May 18, 2015

Kekuatan Tembok

Training of Trainer Camp June Intake 2015
Kurau Stone Highlands, Batu Kurau
1315, 17 Mei 2015.


"Kau ada tak sorang best friend yang kau boleh cerita semua benda kat dia?"


Aku sedang berpusing-pusing dengan hula hoop sambil melontar bola getah ke dinding apabila ditanyakan soalan itu. Serta merta aku berhenti bergerak dan memandang tepat ke arah empunya badan. Amal (Amalina) yang turut serta terkinja-kinja bermain bersama aku juga berhenti dan merapati aku.


"Entah."


Dan dia terus menghela nafas sambil mempamerkan riak muka 'Dah agak dah'. Aku segera mengesan aura syarahan yang bakal dia keluarkan. Kadang aku seperti mahu lari jauh-jauh daripada sifat observant milik Faiq. Pedih mendengar diri dikritik dan realiti dikupas barangkali. Tapi dah terlambat untuk lari. Dia terlebih dahulu memegang kuat hula hoop yang aku gantung pada badan.


"Aku dah perasan lama dah. Kau ni bahaya tau tak. Aku tau kau memang wanita gagah, tapi kadang-kadang terlalu gagah pun tak boleh Qila. Takut sampai satu masa, diri kau sendiri yang break apart."


Kebiasaannya apabila muncul seseorang yang mengeluarkan ayat dengan tema 'Jangan Pendam Semua Kesedihan Anda', aku akan terus mengelak dengan 'Takde Apa, Aku Okay. Kau Yang Risau Terlebih'. Tetapi apabila Faiq berdiri di hadapan aku dengan pandangan mata yang mendesak aku untuk tidak menyembunyikan apa-apa dan Amal disisi pula mula memeluk aku seolah-olah aku akan melarikan diri, aku berdiri diam dan kaku tanpa suara.


"Aku tak menangis depan orang."


"Aku dah kenal sangat dengan kau ni Qila. Aku tengok muka pun aku tau apa yang ada dalam fikiran kau. Tapi kitorang risau tau tak, sebab kau tak pernah cerita apa-apa. Kau simpan je semua sorang-sorang." Amal di kanan mula menembak aku.


"Tak salah sebenarnya kalau kau nak bergantung sikit kat orang. Aku dah lama perhati cara kau. Kau memang totally pisahkan perasaan kau dari orang even kadang obvious gila yang kau tengah fikir benda lain. Bagitau aku sekarang, kau okay ke tak?" Faiq di depan masih lagi memegang kuat hula hoop aku dan ikut sama menembak.


"And by the way, kau ingat aku tak tau kau menangis bawah selimut malam tadi?"


Aku tarik semula hula hoop daripada pegangan Faiq dan memeluk Amal sambil berkata "Aku okayyyyyyyy~" dengan girang. Kemudian aku berjalan kearah kumpulan pelajar-pelajar diploma dan mengacau mereka yang sedang berlatih untuk persembahan penutup kem tersebut.


Lima minit kemudian aku duduk di barisan hadapan pentas sambil menonton persembahan pelajar. Dan dicelah-celah keriangan penonton yang bertepuk tangan dan bersorak, mata aku tertangkap pada Amal yang sedang merenung aku. Aku tidak tahu sama ada dia perasan atau tidak bahawa hanya jasad aku yang duduk di dalam dewan tersebut, tetapi pandangan mata Amal pada saat itu amat lembut dan dalam hingga sedikit kebencian timbul pada diri sendiri. Kebencian terhadap tembok yang aku bina untuk mengasingkan perasaan aku daripada perkara lain.


Kalaulah mereka tahu, bukannya aku tidak mahu. Tetapi aku sudah tidak tahu.
Aku sudah lupa bagaimana cara dan rasa menceritakan sesuatu kepada seseorang. 


Ramai orang sering berkata begini -


Tabahkan hati.
Jadi manusia yang kuat.
Jangan lemah semangat.
Engkau kuat! Engkau mesti kuat!


Dan segala yang berbunyi Kuat Kuat Kuat dan Kuat.


Tetapi mereka lupa untuk mengingatkan bahawa apabila kita menjadi terlalu kuat, kita akan mula bergantung sepenuhnya terhadap diri sendiri dan menolak semua manusia yang datang mahu menembusi tembok peribadi.


Hingga sampai suatu masa, kuat itu akan sinonim dengan sunyi.
Dan ketika kita sedar saat itu tiba, sudah terlambat untuk segala tembok itu dilembutkan semula.

No comments: