Dec 4, 2016

Selamat Datang Harapan


Bismillahirrahmanirrahim dan assalamualaikum.


Aku pulang ke Malaysia seminggu, untuk mencari aku yang hilang. Entah kenapa apabila satu demi satu mendatangi, aku semakin letih dan terus menerus jatuh ke lubang paling hitam.


Selalu aku persoalkan mengapa Tuhan tidak pernah mengizinkan aku untuk merasa gembira dan bahagia yang memenuhi semua ruang kosong dalam hati. Selalu juga aku tertanya-tanya, mengapa aku kerap kali diuji dengan kehilangan, kekecewaan dan kesedihan yang sentiasa membunuh semua harapan.


Aku bagaikan bukan lagi aku, apabila hampir setiap malam meratapi semua kekosongan ini.


Bukan tidak pernah aku mencari Tuhan agar dihilangkan segala perasaan ini. Bukan tidak pernah aku bersujud dan melutut sesungguhnya agar diberi kekuatan untuk tidak lagi jatuh dalam neraka ciptaan sendiri. Berkali-kali, dan aku sentiasa berputus asa.


Setiap hari aku bangun dan pergi ke kelas dengan jiwa yang kosong. Setiap hari aku mengira dan menghitung semangat supaya masih cukup untuk bawa aku menghadapi satu lagi hari yang bakal datang. Aku sentiasa berhati-hati, supaya hati tidak lagi terusik dengan mana-mana perkara kecil yang bisa membuat pertimbangan aku hilang.


Dan aku mencari manusia yang aku percaya.
Hingga akhirnya sekali lagi aku kecewa kerana sekuat mana pergantungan itu, aku tetap luka.


Aku tahu sejauh mana aku berlari, realiti tetap sama. Tiada yang mampu membantu dan mengubah semua ini melainkan aku. Tetapi itu juga yang menakutkan, kerana aku sudah hilang percaya pada diri. Bagaimana mahu aku mengubah semua ini apabila diri aku sendiri mengkhianati aku?


Lalu akhirnya aku mencari Tuhan dengan sepenuh pengharapan.
Akhirnya aku mengalah. Aku berhenti berkeras hati dengan Dia.


Hari ini, aku masih belum berjumpa dengan ketenangan yang aku cari.
Tetapi kini aku tidak lagi takut. Aku tidak lagi sendiri.

No comments: