Nov 8, 2016

Selalu Dan Sentiasa


Aku akan selalu ada.
Sentiasa, semampu nafasku.


Biarpun kehidupan memisahkan kita.
Biarpun aku beribu batu jauhnya dengan segala kenangan itu.


Segala-gala yang lalu, yang engkau dan aku sama-sama pegang bersama hingga ke saat ini kita kekal bernafas dibawah bumbung langit yang satu.


Aku akan selalu ada.
Selagi mana hayat yang dipinjamkan ini masih bersisa.



* * * * * * * * * * *



Untuk mereka yang aku sayangi kerana Dia.


Maaf dari aku kerana tidak begitu bersungguh menghubungi engkau selalu. Maaf kerana aku terhanyut dalam dunia sendiri dan menganggap engkau sentiasa baik-baik. Aku akui aku tidak begitu rajin bertanyakan khabar. Walau rindu, walau kerap mengingati, jarang sekali aku menghubungi.


Hingga akhirnya kehidupan memisahkan kita dan engkau menjadi 'kawan baik zaman sekolah' yang bakal aku ceritakan kepada mereka yang lain.


Maafkan aku.


Beberapa tahun yang lalu sewaktu hari terakhir aku meninggalkan STAR, MRSM Pasir Salak, UM dan seterusnya RCMP, berjela-jela aku menulis tentang setiap satu yang aku sayangi pada diri engkau, agar tidak aku lupakan. Hingga ke hari ini pun, bilamana aku mengimbau kembali tulisan-tulisan aku, senyuman itu tetap ada. Ingatan itu masih bersisa.


Jarang sekali aku membenci. Jarang juga aku memutuskan tali persahabatan walau sakit mana hati ini menangisi. Aku sentiasa menyayangi.


Mungkin bulatan sosial aku tidak besar, tetapi aku pegang setiap satunya rapat dalam hati.
Andai aku memutuskan untuk menyayangi, engkau akan sentiasa aku simpan kemas disetiap hari.


Ketahuilah tidak pernah menjadi niat aku untuk menyepi atau menjauhi. Walau jarang berhubung, walau jarang bersua, aku sentiasa menganggap engkau sebagai matahari.


Yang suatu masa pernah menyinari.
Dan sentiasa menerangi.


Tulisan ini untuk engkau.
Siapa-siapa saja yang aku beri untuk dibaca hari ini.


Tulisan ini untuk semua yang menjadi kawan juga teman.
Sebagai tanda secebis dua ingatan.


Tulisan ini untuk segala-gala yang mungkin aku terlepas.
Kenangan, dan masa hadapan.


Aku mungkin tidak selalu dihadapan mata dan alam maya.
Tetapi aku kan selalu ada.


Untuk engkau, dan untuk kita.

No comments: