Mar 11, 2017

Hijab Doa


Semalam aku terbaca satu post di Facebook tentang bagaimana doa orang yang teraniaya, dianiaya dan tidak bersalah itu tiada hijab disisi Tuhan.


Ada masa on the spot Tuhan bayar cash.
Ada masa diberi nikmat sepuas hati hinggalah tiba-tiba ditarik serta merta tanpa belas.


Dari sudut pandangan aku, sebab itu dari dulu aku selalu pegang. Jangan menilai atau menjatuhkan hukum penilaian kepada seseorang jika kau tidak faham apa yang dilaluinya, selagi engkau tidak berada di tapak kasut yang sama dengannya.


Untuk bercakap memang mudah.
Tapi kita selalu lupa, hakikat satu-satunya yang lebih tajam daripada pedang itu ialah lidah manusia.


Dimata engkau mungkin tampak mudah, tampak remeh.
Tapi hanya yang menanggung di bahu hadam memahami bagaimana rasanya.


Hanya kerana engkau diberi sedikit kelebihan oleh Tuhan untuk tidak diuji pada titik kelemahan tersebut, tidak bermakna engkau bebas mencanang sana sini -


Betapa lemah, lembik, bodoh, naif dan malang seseorang.


Jika sahaja engkau sedar kehidupan ini tidak tetap, tidak statik. Sifatnya berubah-ubah. Ada roda untuk kau berada diatas dan sekelip mata menghumban engkau kebawah.


Jangan kerana kata-kata yang keluar daripada mulut atau tindakan engkau menyakiti hati seseorang hingga dia merasa dianiaya, merasa ditindas dan dipijak menyebabkan apa saja doa yang disebut oleh dia memanah tepat terus tembus kepada engkau. Jangan sekali-kali.


Kalau tak mahu memudahkan, jangan pula menyusahkan.
Mudah saja sifirnya.

No comments: