapan bahawa kebaikan itu sifatnya bukan jual beli dengan nilai yang sama. Kebaikan itu memberi. Kebaikan itu satu-satunya harta yang dermawan tidak akan pernah habis walau banyak mana ditabur pergi.


Ada saja bila-bila suatu masa, aku putus asa.
Diri dilempar dengan rasa keji.


Dan ada juga bila-bila suatu masa, aku membenci telus dan lurus yang dimiliki. Seumpamanya satu lesen untuk orang menjunjung aku ke tingkat tertinggi kemudian dicampak semula selepas habis dihirup gunanya. Lalu aku berhasrat mahu membenci dan paranoid dengan setiap satu vokal yang keluar daripada percakapan mana-mana manusia.


Tetapi tidak lama.
Kerana selepas itu aku sedar semula.


Hidup tidak boleh sekali-kali dipaksikan pada hala perjalanan majoriti.


Adakah hanya kerana semua manusia memilih untuk menjadi hitam, aku turut sama mahu membuang bersihnya putih?




* * * * * * * * * *



Dengan izin Dia, permasalahan pertama selepas pertama kalinya aku menjunjung amanah ini dipermudahkan.


Sekalian 20 sahabat yang digantung namanya daripada menduduki peperiksaan akhir diberi izin dan kelulusan semula untuk menerima peluang kedua.


Tarik nafas lega selepas berhari-hari tidak tercukupkan tidur semata kerana mengusahakan jalan keluar untuk mereka.


Sedikit sebanyak, perkara ini sama mendewasakan aku. Belajar bagaimana menggunakan suara untuk mempertahankan sekalian hak.


Syukur pada Tuhan.

No comments: