Apr 21, 2017

Perigi Mencari Timba

Aku dah malas nak fikir ayat. Malam ni aku nak tulis segala apa yang aku rasa.

Sebagai seorang perempuan, tipulah kalau cakap aku tak pernah berangan tentang hari bahagia aku. Membesar sebagai seorang yang melankolik, aku selalu berharap suatu hari nanti aku akan bertemu dengan kebahagiaan aku sebagai seorang perempuan yang nalurinya sukakan perasaan indah. Walaupun tak sempurna, tapi aku sentiasa letakkan sekecil kuman harapan untuk dihargai, untuk dipersembahkan akan betapa istimewanya aku dalam hidup seseorang.

Tipulah cakap kalau takde perempuan yang berangan untuk dilamar, diberi bunga, atau sekurang-kurangnya merasa istimewa walaupun sedikit. Dicari dan didekati dengan cara terhormat.

Aku selalu berharap untuk merasai semua itu. Tapi hari ini, saat ini, aku tak dapat apa yang aku harapkan.

Perlahan-lahan, sedikit demi sedikit aku mula buang satu persatu impian aku. Dari sebesar-besar impian tentang perkahwinan idaman hinggalah sekecil-kecil impian untuk hanya ditanyakan soalan "Sudi atau tidak untuk menjadi isteri?". Semuanya aku buang ketepi kerana aku tahu, dengan dia, segalanya takkan mungkin terjadi. Aku mengalah, sedikit demi sedikit aku korbankan segala kemahuan hati kerana aku harapkan segalanya akan berbaloi demi dia.

Tapi lama-kelamaan aku jadi penat. Aku kecewa. Sedih. Seolah-olah aku pula yang jadi lelaki. Aku yang sibuk berfikir untuk menjadikan hasrat itu realiti. Aku yang memulakan langkah. Aku yang mencadangkan itu ini. Dan aku juga yang bertanyakan soalan "Sudi atau tidak untuk menjadi suami?" itu.

Segala apa yang aku harapkan semuanya punah.

Campaklah kedalam sungai segala angan-angan untuk dilamar itu. Buang segala bayangan untuk dirisik atau didekati. Hancur segala apa yang sejujurnya semua perempuan harapkan untuk rasa walaupun hanya sekali.

Mungkin dimata dia, aku terlalu banyak meletakkan expectations. Aku berangan setinggi langit. Sama jelah macam lelaki lain. Semua menganggap perempuan tak berpijak dibumi yang nyata. Mengharap dan berangan tak sudah. Tapi dia dan mereka semua buta. Tak semua perempuan kisah tentang impian itu. Impian memang ada, memang tinggi, memang indah melangit. Tapi akhirnya yang aku dan kami semua harapkan hanya bahagia. Itu saja. Kami tak tamak.

Dan bahagia itu takkan datang kalau tak merasa dihargai. Tak merasa dipeduli.

Kadang kala aku terfikir, adakah aku membuat keputusan yang betul. Adakah berbaloi aku korbankan bermacam benda sedangkan dia sendiri tak pernah mahu memulakan langkah. Dari awal hingga akhir aku sajalah yang berani bersuara.

Sedih. Pedih. Kecewa.

Aku tak minta banyak pun. Aku nak rasa dihargai saja. Aku pun nak juga rasa perasaan dikejar dan dimahukan. Diusahakan. Tapi entah. Sampai ke hari ini pun cuma aku saja yang lakukan semua itu.

Bahagiakah aku bila hanya aku yang berusaha untuk jadikan hasrat ini realiti?

No comments: