Feb 9, 2017

Berhadapan Dengan Pandangan Manusia


Beberapa tahun yang lalu, sewaktu aku masih belasan tahun, aku selalu menulis tentang impian.


Impian untuk aku mengasaskan satu pertubuhan amal bagi manusia lainnya yang memerlukan. Ataupun semata menyebarkan kebaikan dicelah-celah dunia yang makin suram.


Aku sentiasa berpegang pada harapan.
Walau jatuh macam mana pun, walau gelap dan kosong jalan di hadapan, aku sentiasa mencari secalit cahaya sebagai pemandu arah. Sebagai dahan buat aku pegang erat.


Kerana disaat segalanya sudah kelihatan punah, hanya harapan yang akan menghidupkan.


Hari ini, dengan usia 23 tahun, aku masih mencari cara untuk merealisasikan impian aku. Kadang kala aku kecewa, aku pada hari ini sangat jauh daripada apa yang 17 tahun Aqila harapkan suatu ketika dahulu.


Aku belum menerbitkan apa-apa penulisan (selain daripada cerita kanak-kanak beberapa tahun yang lalu). Aku belum mencapai apa-apa kejayaan bertulis. Aku belum lagi mendatangkan faedah buat sesiapa, jauh sekali masyarakat amnya. Aku hanya aku, yang bertarung dengan diri sendiri. Itupun kerap kali gagal.


Satu punca utama aku masih tidak bergerak daripada mana-mana lingkungan keselesaan aku adalah kerana aku takut dengan pandangan manusia.


Beberapa hari lepas, aku dan Miera keluar menjamah secawan aiskrim dalam pekat malam. Seperti biasa, aku dan dia akan berbual tentang kehidupan. Kerana dia bagi aku ibarat eskapisme harian, yang menenangkan ketika kusut fikiran.


"Kalau kau perasan, judgement manusia sekarang teruk betul. Tengoklah mana-mana berita yang viral. Berduyun orang kecam sana sini." Dia berkata sambil menyuap aiskrim di mulut.


Dan aku akui kebenaran perkara itu.


Aku kerap membaca IIUM Confession kerana bagi aku apabila membaca penulisan dan luahan manusia lain, sedikit sebanyak aku mampu belajar sesuatu walau mungkin tidak pernah aku alami perkara itu. Tapi bilamana aku membaca ruangan komen, kecewa. Dalam berpuluh-puluh komen, kalau bukan majoriti, pasti ada dua tiga komen yang terlalu negatif. Mencemuh, menghina dan menjatuhkan.


Mungkin penulis tersebut jujur meluahkan isi hatinya buat tatapan umum kerana merasakan tiada yang memahami di dunia nyata. Mereka buntu mencari jalan keluar. Lalu diluahkan di media sosial secara anonymous, berharap ada yang memahami dan sudi memberi cadangan penyelesaian atau paling tidak, memberi kata semangat.


But instead of understanding and encouraging, these people dragged us down by judging, dreading and make fun of it.


Lumrah masyarakat hari ini.
Selagi tidak terkena pada batang hidung sendiri, selagi itu mereka tidak akan memahami.


Kalaulah manusia tahu dan sedar bahawa roda tidak selamanya berada di tempat yang sama.


Melihatkan sifat masyarakat kita pada hari ini yang rata-ratanya lebih gemar menghukum berbanding menyelidik, sedikit sebanyak aku jadi takut.


Walaupun dengan perkara kecil seperti mahu memberi kata-kata motivasi kepada yang memerlukan.


"Dia pun buat benda yang salah, ada hati nak betulkan orang lain."
"Konon dah habis baiklah tu."
"Tak payah sibuk urusan orang, biarlah dia buat apa yang dia nak."
"Baru pakai tudung labuh sikit dah beriya nak nasihat orang padahal dulu dia lagi teruk!"


(Ini sekadar contoh. Bukan situasi diri.)


And so on.


Aku tahu jika aku yakin sesuatu yang mahu aku lakukan itu tidak menyalahi mana-mana hukum agama atau undang-undang, aku tidak perlu takut dengan pandangan manusia. Tetapi inilah titik lemah diri aku yang Tuhan uji.


Setiap kali aku mahu lakukan sesuatu, aku akan terbayang manusia lain mengata sesuatu yang buruk tentang aku. Hatta mahu mencuba menyertai aktiviti kerohanian yang ada disini pun aku terfikir bermacam perkara.


'Malulah aku nanti kalau ada orang tahu aku tiba-tiba nak cuba masuk usrah. Budak-budak usrah pun mesti pelik pastu tanya macam-macam. Kalau aku join surau solat berjemaah harini mesti ramai orang tengok aku sebab tak pernah nampak muka ni masuk surau. Kawan-kawan lain pula mesti cop aku dah berubah, dah taknak keluar malam lepak-lepak kedai makan dengan dorang. Mesti dorang kata aku buang tabiat. Pastu mesti dorang perli aku sebab buat benda yang tak pernah dibuat.'


Membayangkan perkara diatas saja sudah cukup untuk buat aku lemah semangat. Walhal 98% daripadanya mungkin hanya berlegar dalam fikiran aku. Tetapi dengan apa yang aku baca di media sosial, anxiety tersebut muncul tanpa diundang. Pernah juga aku hampir-hampir muntah hanya kerana terlalu bimbang untuk bercakap di hadapan kelas sedangkan dulu aku LANGSUNG tidak ada rasa takut sebegitu. Lama kelamaan aku malas dan lupakan saja niat tersebut.


Begitu sekali kesan pandangan manusia terhadap diri aku.


Senang tau untuk cakap "Tak payah fikir pandangan orang, buat je."
Hakikatnya cuma yang merasa faham.


Hari ini, malam ini, aku sedang bersedih hati.


Aku terfikir, sampai bila aku mahu biarkan diri aku terikat dengan belenggu pandangan manusia? Aku mahu merealisasikan impian aku, apa yang aku angankan sejak dahulu.


Aku tidak mahu hanya sekadar bernafas dan menghabiskan hayat begitu saja. Seperti mayat hidup. Bernafas, tetapi tidak bernyawa. A walking corpse.


Aku tidak tahu jika ada mahupun tidak yang menyinggah ruangan ini untuk membaca. Jikalau masih ada, tolong doakan aku ya? Aku sedang berusaha mengatasi fikiran-fikiran negatif ini. Sedikit demi sedikit, aku sedang mencuba.


Moga-moga diizinkan Tuhan untuk aku menjadi manusia yang berguna di dunia dan di akhirat sana.

1 comment:

Anonymous said...

Manusia tetap manusia. Tetapi yang mengawal manusia si Dia. Harapan pada Dia lagi berbalaoi dr harapan kepada manusia. Hiduplah kerana si Dia tetapi bkn kerana manusia.
Pightinggg!!!!
����