Apr 28, 2015

Pesona Larian


Cuti selama lima minggu bakal berakhir 10 Mei nanti.


Dalam lima minggu yang aku dapat sebagai 'hadiah' lulus peperiksaan akhir (alhamdulillah) yang lalu, hampir dua minggu telah aku habiskan dengan mereput di Ipoh untuk urusan pindah rumah sewa dan kerja-kerja SRC yang tertangguh sepanjang aku tunggang-langgang belajar semasa revision month. Walaupun rumah sewa yang baru aku masuk itu tak jauh jaraknya dengan rumah sewa lama, terkeluar juga peluh jantan nak mengangkut perabot dan buku-buku ke bilik aku yang letaknya di tingkat tiga. Menangis aku sampai sepuluh trip naik turun tangga angkut barang tau!


Dan tiga minggu yang berbaki pula aku habiskan dengan kucing, tidur, rancangan memasak, cat rumah dan komik. What a splendid holiday HAHAHAHA.


Hari-hari terakhir sebelum berakhirnya cuti barulah aku kelam-kabut bergegas ke Kamal Bookstore untuk membeli peralatan sebelum memasuki hospital dan buku-buku yang fizikalnya sebesar gajah. Berat tak usah cakap. Rasa nak dislocated bahu aku ni hah angkut buku berat-berat jalan kaki naik LRT dan KTM dalam keadaan hujan lebat. Balik rumah tak pandang kiri kanan terus menggelupur atas katil sapu minyak angin kat badan allahu allahu selangkah aku menapak keluar rumah lepas sebulan tak jumpa matahari terus dilanda cobaan yang maha hebat ginilah dia memang hidup dan mati hanya untuk rumah manis rumah je gamaknya komeeeeee.


....


Sebenarnya aku agak gementar nak melangkah ke Tahun Tiga.


Ilmu masih tak besar mana. Yang dah belajar pun lupa, apatah lagi yang memang sengaja belum belajar. Jika nak dibandingkan aku dengan pelajar perubatan universiti lain, rasanya aku boleh duduk mengerekot di bucu bilik dan peluk lutut erat-erat sambil menangis air mata kudus. Rasa kerdil. Rasa terlalu banyak yang aku kurang. Terlalu banyak ilmu yang perlu dikejar sedangkan masa sepertinya tak pernah cukup.


Dan aku perlahan-lahan sedang cuba lakukan yang terbaik untuk misi pencarian ilmu. Aku tidak mahu kekesalan di kemudian hari muncul. Kekesalan yang mungkin timbul apabila aku melakukan sesuatu yang bakal merobek kehidupan pesakit-pesakit aku, hanya kerana ketidakcukupan ilmu aku semasa membantu dan merawat mereka.


Benar hidup dan mati itu di tangan Tuhan. Benar hela atau henti nafas itu ketentuan Dia yang tak mungkin boleh manusia ubah. Tapi bagaimana mungkin akan aku memaafkan diri jika kecuaian aku menjadi punca berakhirnya kehidupan seseorang? Apatah lagi jika kecuaian itu berasal daripada ketidakpedulian dan kemalasan aku semasa tahun-tahun perubatan.


Aku benci jika perkara seperti - "Kalaulah dulu aku buat begini.." "Kalaulah aku cuba lebih sikit.." "Kan bagus kalau aku sedar perkara ni lebih awal.." muncul dalam fikiran aku.


Kerana "Kalau" itu hanya datang menjenguk jika aku tidak berusaha bersungguh-sungguh di masa lalunya. 


Untuk tidak sesal di esok hari, sifir aku mudah -


Usaha sehingga habis daya. 
Sehingga aku tidak akan bersedih lagi dengan apa saja kesudahan yang bakal aku terima.
Kerana usaha sudah tiba di penghabisan mampu.


Usaha sampai serasanya sudah tidak berdaya lagi untuk bergerak kehadapan.
Usaha dan terus usaha, sampai habis.


Tiada apa yang percuma, tiada apa yang datang bergolek.


Muah ciked untuk semua yang tak pernah berlama-lamaan putus asa hikss!



* * * * * * * * * *


Aku sudah membuat keputusan.


Semoga hati ini akan menerima dengan tenang, apa-apa saja yang mendatang bersama keputusan ini.

No comments: