Feb 11, 2017

Realiti Persahabatan Usia 23


That bitterness feeling when Allah gave you loads of faithful friends but right now they're nowhere nearby you, in reality.


Aku sentiasa tanamkan pada diri, tidak mengapa andai hanya memiliki small circle of friends. Asalkan yang aku ada itu benar-benar kawan, bukan dalam diam menjadi lawan.


Sewaktu sekolah rendah, aku dikelilingi ramai kawan. Mungkin kerana sifat aku yang ketika itu agak gemar mengarah dan sentiasa menjadi ketua, ramai yang mendekati aku. Lagi pula aku anak cikgu disitu, satu sekolah mengenali aku. Naik sekolah menengah, aku agak rebellious. Aku banyak bergaduh dan tidak peduli apa pandangan orang kepada diri aku. Aku berkawan dengan sesiapa yang aku suka dan kebanyakan kawan aku ketika itu juga dalam fasa memberontak. Sama-sama naik minyak. Dan ketika itulah aku belajar apa itu kawan semasa susah dan senang. Mungkin kawan-kawan aku ketika itu tidak begitu baik pada pandangan orang lain, tetapi merekalah yang memeluk aku ketika susah. Menangis bersama-sama dalam gelap malam di tepi tangga asrama.


Masuk Tingkatan 4, aku berpindah ke sekolah berasrama penuh. Tuhan datangkan ujian besar kepada diri aku, memanggil aku supaya mendekati Dia. Aku dibiar bersendirian tanpa sesiapa disisi, berdepan dengan fitnah yang meluas tentang diri aku. Lama aku keseorangan, menangis dan mencari kekuatan, hingga akhirnya hampir setahun kemudian Dia datangkan beberapa orang kawan kepada aku yang aku kira hingga hari ini, tak pernah jemu menarik aku supaya menjadi diri yang lebih baik.


Tamat SPM, aku mendaftar sebagai pelajar asasi sains di Universiti Malaya. Aku bertemu dengan ramai manusia dari serata negara berlatarbelakangkan keluarga yang berbeza-beza. Aku masih mempunyai kawan yang ramai, tetapi yang benar-benar kawan itu aku kira kurang daripada sepuluh.


Aku menyambung ijazah perubatan di Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak. Dan kehidupan sosial aku masih sama, punyai ramai kawan tetapi yang memimpin tangan ketika duka itu beberapa kerat sahaja. Tetapi ketika ini aku mula biasa hidup berdikari. Aku tidak begitu memerlukan sesiapa untuk membantu aku, dan aku gembira menghabiskan kebanyakan masa dengan perkara yang aku suka tanpa pedulikan kehidupan orang lain.


Sehinggalah aku terbang ke India.
Hari ini, waktu ini, aku hanya punya dua orang kawan.


Benarlah apa yang ditulis dimana-mana, semakin dewasa kita akan lebih menghargai kualiti berbanding kuantiti.


Bila aku renung kembali, mungkin juga sifat diri aku yang agak ambivert menyebabkan aku tidak begitu selesa bergaul dengan ramai orang dalam keadaan riuh dan kepoh. Aku lebih gemar berkawan secara sederhana, apabila banyak yang mahu dibualkan maka aku akan petah bercakap. Apabila tiada apa-apa, aku lebih selesa mendiamkan diri. Tidak perlu risau mahu berbasi-basi sebagai pemecah suasana awkward atau sebagainya. Selesa apa adanya.


Bagi aku, berkawan ramai itu bagus. Tetapi bukanlah perlu.
Jika ada, bersyukur. Jika tiada juga harus bersyukur.


Kerana memiliki seorang kawan yang setia lebih bermakna berbanding seribu kawan yang hanya dalam suka.


Baru-baru ini aku mendaftar akaun Instagram baru. Yang lama sudah aku buang. Dan rasa penghargaan ini datang apabila aku kembali menjejaki kawan-kawan lama yang sudah hilang terputus berita. Melihatkan mereka pada hari ini, aku sangat gembira. Teringat kenangan-kenangan lama dan walaupun hari ini segalanya sudah tidak seperti dulu, sekurang-kurangnya rasa gembira itu pernah ada. Dan sentiasa bernyawa.


Untuk yang masih ada disisi sehingga kini, terima kasih.
Untuk yang pergi juga aku ucapkan terima kasih.


Tuhan tidak akan hadirkan sesuatu itu dengan sengaja, dan perginya juga takkan pernah sia-sia.



I miss you Hanan.

No comments: